Pernah tak ibu-ibu dengar mengenai urutan perineum? Satu kajian pernah dijalankan menunjukkan urutan perineum ini mampu mengurangkan koyakan pada bahagian vagina kita semasa bersalin sekaligus mengurangkan risiko ‘kena gunting’ oleh doktor.
Kebanyakan wanita yang mengamalkan urutan ini melaporkan mereka tidak mengalami kesakitan pada bahagian perineum atau faraj dalam tempoh 3 bulan selepas bersalin normal
Anda boleh memulakan urutan perineum bermula pada minggu ke 34 dan sehingga saat ingin bersalin. Anda boleh lakukan sendiri dirumah, 2 kali sehari dengan menggunakan minyak tertentu yang berasaskan bahan semulajadi.
Antaranya minyak zaitun, minyak kelapa dara dan sebagainya. Elakkan minyak bayi, jeli petroleum atau apa jua minyak yang mengandungi bahan kimia. Nak jamin keselamatan anda, buat minyak sendiri dengan menggunakan kelapa parut yang ala- ala minyak selusuh tu.
Anda boleh minta tolong suami yang urutkan tapi yang penting lakukannya dalam keadaan tenang dan jangan sesekali dalam keadaan terpaksa. Waktu yang sesuai ialah selepas mandi dan jika anda ragu- ragu, boleh dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan urutan ini. Urutan ini tidak dibenarkan jika anda mempunyai jangkitan pada bahagian faraj.
9 langkah mudah urutan perineum
Cuci tangan anda sehingga bersih, kuku hendaklah sentiasa pendek.
Sandar pada bantal dan duduk seperti mencangkung. Dapatkan kedudukan yang selesa dan tiada gangguan.
Sapukan jari dengan minyak pilihan anda
Masukkan 1 jari ke dalam dinding faraj atau lebih kurang 1 hingga 1.5 inci ke dalam faraj.
Pastikan 4 jari lagi di bahagian punggung
Tekan ke bawah iaitu ke arah dubur dan ke sisi sehingga mengalami sedikit rasa regangan.
Tetapkan keadaan tersebut selama 2 minit.
Gerakkan semua jari bentuk U dan lakukannya berulang kali. Urut selama mana yang anda mahu sekurang- kurangnya lima minit setiap kali.
Selepas selesai melakukan urutan, buat kemutan pada bahagian faraj. Ia dilakukan sama seperti anda hendak menahan kencing atau menahan kentut. Tahan selama 10 saat dan lepaskan 10 saat. Ulang semula sehingga 10 kali.
Urutan yang dilakukan di bahagian perineum amat digalakkan ketika hamil. Hal ini dapat memudahkan proses bersalin dalam masa yang sama dapat elakkan bahagian faraj kita digunting oleh doktor. Sekali lagi, selamat melahirkan anak-anak hebat, semoga semuanya mudah dan menjadi pengalaman berharga buat ibu- ibu semua.
Sumber: ibudoakan.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika sedang hamil, terdapat pelbagai perubahan yang akan berlaku pada tubuh badan seorang wanita sama ada dari aspek fizikal atau mental.
Antara perubahan yang paling ketara adalah sudah pasti pada perut mereka yang kian menimbul dan membesar seiring perjalanan usia kandungan.
Begitu juga dengan perubahan di mana ibu hamil cenderung untuk tidak berada dalam mood yang baik akibat ketidakcelaruan hormon tubuh badan.
Namun ada satu lagi perubahan ketika hamil yang sangat dirisaukan iaitu kulit gelap ketika hamil. Adakah ia normal? Jom kita semua ikuti artikel ini yang dikongsi oleh Hello Health!
Sebenarnya, perubahan pada tubuh badan khususnya kulit buat seorang wanita yang sedang hamil bukanlah satu perkara yang mengejutkan.
Kondisi kulit gelap ketika hamil ini dikenali secara saintifik sebagai chloasma atau melasma dan dipercayai berlaku pada 50% ke 70% kehamilan.
Sekiranya ia berlaku kepada anda, akan ada kawasan kulit tertentu yang berubah warna menjadi lebih gelap berbanding warna kulit asal.
Kebiasaannya, tompok gelap ini akan berwarna tona gelap seperti hitam dan coklat serta biasa berlaku pada kawasan muka ibu hamil.
Disebabkan itu, kondisi ini turut dikenali sebagai topeng kehamilan (mask of pregnancy).
Pun begitu, tahukah kalian bahawa kondisi ini juga boleh terjadi pada kawasan kulit lain selain muka? Ada juga pada tempat yang sangat mengejutkan!
Tompok-tompok berwarna gelap pada kawasan kulit yang muncul ketika hamil ini sudah pasti akan menjejaskan penampilan dan keyakinan seorang wanita.
Untuk pengetahuan anda, ia adalah disebabkan oleh hiperpigmentasi pada kulit yang akan berlaku akibat beberapa faktor lain yang akan kami bincangkan nanti.
Berikut adalah kawasan kulit yang berisiko menjadi gelap ketika hamil:
Pertamanya, kondisi ini sudah tentu akan terjadi pada kawasan kulit muka dan akan membuat sebahagian tempat menjadi lebih gelap berbanding asal.
Kebiasaannya, kawasan kulit muka yang akan terjejas adalah dahi, pipi, hidung, bawah mata, dan atas bibir yang akan menjejaskan kecantikan kulit wajah.
Kelihatan seperti daki yang penuh pada leher, kondisi ini sebenarnya bukanlah disebabkan anda tidak menjaga kebesihan diri ketika hamil.
Namun leher juga adalah salah satu kawasan kulit yang mudah terjejas sekiranya berlaku proses hiperpigmentasi kulit semasa mengandung.
Hiperpigmentasi kulit ketika sedang hamil juga akan memberi kesan kepada kawasan kulit bawah lengan sekali gus menjadikannya lebih gelap.
Selain itu, kondisi ini juga dipercayai boleh berlaku lebih teruk akibat geseran di antara kulit serta penggunaan deodoran yang tidak sesuai.
Meskipun warna puting payudara anda memang gelap secara semula jadi, namun akan wujud perubahan di mana ia lebih gelap semasa mengandung.
Ia adalah disebabkan oleh proses hiperpigmentasi kulit selain didorongi oleh aktiviti hormon estrogen dan progesteron yang aktif ketika hamil.
Kulit bahagian kelangkang atau kawasan di antara pangkal paha juga berisiko menjadi gelap ekoran kondisi yang dinamakan sebagai topeng kehamilan ini.
Dalam pada itu, ia juga dipengaruhi oleh faktor berat badan yang cenderung meningkat lantas membuat kulit lebih banyak terjadi geseran.
Baiklah, sekarang kita sudah tahu kawasan-kawasan kulit yang cenderung menjadi gelap tatkala seorang wanita itu sedang mengandung.
Puncanya juga sudah kita semua ketahui iaitu proses hiperpigmentasi akibat perubahan hormon tubuh badan seorang wanita.
Namun ketahuilah wujud juga faktor lain yang boleh jadi pencetus antaranya:
Buat mereka yang risau dengan penampilan diri semasa sedang mengandung ini, ada beberapa cara yang boleh kalian lakukan.
Pertama sekali adalah dengan mengambil vitamin B9 yang tinggi folat kerana ia boleh mengurangkan proses hiperpigmentasi daripada berlaku.
Selain itu, sila pastikan anda menggunakan pelindung matahari yang mengandungi SPF untuk mengelakkan pendedahan terhadap cahaya.
Selamat mencuba!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sukar mendapatkan anak kedua atau seterusnya sering dihadapi sesetengah pasangan. Untuk anak sulung, ibu berupaya hamil dengan mudah. Namun bila nak dapatkan anak kedua, ketiga atau seterusnya, asyik gagal. Kenapa ye?
Ada yang mengadu kitaran haid tidak menentu walhal sebelum ini tiada masalah. Ada kala tiada haid, haid yang singkat dan ada waktunya haid keluar berketul-ketul. persoalannya adakah masalah kitaran haid ini yang menjadi punca sukar untuk mendapatkan cahaya mata?
Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Columbia Asia Seremban, keadaan ini sebagai “secondary infertility” atau masalah kesuburan sekunder. Ia berlaku apabila seseorang wanita mendapati dirinya sukar untuk hamil semula setelah mengalami satu atau lebih kehamilan atau keguguran.
Bagi mengesan punca, pasangan suami isteri perlu hadir sendiri ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan dan penyiasatan yang melibatkan ujian asas sebelum memberi ubat subur kepada pasangan yang bermasalah.
“Saya ingin menekankan bahawa haid yang tidak teratur bukan bermakna seseorang wanita itu tidak menghasilkan telur atau benih. Tetapi haid yang tidak teratur mungkin bererti telur atau benih yang dihasilkan adalah secara rambang sehingga menyebabkan pasangan sukar untuk menentukan bilakah waktu subur untuk mengadakan hubungan intim bersama suami,” kata Dr Norintan.
Sebanyak 33% pasangan lulus ujian kesuburan tetapi masih belum hamil dikenali sebagai unexplained infertility.
Wanita yang menghadapi masalah untuk mengira atau menentukan hari subur bolehlah menentukan waktu subur menggunakan kit ovulasi yang asli untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat!
Jika kit menunjukkan anda tidak mempunyai ovulasi (waktu subur), doktor boleh melakukan pemeriksaan imbasan atau “transvaginal ultrasound” untuk memeriksa keadaan ovari dan memantau pengeluaran telur (dominant follicle). Pemeriksaan mungkin kerap jika doktor ingin memastikan telur tadi berkembang dan seterusnya matang.
Kegagalan untuk menghasilkan sebiji dominant folliclememerlukan pemeriksaan darah yang dikenali sebagai hormonal assay untuk memastikan pesakit sebegini tidak mengalami masalah-masalah seperti;
Doktor akan juga memastikan wanita terbabit tdiak menghidap kencing manis. Jika ada, ia wajib dirawat dan distabilkan sebelum cuba untuk hamil.
Selain itu, masalah fibroid dan ovarian cyst selalunya menjadi penghalang kehamilan. Lebih-lebih lagi jika ovarian cyst tadi merupakan endometrioma atau endometriosis kerana ianya menurunkan kadar kesuburan kepada 20 hingga 30%!
Manakala endometrial polyp pula menyebabkan dinding rahim tidak sesuai untuk kehamilan. Ujian hysterosalphingogram (HSG) untuk memeriksa salur Fallopian.
Jika kedua -dua salur Fallopian didapati tersumbat, pesakit akan dirujuk ke Unit IVF di Hospital yang mempunyai Unit Infertiliti. Namun sekiranya kedua-dua atau salah satu salur Fallopian normal tersumbat, ujian air mani akan dilakukan kepada suami.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keguguran berlaku bila semua atau sebahagian dari kandungan terkeluar atau dikeluarkan dari rahim pada usia kandungan kurang dari 22 minggu. Kandungan yang tidak menunjukkan perkembangan atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hidup juga dirujuk sebagai keguguran jika berlaku kurang dari 22 minggu.
Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 22 minggu mengandung.
Sebab-sebab
Banyak faktor boleh menyebabkan keguguran dan selalunya ia berbagai (multifactorial) dan bertindih. Antaranya adalah:
Masalah genetik: 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.
Masalah penyakit si ibu: seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid (lihat fibroid)
Faktor-faktor yang meningkatkan risiko keguguran
Usia ibu: ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi berbanding yang lebih muda
Pernah keguguran sebelumnya: jika keguguran sekali, risko untuk gugur lagi adalah 20%, dan jika pernah 2 kali gugur, risiko adalah 30%. Risiko meningkat kepada 43% kalau pernah 3 kali gugur atau lebih.
Merokok: merokok lebih dari 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko
Alkohol: pengambilan alkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.
