Menguruskan perasaan marah mengikut sunnah adalah cara terbaik yang sepatutnya dilakukan oleh semua terutamanya yang bergelar ibu ayah kepada anak kecil yang banyak ragam. Tentu anda biasa rasa cepat nak marah pada si kecil kan? Stres, penat, letih dengan pelbagai urusan rumah tangga dan melayan kerenah anak-anak kecil kadangkala menyebabkan kita cepat nak marah.
Memang sifat marah dan panas baran tak boleh lari daripada sebahagian hidup kita. Sebenarnya tak ada manusia pun yang suka jadi orang yang cepat marah apatah lagi kalau dah menjadi ibu ayah. Biasanya lepas marahkan anak, seorang ibu atau ayah itu akan rasa menyesal kerana tidak mampu mengawal emosi menghadapi karenah anak.
Bukan kita suka sifat pemarah itu dan bukannya kita tak cuba untuk mengurangkan atau menghilangkan ia namun masih akan berulang. Menjadi ibu ayah yang pemarah dan bengis dalam mendidik anak-anak bukanlah satu sikap yang baik.
Jangan sampai anak tak boleh langsung buat silap. Dah namanya kanak-kanak tentu sahaja mereka masih dalam proses pembelajaran yang akan sering melakukan kesilapan. Terpulang pada kita nak cuba atau tak usaha mengawal tahap kemarahan. Tetapi yang sebaiknya sebagai penganut agama Islam kita contohi cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengurus kemarahan.
Amalkan cara urus marah ikut sunnah supaya ia boleh jadi kaedah terbaik untuk elak rasa cepat marah pada si kecil dalam masa yang sama kita dapat pahala.
1.Membaca ta’awudz (doa perlindungan) “Audzu Billahi Minashaytan Nirajim”
Bila rasa nak marah cepat-cepat baca doa perlindungan audzu billahi minashaytan nirajim yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam”
2. Mengubah posisi badan
Meninggalkan tempat yang menyebabkan anda marah. Sabda Baginda: “Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring.” (HR Ahmad & Abu Daud)
3. Berdiam diri itu adalah lebih baik
Api kemarahan akan bertambah marak sekiranya ada yang cuba ‘membakarnya’. Jadi demi untuk mengawal marah, hendaklah berdiam diri daripada menengking dan membebelkan si anak. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat ituu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Berwuduk
Mengambil wuduk dapat mengurangkan perasaan marah. Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api, apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk.” (Abu Daud)
5. Solat sunat
Ketika sedang marah, manusia mengalami ketegangan saraf terutama saraf otak dan sedang bergelut dengan kekuatan hawa nafsu yang sangat dahsyat iaitu kekuatan hasutan syaitan. Maka ajaran Nabi s.a.w supaya mengubah kedudukan diri dari berdiri kepada duduk dan dari duduk kepada berbaring bertujuan untuk mengurangkan ketegangan saraf otak dan saraf-saraf lain.
Sekiranya pergerakan fizikal itu masih tidak boleh meredakan emosi, Nabi s.a.w berpesan supaya segera berwuduk dan dirikan solat sunat dua rakaat. Tujuannya supaya si pemarah segera berlindung kepada kekuatan Allah untuk mengusir kekuatan syaitan yang menjelmakan diri dalam bentuk sikap marah dan emosi tidak terkawal.
Semoga dengan mengamalkan cara mengurus rasa marah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w, kita semua mampu menjadi ibu bapa yang dapat mengawal sikap marah berlebihan terhadap anak-anak.