“Umi, Ayah Dah Meninggal” Arwah Sempat Pesan Pada Anak Sulung Supaya Jaga Ibu & Adik

Share

“Umi (ibu), ayah dah meninggal.” Itu yang mampu diungkapkan, Muhammad Nabil Khalaf. Anak kecil berusia lima tahun itu adalah anak sulung kepada Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, yang meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak.

Seolah-olah mengerti apa yang berlaku, Muhammad Nabil Khalaf menuturkan kata-kata itu kepada ibunya, Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir, 29. Menurut Siti Nafishah, anak sulungnya mengetahui khabar duka kejadian menimpa arwah daripada perbualan datuknya yang menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian itu.

“Adik saya yang bertugas bersama Allahyarham di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang menghubungi bapa untuk memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi kelmarin.

“Muhammad Nabil Khalaf mendengarnya dan terus memberitahu saya sebelum dia menangis teresak-esak,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di rumah keluarga di Taman Ria Jaya, malam tadi.

Siti Nafishah yang juga anggota tentera dan bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah sehari sebelum suaminya itu mahu melaporkan diri di Kem Sungai Ara.

“Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan. Dia sempat berpesan kepada anak sulung supaya menjaga saya, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.

“Malah, Allahyarham juga seperti biasa sempat memberitahu dan meminta saya supaya menunggu kepulangannya nanti,” katanya yang reda dengan pemergian suami.

Katanya, Allahyarham adalah suami yang sangat baik dan disenangi ahli keluarga.

Siti Nafishah berkata, dia akan menjaga dua anak hasil perkongsian hidup mereka. Selain Muhammad Nabil Khalaf, arwah turut meninggalkan seorang lagi anak berusia dua tahun, Muhammad Nur Fariman.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Shamsiah Awan Ludin, 75, berkata dia mendapat berita mengenai anaknya yang meninggal dunia jam 11 pagi selepas menerima panggilan daripada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Sebaik mendapat berita itu, saya bersama anak dan saudara yang lain bertolak daripada Negeri Sembilan dan tiba di Kedah jam 9 malam tadi.

“Allahyarham anak keempat daripada tujuh beradik seorang yang gemar bergurau dan kali terakhir kami bertemu sebelum Ramadan lalu,” katanya yang berasal dari Felda Lui Timur, Jempol, Negeri Sembilan.

Terdahulu, jenazah arwah tiba di rumah mentuanya di Taman Ria Jaya jam 1 pagi untuk tatapan terakhir isteri, ibu dan ahli keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan 45 minit kemudian.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa dengan penuh istiadat ketenteraan jam 2.30 pagi, dengan dihadiri hampir 150 ahli keluarga, sahabat dan rakan setugas.

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Published by
NuFa