Kesihatan

Ujian Berat Buat Ibu, Qhayla Hidap Hydrocephalus Enam Kali Jalani Pembedahan Buang Air Dalam Kepala

Share

Kisahnya pernah mendapat perhatian media suatu ketika dahulu, namun penderitaan Nur Qhayla Rania, 3 tahun masih belum berkesudahan. Menghidap penyakit Hydrocephalus atau masalah lebihan air dalam kepala sejak dilahirkan, semakin hari kepala Qhayla semakin membesar.

Nur Qhayla biasanya akan dibawa oleh ibunya, Che Siti Noor Azreen Che Ishak, 24 ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian Kelantan untuk rawatan susulan meskipun jarak dari kediaman mereka lebih 40 kilometer. Ada ketikanya dia dan anaknya yang sakit itu perlu menaiki kereta sewa kerana suami perlu menjaga anak sulung yang masih di pra sekolah.

Doktor Maklumkan Anak Dalam Kandungan Ada Masalah

Azreen berkata sejak kandungannya berusia tujuh bulan, doktor sudah memaklumkan kepala anaknya besar namun dia tidak menjangkakan masalah itu serius.

“Memang pada awal kelahiran sukar kami sekeluarga menerima dugaan ini, namun saya positif dan mesti kuat bagi membesarkan Nur Qhayla Rania.

“Memang sedih melihat Nur Qhayla Rania hanya mampu terbaring dalam kereta sorong bagi memudahkan pergerakan di rumah,” katanya yang tinggal di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah.

Menurutnya juga sejak lahir, sudah banyak kali Qhayla melakukan pembedahan untuk membuang air lebihan dalam kepalanya dan setiap kali itulah hatinya cukup sedih melihat keadaan anaknya yang masih kecil itu.

Qhayla sudah lakukan 6 pembedahan membuang lebihan air dalam kepala

Dalam satu perkongsian yang disiarkan oleh Kitafund, Azreen dan suami yang hanya bekerja kampung redha dengan ketentuan yang Maha Pencipta tentukan buat mereka. Namun tidak pernah sekalipun mereka berputus harap, doa sentiasa menjadi pendamping. Apa yang diharapkan bakal ada keajaiban untuk anaknya Qhayla agar dapat sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.

Perkongsian yang dibuat menerusi laman web tersebut:

“Saya Che Siti Nor Azreen, ibu kepada Nur Qhayla Rania ingin meminta jasa baik anda semua untuk membantu anak saya,yang hanya mampu terlantar sejak lahir lagi. Qhayla kini berusia 3 tahun.

Ujian ini amat berat buat saya dan keluarga Tapi kami redho dengan kehendak Ilahi.Kami tidak pernah berputus asa dan sentiasa berdoa semoga ada keajaiban untuk anak saya sihat seperti kanak-kanak lain.

Kami kini menetap di Kelantan. Suami saya kerja kampung sahaja dan saya berniaga kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan dan keperluan anak. Jika Qhayla sakit dan perlu dirawat di hospital, kami tidak boleh menjalankan perniagaan. Kedai kami lebih banyak tutup daripada buka kerana kesihatan Qhayla yang tidak mengizinkan.

Saya sendiri juga tidak berapa sihat kesan daripada masalah yang saya hidap semasa mengandungkan Qhayla. Ketika itu, saya disahkan lumpuh separuh badan. Namun setelah melahirkan Qhayla secara Caesarean, dengan Kuasa Allah saya boleh berjalan.

Qhayla menjadi keutamaan kami kerana kesihatannya yang semakin merosot. Qhayla juga sering dimasukkan ke wad akibat sawan dan masalah VP Shunt. Hospital sudah seperti rumah kedua Qhayla. Setiap bulan anak saya perlu ke hospital untuk rawatan fisioterapi.

Alhamdulillah, Qhayla menerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan tetapi masih belum cukup untuk menampung semua perbelanjaan yang diperlukan. Qhayla memerlukan 5 tin susu khas (Pediasure) dan 5 tin Glucose Carborie sebulan atas nasihat doktor beserta keperluan-keperluan lain.”

Dalam perkongsian tersebut juga ada menyebut tentang kebutuhan yang diperlukan oleh keluarga ini bagi merawat si kecil Qhayla selama enam bulan. Bantuan ini pastinya diperlukan secara berterusan untuk merawat anaknya yang masih kecil dengan penyakit serius yang dihidapi oleh anaknya itu.

Bagi yang ingin membantu, boleh berbuat demikian menerusi laman web tersebut atau terus menyalurkan bantuan ke nombor akaun Maybank Che Siti Noor Azreen Che Ishak 153056463889.

Sumber: Kitafund.com, Sinar Harian & Kosmo

Published by
SAHR