Anak yang sebelum ini aktif dan sentiasa manja memanggil Umie tiap kali nak apa-apa kini berubah sekelip mata apabila disahkan mengalami Acute Necrotizing Encephalopathy of Childhood (ANEC) kira-kira dua bulan lalu.
Semuanya bermula apabila adik Ammar Irfan bin Zakria, 6 tahun, demam on off pada penghujung tahun lalu.
Berkongsi kisah sedih ini, ibunya Izrinda Roslin berkata, pada 1 Januari lalu memang Irfan demam. Waktu itu suhunya agak tinggi. Walaupun dah bawa ke klinik dan diberikan ubat, suhunya masih turun naik.
“Macam-macam cara saya buat untuk turunkan suhunya seperti jerlum dengan air, mandi dengan kerap. Selepas itu suhunya ok sikit pada pukul 3 pagi.
“Disebabkan kepenatan, saya tertidur selepas mendapati Irfan dah tidur lena. Namun sekitar jam 7 pagi apabila saya tersedar keadaan Irfan seolah-olah tiada respon dengan badannya kejang dan mata terbuka.
“Terus bawa ke hospital dan apabila doktor buat scan berlaku radang di otaknya. Dari Sungai Petani terus dipindahkan ke Pulau Pinang,” katanya.
Izrinda menjelaskan selepas dipindahkan hospital, Irfan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selama dua minggu dan doktor turut melakukan ujian MRI.
“Keputusan MRI menunjukkan berlaku pendarahan hingga menjejaskan pendengaran, penglihatan dan pergerakan.
“Ketika itu semua otot Irfan dah kejang dan doktor terpaksa pakaikan splin untuk sokong kaki dan tangan supaya tak keras,” kongsinya.
Dua bulan di hospital
Selama dua bulan di hospital, kini Irfan dah dibenarkan pulang ke rumah. Cuma keadaannya tak sama seperti sebelum itu. Dia hanya terlantar dan kalau nak bangun atau berjalan perlu dibantu.
Percakapannya juga pelat dan tak petah. Impiannya untuk ke sekolah juga terpaksa ditangguhkan.
Kini Irfan perlu buat fisioterapi di rumah selain ikut temujanji hospital agar keadaannya kembali pulih.
Nak Irfan Sihat
Kata Izrinda, setakat ini doktor tak jamin bila Irfan boleh kembali sihat dan menasihatkan untuk sentiasa merangsang pergerakan Irfan sepanjang masa.
Memandangkan Irfan adalah anak tunggal, semua harapan terletak padanya. Namun bila Allah bagi ujian ini memang sedih sangat. Sebagai ibu saya harapkan Allah bagi keajaiban agar Irfan dapat membesar seperti kanak-kanak lain. Doa saya dan suami agar Allah mempermudahkan urusan Irfan,” akhirinya.
Pembaca yang ingin membantu Puan Izrinda Roslin boleh hubungi 0174681055.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI