“Umairah… Allahu Akbar, La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah.” Bapa Ajar Syahadah Anak Nazak Dipangkuan

Share

“Umairah… Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah.” Kalimah itu berulang kali disebut seorang bapa kepada anak di pangkuannya selepas mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan di Jambatan Sri Ehsan berhampiran Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Menerusi rakaman video menyayat hati berdurasi 30 saat itu, lelaki terbabit dilihat mengajar kanak-kanak perempuan kalimah berkenaan dan dalam masa sama memangku kepala seorang lagi anak perempuannya.

Turut kelihatan ialah dua kanak-kanak lelaki di sisi dengan seorang daripadanya terbaring dan menangis kesakitan.

VIDEO TULAR MENYAYAT HATI

Video itu tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp sekali gus meruntun jiwa sesiapa yang melihatnya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kemalangan itu berlaku pada 1.30 petang menyebabkan kanak-kanak lima tahun dikenali Nur Umairah Syakirah Rosdi meninggal dunia kerana parah di kepala.

“Mangsa bersama enam ahli keluarga iaitu ibu bapa dan tiga adik-beradik berusia tiga hingga lapan tahun menaiki Perodua Alza, terbabit kemalangan dengan kereta jenis Audi.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu bapa mangsa menuju ke Persiaran Timur, berlanggar dengan kereta dipandu lelaki umur 37 tahun yang datang dari arah Jalan Tun Hussein di persimpangan lampu isyarat.

UMAIRAH PERGI JUA
“Semua mangsa di dalam Perodua Alza cedera dengan mangsa parah di kepala dikejarkan ke Hospital Putrajaya. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia pada 9.50 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosly berkata, adik bongsu dan bapa kanak-kanak itu cedera, manakala ibu mangsa yang bekerja sebagai guru tadika patah kaki kiri dan tulang pinggul retak.

Katanya, kakak mangsa berusia lapan tahun koma dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala abangnya cedera di kepala dan patah kaki kiri.

“Pemandu kereta Audi tidak cedera dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian, siasatan awal juga mendapati kemalangan itu berlaku akibat perbuatan melanggar lampu isyarat merah oleh sebuah daripada kenderaan terbabit.

Sumber: Harian Metro

Foto: Sinar Harian & Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya

Video: Info Bencana Pahang dan Luar Pahang

Published by
Azma ML