“Apa salah anak kecil ini! Jika tak mampu jaga jangan perlakukan dia sedemikian hingga pergi dalam keadaan tragis.” Ini antara kata-kata orang ramai selepas tular di media sosial seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Alor Gajah, Melaka.
Terdapat juga kesan lebam di badan mangsa dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.
Tak percaya Amir dah pergi selama-lamanya
Disebalik tragedi tersebut, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Tuhfah Naziha Tarmidi menzahirkan rasa sedih apabila mangsa yang dikenali sebagai Zubaidi Amir Qusyairi, 7 yang pernah menjadi adik angkatnya meninggal dunia dibawah jagaan ibu kandung.
Ini kerana kanak-kanak tersebut baru sahaja diserahkan semula kepada ibunya selepas 6 tahun dijaga keluarga angkat.
Selepas diserahkan kembali kepada keluarga kandung, mereka sudah jarang berhubung dan kini Tuhfah Nazihah memaklumkan pemergian adik angkatnya amat menyedihkan kerana meninggal dunia buat selamanya.
Ketika ini, dia sudah berada di Melaka bagi menziarahi jenazah allahyarham sebelum dikebumikan.
Dakwa lemas dalam tong air
Sementara itu, melalui laporan Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kanak-kanak terbabit didakwa lemas di dalam tong air dirumahnya sebelum siasatan mendapati ada kecederaan pada fizikal badannya.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dan pemeriksaan fizikal terhadapnya terdapat kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru seperti yang dikongsikan oleh Tuhfah Nazihah, arwah adik Amir akan dibawa pulang ke Rawang untuk dikebumikan di sana.
Sumber: Tuhfah Nazihah Tarmidi, Berita Harian
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)