Berita

Ungkapan Selamat Tinggal Sebelum Jatuh Dari Tingkat 8 Bangunan Sekolah

Share

Pelajar perempuan Tingkatan 1 di sebuah sekolah menengah di Jalan Syed Putra ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah sekitar pukul 6 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 6.59 petang.

Beliau berkata, mangsa berumur 13 tahun telah jatuh dari tingkat lapan bangunan Sekolah Menengah Kuen Cheng, Bukit Seputeh, Kuala Lumpur telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes ini.

Dalam pada itu, memetik laporan China Press, sebelum kejadian mangsa ada memuat naik video yang merutun jiwa ke platform media sosial, menzahirkan penghargaan kepada individu yang sentiasa bersama dengannya ketika susah dan senang.

“Saya sayang anda semua, kini saya hendak ucapkan selamat tinggal,” ujar remaja itu dalam bahasa Inggeris menerusi satu video yang kini sudah dipadam daripada media sosial.

Sebelum kejadian tragis itu, remaja perempuan itu sempat bergelak ketawa dalam perbualan bersama rakan-rakan. Remaja berkenaan digambarkan seorang yang ceria.

Lebih meruntun jiwa, abang kepada mangsa yang turut menuntut di sekolah sama dilaporkan menangis teresak-esak apabila menerima khabar duka mengenai pemergian adiknya itu.

Sementara itu, pihak sekolah Kuen Cheng dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian yang menimpa pelajar mereka.

Kaunseling daripada segi emosi dan psikologi turut diberikan kepada sesiapa yang terjejas susulan insiden itu.

Sumber: Sinar Harian & mstar

Published by
Nor Yusoff