Kehamilan

Urutan Naikkan Uri Bawah Boleh Sebabkan Pendarahan. Jangan Memandai, Bimbang Nanti Ragut Nyawa Ibu

Share

Soalan:

Saya kini hamil tujuh bulan. Ini bayi sulung saya. Ketika membuat pemeriksaan kandungan, doktor menyatakan keadaan uri saya berada di bawah dan menutupi ruang untuk bayi keluar. Adakah keadaan uri ini akan berubah? Perlukah saya dapatkan rawatan tradisional seperti berurut untuk menaikkan uri kembali?

Jawapan:

Uri atau tembuni adalah tisu atau organ yang terbentuk bersama janin bagi membolehkan bayi mendapat oksigen dan nutrisi daripada ibu melalui salur nadi yang ada di dalam tali pusat. Bahan-bahan kumuhan bayi pula disalurkan melalui pembuluh darah yang mengalir daripada bayi ke uri.

Kedudukan uri di dalam sesuatu kehamilan merupakan satu fenomena yang spontan dan rawak. Uri pada peringkat awalnya mengelilingi kawasan karung kehamilan. Rupa bentuknya seperti bulatan berwarna putih dalam imej ultrasound. Bentuk sebegini dinamakan sebagai circumferential.

Apabila kandungan semakin membesar, uri tersebut akan tertumpu kepada satu-satu bahagian. Ia adalah anterior (hadapan), posterior (belakang), lateral (sisi, sama ada kanan atau kiri), low lying (uri berada di kawasan bawah rahim dan 90% akan naik ke atas apabila kandungan berusia 28 minggu) dan fundal (uri duduk di kawasan atas rahim). Ketika hamil, setiap 13 minggu bersamaan dengan tiga bulan. Ini bererti 26 minggu (enam bulan). Jika kandungan puan berusia tujuh bulan, ini bererti janin berusia 30 minggu.

Jika uri masih berada di bawah dan menutup ruang untuk bayi keluar, puan dikategorikan sebagai kes placenta praevia. Uri yang menutup ruang untuk bayi keluar, ia dikenali sebagai placenta praevia major. Kalau uri berdekatan dengan ruang untuk bayi keluar (tetapi tidak menutupnya), ia digelar placenta praevia minor.

Kes-kes placenta praevia dikategorikan sebagai tahap satu, dua, tiga atau empat tetapi bergantung kepada keputusan ultrasound yang doktor lakukan ke atas kehamilan. Puan bolehlah bertanya doktor mengenai tahap placenta praevia yang puan dialami.

Risiko kes placenta praevia adalah pendarahan. Ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja selepas 28 minggu. Pendarahan yang diakibatkan olehnya membahayakan ibu dan kandungan. Oleh itu, puan dikehendaki mendaftar masuk hospital sehingga bersalin. Jika berlakunya pendarahan semasa berada di hospital, puan mempunyai peluang untuk selamat daripada masalah ini. Puan akan ditolak ke bilik bedah untuk melahirkan bayi dan seterusnya, doktor akan mengeluarkan uri. Selepas uri dikeluarkan, barulah pendarahan ini berhenti. Apabila pendarahan berhenti, nyawa ibu akan terselamat.

Jika mengurut cara tradisional atau bukan tradisional, risikonya adalah pendarahan juga. Nyawa bayi dalam kandungan boleh melayang bila pendarahan berlaku. Sekiranya kurang faham atau kurang percaya, pergilah kepada doktor yang kedua atau ketiga, dapatkan pendapat mereka. Jika semuanya menasihatkan perkara yang sama, saya pasti puan dan suami tidak akan berlengah lagi untuk masuk ke  hospital.

Ibu hamil dan mempunyai masalah placenta praevia tidak akan merasai kesakitan atau kurang sihat sehinggalah pendarahan berlaku. Darah yang keluar mengalir dari faraj turun ke paha dan kaki, membasahi kain atau baju berlaku secara senyap dan tiba-tiba. Hanya yang sudah sedia ada di wad boleh menerima rawatan yang segera.

Kesimpulannya, kes placenta praevia adalah kes yang boleh meragut nyawa. Untuk keselamatan diri puan terutamanya, daftarlah ke hospital yang berdekatan dan akurlah dengan nasihat doktor. Saya doakan keselamatan puan dan bayi.

Published by
Intan Jastina