Dalam proses membentuk sifat genius pada anak, keluarga memainkan peranan yang sangat penting. Andai keluarga dapat membantu menyalakan api optimis ke dalam diri anak, mereka akan mempunyai semangat yang juang yang tinggi untuk mencapai matlamat.
Namun malang sekali apabila keluarga menjadi kuburan untuk idea dan cita-cita anak, maka impiannya juga akan menjadi sekadar angan-angan anak kecil.
Memahami tahap perkembangan otak manusia akan membantu ibu bapa merangsang anak genius yang lebih berkesan. Menurut kajian dari pakar pendidikan kanak-kanak, tahap intelektual otak mengalami perkembangan berikut:
– Sehingga 4 tahun – 50%
– Sehingga 8 tahun – 30%
– Sehingga 18 tahun – 20%
Apabila diteliti, tahap perkembangan intelektual paling kritikal adalah pada 4 tahun ke bawah. Yang biasa disebut sebagai Masa Keemasan (Golden Age).
Ketika usia ini, kebanyakan waktu anak-anak adalah bersama ibu bapa. Sebahagian waktu siang mungkin bersama pengasuh bagi ibu bekerjaya.
Sayang sekali apabila usia ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diberikan rangsangan sebaiknya kepada anak kecil itu. Biasanya tumpuan ibu bapa pada anak usia ini adalah memenuhi keperluan fizikal. Mandikan, bagi makan kenyang lepas tu tidur. Kalau tak tidur biar je anak tu terkebil-kebil depan tv. Lagi sedih terus bagi gajet pada anak untuk dia diam lebih lama.
Sayangnya usia emas anak-anak ini dibiarkan tanpa rangsangan sebaiknya seperti rangsangan bahasa melalui bercakap-cakap, rangsangan motor halus dan kasar melalui aktiviti hands on dan rangsangan untuk perkembangan intelek, daya fokus, imaginasi, kreativiti, memori dan banyak lagi.
Andai ibu bapa menyedari betapa berharganya masa emas, pasti setiap detik kehidupan anak-anak akan cuba diuruskan sebaiknya supaya mereka mencapai perkembangan yang optimum.
Jangan berlengah lagi, masa itu akan berlalu pergi. Manfaatkan sebaiknya peluang yang ada, kerana hasilnya bukan untuk dituai hari ini. Tetapi apabila anak meningkat dewasa kelak.
Sumber: sakinahamid.com