
UPKK 2024, 22,351 murid raih keputusan cemerlang 9A. Seramai 22,351 daripada 236,986 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan memperoleh gred A dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diuji.
UPKK 2024, 22,351 Murid Raih Keputusan Cemerlang 9A
Mata pelajaran yang dinilai dalam peperiksaan ini termasuk Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa nilai gred purata skor (GPS) bagi UPKK tahun ini ialah 1.85, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 1.89 pada tahun sebelumnya.
Bagi mata pelajaran al-Quran, GPS yang dicatat adalah 1.46, manakala Akidah memperoleh 1.88, Sirah (2.20), Adab (2.03), Jawi dan Khat (2.18), Bahasa Arab (2.41), Ibadah (1.97), Penghayatan Cara Hidup Islam (1.24) dan Amali Solat (1.25).
Selain itu, seramai 19,007 murid berjaya memperoleh 8A, manakala 17,287 mendapat 7A dan 16,990 memperoleh 6A. Jumlah pelajar yang mendapat 5A pula adalah 17,516, diikuti 4A (20,372), 3A (37,056), 2A (35,495) dan 1A (23,970).
Menurut Mohd Na’im, seramai 27,830 murid tidak memperoleh sebarang gred A, manakala empat calon mendapat semua D.
Beliau menegaskan bahawa peperiksaan ini merupakan satu kaedah untuk menilai tahap pembelajaran murid sepanjang lima tahun mengikuti KAFA.
“Bagi mereka yang memperoleh keputusan sederhana dan rendah, masih ada ruang untuk meningkatkan prestasi bagi mencapai kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan UPKK pada Khamis.
Tambahnya, pendidikan KAFA bukan sekadar berorientasikan peperiksaan, tetapi turut menekankan nilai-nilai Islam dalam membentuk murid yang seimbang dari aspek intelektual dan sahsiah.
Calon yang menduduki UPKK 2024 boleh menyemak keputusan mereka secara dalam talian menerusi laman sesawang http://semakan.islam.gov.my dengan menggunakan nombor MyKid dan angka giliran masing-masing.
Semakan boleh dibuat bermula jam 10 pagi, dan keputusan yang dipaparkan adalah dalam bentuk rumusan umum. Sementara itu, slip keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah masing-masing bermula jam 9.30 pagi pada hari Jumaat.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: UPKK Dapat 8A, Fasih Berbahasa Inggeris, Murid SJKC Buat Ramai Kagum
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI