Masa dan jenis simptom pertama autisme mungkin berbeza antara individu. Sesetengah kanak-kanak dengan autisme menunjukkan masalah dalam beberapa bulan pertama kehidupan.
Sementara yang lain, simptom mungkin tidak jelas kelihatan sehingga 24 bulan atau lebih. Sesetengah kanak-kanak dengan autisme kelihatan berkembang secara normal sehingga usia sekitar 18 hingga 24 bulan dan kemudian berhenti bertambah kemahiran baru dan/atau mula kehilangan kemahiran sedia ada.
Ciri-ciri autisme yang mungkin boleh dikesan pada masalah perkembangan bayi dan kanak-kanak termasuklah:
- Menjelang 6 bulan, tiada senyuman sosial atau ekspresi mesra kepada orang lain
- Menjelang 6 bulan, tidak memandang atau kurang memandang orang
- Menjelang 9 bulan, tiada perkongsian suara, senyuman atau komunikasi tanpa lisan yang lain
- Menjelang 12 bulan, tidak berceloteh seperti bayi lain
- Menjelang 12 bulan, tiada penggunaan isyarat untuk berkomunikasi (contohnya; menunjuk, mencapai, melambai)
- Menjelang 12 bulan, tiada respon apabila nama dipanggil
- Menjelang 16 bulan, tiada perkataan yang diucapkan
- Menjelang 24 bulan, tiada frasa dua perkataan yang bermakna
- Sebarang kehilangan kemahiran bercakap, berceloteh atau kemahiran sosial yang sebelumnya ada.
Apabila kanak-kanak semakin berusia, ciri-ciri autisme menjadi lebih variasi. Terdapat pelbagai bentuk tanda dan simptom, tetapi kebiasaannya melibatkan masalah kemahiran sosial, masalah percakapan dan bahasa, masalah komunikasi tanpa lisan, dan kelakuan yang tidak fleksibel.
Ciri-ciri autisme
Kesukaran bersosial
Interaksi sosial yang asas boleh menjadi sukar bagi kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme. Ramai kanak-kanak dengan spektrum autisme kelihatan lebih suka hidup di dunia mereka sendiri, menyendiri dan terpisah dari orang lain. Ini dapat dilihat pada tanda-tanda berikut:
- Kelihatan tidak tertarik atau tidak menyedari orang lain atau apa yang berlaku di sekelilingnya
- Tidak tahu bagaimana untuk berhubung dengan orang lain, bermain, atau berteman
- Tidak suka disentuh, dipegang, atau dipeluk
- Tidak tahu bermain dengan meniru: tiada permainan berkumpulan, meniru orang lain atau menggunakan mainan dengan cara yang kreatif
- Mempunyai masalah memahami perasaan atau bercakap tentangnya
- Kelihatan tidak memberi perhatian apabila orang lain bercakap dengannya
- Tidak berkongsi minat atau pencapaian dengan orang lain
Kesukaran bercakap dan berbahasa
Kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autisme mengalami kesukaran dengan percakapan dan bahasa. Mereka selalunya mula bercakap pada usia yang lewat dan menampakkan tanda-tanda berikut:
- Bercakap dalam nada suara yang tidak normal, atau dengan irama atau nada ganjil (contohnya mengakhiri setiap ayat seperti mengajukan pertanyaan)
- Mengulangi perkataan atau frasa yang sama berulang kali, selalunya tanpa niat untuk berkomunikasi
- Menjawab soalan dengan mengulanginya, dan bukannya menjawabnya
- Menggunakan bahasa secara salah (kesilapan tatabahasa, perkataan yang salah) atau merujuk dirinya dengan kata ganti diri ketiga
- Mempunyai kesukaran menyampaikan keperluan atau keinginan
- Tidak memahami arahan, pernyataan, atau soalan mudah
- Memahami dengan literal (tidak memahami jenaka dan sindiran)
Kesukaran berkomunikasi secara bukan lisan
Kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autisme mempunyai masalah untuk menangkap isyarat bukan lisan dan bahasa badan. Ini menjadikan interaksi dua hala dalam hubungan sosial sangat sukar.
- Mengelakkan pandangan
- Menggunakan ekspresi muka yang tidak sepadan dengan apa yang dikatakannya
- Tidak dapat menangkap ekspresi wajah, nada suara dan gerak tubuh orang lain
- Jarang membuat gerak isyarat (seperti menunjuk). Mungkin kelihatan dingin atau seperti robot
- Bertindak balas secara luar biasa terhadap ransangan visual, bau, tekstur, dan bunyi. Mungkin sangat sensitif terhadap bunyi-bunyi kuat. Boleh juga tidak bertindak balas terhadap orang yang masuk / keluar, serta usaha orang lain untuk menarik perhatiannya
- Postur badan yang tidak normal, kelam-kabut, atau bergerak dengan aneh (contohnya, berjalan dengan terjungkit)
Bersikap tidak fleksibel
Kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autisme sering membataskan diri dengan satu aktiviti, tidak fleksibel kepada perubahan dan juga obsesif dalam tingkah laku, aktiviti, dan minat mereka. Ini dapat dilihat dengan ciri-ciri seperti berikut:
- Mengikut rutin yang tegar (contohnya, berkeras untuk mengambil laluan tertentu ke sekolah)
- Sukar untuk menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan dalam jadual atau persekitaran (contohnya, mengamuk jika perabot disusun semula atau tidur pada masa yang berlainan daripada biasa)
- Kebergantungan yang luar biasa kepada mainan atau objek pelik seperti kunci, suis lampu, atau getah rambut. Terlalu obses menyusun atau mengaturkan benda dengan susunan tertentu
- Terlalu minat pada sesuatu topik yang khusus, selalunya yang melibatkan nombor dan simbol (contohnya, menghafal dan membaca fakta tentang peta, jadual kereta api, atau statistik sukan)
- Meluangkan masa yang lama menonton objek bergerak seperti kipas siling, atau memberi tumpuan kepada satu bahagian tertentu objek seperti roda kereta mainan
- Mengulangi tindakan atau pergerakan yang sama berulang kali, seperti mengibas tangan, menggoyangkan diri, atau berpusing.
Ciri-ciri berikut mencadangkan seorang kanak-kanak berisiko mempunyai autisme. Sesetengah kanak-kanak tanpa autisme mungkin mempunyai beberapa tanda-tanda ini, dan tidak semua kanak-kanak dengan autisme menunjukkan semua ciri-ciri autisme ini. Disebabkan itu, penilaian lanjut adalah sangat penting. Jika anak anda mempamerkan sebarang ciri-ciri berikut, sila dapatkan penilaian pakar.
Sumber: hellodoktor