Pesanan kepada si isteri. Semuanya tak perlu terlalu sempurna. Mempunyai keinginan untuk buat yang terbaik dalam rumahtangga adalah tindakan terpuji namun dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, usahlah berusaha sehingga membebankan diri.
Buat ikut kemampuan, layan suami ikut keupayaan yang ada semuanya tak perlu terlalu sempurna.
Nak bangun pagi pukul 4 atau 5 pagi untuk menyiapkan sarapan itu bagus, tapi kalau dah berdukung anak kecil di dapur, bersengkang mata, tidur cuma 3, 4 jam sehari, itu akan memenatkan dan meletihkan anda.
– Menyediakan sarapan
– Menyiapkan anak untuk ke sekolah, menghantar anak ke sekolah
– Mengemas rumah (sapu sampah, mop rumah, buang sampah, lap cermin, almari, kemas dapur, susun barang-barang, susun permainan anak)
– Basuh baju, sidai baju, lipat baju
– Memasak untuk makan tengahari
– Menjemput anak dari sekolah
– Mengemas dapur setelah anak-anak selesai makan
– Membantu anak-anak menyiapkan kerja-kerja sekolah
– Menyediakan cucur, air minum petang untuk suami balik kerja
– Menyambut kepulangan suami, melayani suami
– Menyediakan makan malam, mengemas dapur
– Menidurkan anak-anak
– Iron baju sekolah, siapkan peralatan dan kelengkapan sekolah anak
– Iron baju suami, sediakan kelengkapan untuk suami
– Tidur
Penat dan letih tidak terkira tapi tak perlu semuanya dilakukan dalam SATU hari. Jika hari ni mengemas, maka esok buat laundry…tak perlu terlalu sempurna sebenarnya…banyak isteri yang buat serba-serbi, kemudian suami balik kerja, suami persoalkan, “ kenapa anak tak mandi lagi?”
Satu pertanyaan sahaja, tapi hati mula rasa kurang senang dengan pertanyaan tersebut, sebab diri dah penat, dah letih dengan apa yang dilakukan dari pagi sehingga petang. Ditambah lagi dengan tidur yang tak cukup pasti rasa nak marah rasa nak melenting. Suami kalau boleh, jangan tanya, sebaliknya kita sendiri yang mandikan anak, Kalau mainan bersepah, kita sendiri kutip, kemas.
Elakkan dari mempersoalkan, sebaliknya bantu.
Ya, kita juga letih, seharian dah bekerja, tapi isteri juga letih walaupun seharian duduk rumah…menjadi surirumah itu bukan bermakna dia tidak buat apa-apa…sama-sama letih, sama-sama penat sebenarnya, tapi bukankah perkahwinan itu satu perkongsian. Kita berkongsi jalan hidup yang sama. Maka sebaiknya, sama-samalah kita berkongsi untuk meringankan beban pasangan kita.
Dan kepada isteri-isteri diluar sana, semuanya tak perlu terlalu sempurna dalam rumah tangga buat ikut kemampuan supaya anda tidak tertekan.
Sumber: Firdaus Shakirin