Demam panas: melebihi 37.80C atau lebih boleh menyebabkan keguguran
Trauma: trauma (kemalangan) dibahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko. Ini termasuk juga rawatan amniocentesis dan chronic villous sampling (sila lihat)
Kafeine: pengambilan kopi atau bahan berkafein spt cola dan sebagainya berlebihan boleh meningkatkan risiko keguguran. Tidak digalakkan mengambil lebih dari 300mg sehari.
Sebab-sebab lain: risiko meningkat kalau si ibu tercemar dengan bahan seperti: jangkitan, sesetengah ubat-ubatan, stress fizikal yang berlebihan, radiasi dan bahan-bahan kimia.
Jenis
Ancaman keguguran (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut. Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Di kebanyakkan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan. Ada juga kes dimana pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur. Majoriti kes tidak berakhir dengan keguguran.
Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran tidak dapat dielakkan. Pangkal rahim terbuka, tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.
Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – bermakna kandungan telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal lagi dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.
Keguguran lengkap (complete miscarriage) – kandungan telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang. Ultra bunyi menunjukkan rahim tidak tertinggal janin.
Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, mengigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning)
Persembahan klinikal
Antara simptom adalah pendarahan (tumpah darah) dan sakit (di bahagian bawah perut) semasa awal mengandung (kurang minggu ke-12). Pendarahan yang sedikit dan rasa kurang selesa di bahagian perut boleh dianggap normal kepada kebanyakkan wanita yang mengandung, akan tetapi kalau pendarahan yang banyak dan sakit itu bertambah; pesakit dinasihatkan berjumpa doktor segera.
Diagnosis
Dalam kebanyakkan kes, ultra bunyi digunakan untuk memastikan kandungan tersebut masih bernyawa atau tidak (viable). Ultra bunyi juga penting dalam mengenalpasti lokasi kandungan itu (lihat ectopic pregnancy)
Rawatan
Pemerhatian (observation) – kebanyakan ibu yang mengalami keguguran tidak memerlukan rawatan, baik rawatan perubatan atau pembedahan. Jika keguguran berlaku sebelum minggu ke-13, dan si ibu stabil (tidak tumpah darah yang banyak atau tidak dijangkiti kuman), cukup sekadar pemerhatian sahaja. Selalunya janin tersebut akan keluar dari rahim dalam masa seminggu dua. Ada kalanya mengambil masa 3 hingga 4 minggu selepas itu. Apabila kandungan itu keluar, doktor selalunya akan membuat ultra bunyi untuk melihat tiada bahagian janin yang masih tertinggal di dalam rahim (incomplete miscarriage).
Rawatan perubatan– sesetengah kes, doktor akan memberi ubat pil untuk dimakan atau masukkan ke dalam faraj untuk mengeluar kandungan yang telah keguguran tersebut
Rawatan Pembedahan– prosidur ini dinamakan dilatation & curettage (D&C). Doktor akan membuka (dilatation) pangkal rahim (servik) dan membuat curettage (cuci) dalam rahim bagi mengeluarkan janin yang telah keguguran tersebut. D&C dilakukan jika si ibu tidak mahu menunggu janin keluar secara spontan ataupun terdapat banyak pendarahan atau jangkitan berlaku. Suatu kaedah lagi yang boleh digunakan adalah “MVA”, iaitu “Manual Vacuum Aspiration” atau kaedah menyedut janin yang agak mudah dilakukan.
Selepas keguguran?
Selepas keguguran, ibu dinasihatkan supaya tidak memasukkan apa-apa bahan (tampon) atau douching selama 2 minggu. Selalunya doktor menasihatkan tunggu 2-3 bulan sebelum cuba mengandung lagi. Tiada masalah mengambil kaedah perancang (termasuk IUCD) selepas keguguran. Doktor mungkin memberi ubat tambah darah dan antibiotik untuk mengurangkan kurang darah (lihat anemia) dan risiko jangkitan (keguguran septik).
Kredit: KKM portal
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!