Ujian Saringan M-Chat Penting, Jangan ‘Skip’ Ke Klinik. M-Chat Untuk Kenal Pasti Tanda Awal Autisme

Share

Ibu bapa yang datang untuk sesi temujanji anak-anak yang berumur 0-6 tahun pasti biasa dengan saringan M-CHAT kan? Tapi anda tahu tak tentang kegunaan dan kepentingan saringan M-CHAT ni?

M-CHAT (Modified Checklist for Autism in Toddler) adalah salah satu cara untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit AUTISME pada kanak-kanak seawal umur 16 bulan sehingga 30 bulan.

Checklist ini mengandungi 23 soalan berkaitan perkembangan kanak-kanak dari segi tingkah laku, sosial, emotional, pertuturan, komunikasi dan pemikiran.
Di klinik kesihatan saringan ini akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada umur 18 bulan dan 36 bulan.

Kenapa dua kali?

Kerana perkembangan kanak-kanak paling kritikal pada usia tiga tahun pertama. Saringan pertama pada umur 18 bulan bagi mengenal pasti tanda-tanda awal autisme. Saringan kedua pada umur 36 bulan pula untuk mengenal pasti kanak-kanak yang ada penurunan dalam perkembangan mereka.

Apabila anak anda datang untuk temujanji jururawat akan bertanya kepada ibu bapa set soalan tersebut yang perlu dijawab YA atau TIDAK.

Ambil perhatian pada soalan-soalan yang digelapkan tu ye (soalan 2,7,9,13,14 dan 15) sebab soalan tersebut adalah KRITIKAL untuk mengenal pasti penyakit autisme.

Skor akan diberikan mengikut skema jawapan dalam buku Garis Panduan Rekod Kesihatan Kanak-kanak.

Bilakah anak anda akan dirujuk kepada doktor? Sekiranya ada jawapan yang diberikan tidak sama dengan skema jawapan iaitu:
📌 2 atau lebih bagi soalan kritikal
📌 3 atau lebih bagi mana-mana soalan

Jika anak anda tidak pass pada mana-mana soalan TIDAK bermaksud anak anda sah mempunyai masalah autisme. Ada juga kes kanak-kanak yang mempunyai perkembangan agak lambat berbanding rakan seusianya. Bagi kes seperti ini temujanji susulan diperlukan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak tersebut untuk catch up dengan development mereka.

Pengesahan untuk penyakit autisme hanya boleh dilakukan oleh Pakar Perubatan Keluarga di klinik kesihatan atau Pakar Psikiatrik/Kanak-kanak di hospital. Kanak-kanak tersebut kemudiannya akan dirujuk kepada pegawai yang berkaitan seperti Pegawai Terapi Cara Kerja, Pegawai Terapi Pertuturan dan juga
Pendengaran untuk intervensi seterusnya.

Yang paling penting ibu bapa perlu prihatin terhadap perkembangan anak-anak dan segeralah berbincang dengan petugas kesihatan mengenai sebarang perkara berkaitan kesihatan anak-anak yang membimbangkan anda.

Ingat bahawa:
“INTERVENSI AWAL BOLEH MENGELAKKAN MASALAH PEMBELAJARAN BAGI AUTISME”

Kredit: Klinik Kesihatan Meru, Klang

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa