Usaha Ibu Buat ‘Activity Board’, Berbaloi! Dari Anak Lambat Cakap Kini Semakin Petah!

Share

Pastinya dalam kalangan ibu bapa masih tak perasan sama ada anak speech delay atau pun tak. Ini kerana kebanyakan anak-anak hari ini lebih suka tengok gajet dan televisyen. Jadi ibu bapa berpendapat, anak diam bagus kerana dia fokus pada cerita yang ditontonnya.

Namun begitu, dalam tak sedar ia sebenarnya penyumbang kepada anak speech delay atau lambat cakap. Kes ini dah banyak berlaku dan rata-ratanya lambat dirujuk pada pakar sehinggalah anak nak masuk tadika.

Doktor sahkan anak speech delay

Kisah ibu ini, Engku Dewi Noraniza mengenai anaknya, Muhammad Yusuf Anaqi berusia 3 tahun yang dikategorikan speech delay pada usia 2 tahun lebih tetapi mula menunjukkan perkembangan positif selepas melakukan aktiviti dan rawatan susulan boleh dijadikan panduan.

ARTIKEL BERKAITAN [Rangsang Semua Deria Anak Seawal 0-6 Tahun, Bantu Cepatkan Anak Menulis & Baca]

Anak saya berusia 3 tahun dan adalah kanak-kanak yang ada masalah ‘speech delay’ selepas didiagnos oleh doktor. Sekarang sedang menjalani terapi di Hospital Serdang. Sepatutnya bagi kanak-kanak normal, usia 2 tahun lebih dah boleh sebut satu perkataan bermakna tapi Yusuf Anaqi hanya bercakap dalam bahasa jargon.

Tapi dia boleh faham apa yang saya cakap atau arahkan dia cuma dia nak beritahu atau cerita sesuatu saja yang tak boleh lagi.

Pada usia yang masuk 3 tahun ini saya perlu buat sesuatu untuk pastikan dia boleh fokus  pada sesuatu aktiviti. Walaupun sudah menjalani terapi tapi saya rasa itu tidak mencukupi untuk membolehkan anak saya bercakap jadi saya mengambil alternatif lain.

Saya banyak merujuk aktiviti untuk kanak-kanak ‘speech delay’ maka tercetuslah aktiviti menyeronokkan seperti ini.

Alternatif bagi anak yang sukar fokus 

Pada awalnya niat saya membuat aktiviti ini adalah untuk menarik minat dan fokus anak saya memandangkan dia sukar untuk fokus apabila menggunakan buku.

Saya bercadang untuk menghantar anak ke sekolah tahun hadapan tapi saya risau dia tidak boleh fokus jika guru mengajar dan akan mengacau kawan-kawan lain.

Permulaannya saya buat aktiviti board yang dia suka. Tujuannya bukan untuk dia menghafal setiap perkataan yang ditulis tetapi untuk dia minat belajar. Ibaratnya belajar sambil main.

Setiap kali bermain dengan anak, saya akan berkomunikasi dengannya untuk galakkan dia bercakap. Setiap gambar saya sertakan dengan cerita atau penerangan yang berkaitan dengan aktiviti harian.

Segelintir orang mungkin salah faham yang perkataan itu sungguh berat untuk kanak-kanak speech delay sepertinya tetapi setiap aktiviti yang saya buat bukan untuk tujuan menghafal semata-mata.

LAGI ARTIKEL BERKAITAN [Anak 6 Tahun, Boleh Baca Suku Kata Mudah, Bagus! Jika Belum, Sila Ambil Perhatian]

Selain itu, saya juga ada membuat aktiviti lain untuk melatih otot muka, kaki, tangan dan sebagainya. Setiap aktiviti yang saya buat saya banyak rujuk melalui youtube. Cuma activity board ni saya ketengahkan untuk curi sedikit fokus dari anak.

Dah mula nampak perubahan

Kongsi Dewi Noraniza lagi, alhamdulillah setakat ini dah ada perubahan. Sedikit sebanyak anak sudah mampu mengikut apa yang saya tuturkan walaupun dalam nada pelat dan anak juga mampu memberi fokus dengan setiap aktiviti yang saya lakukan bersamanya. Niat saya hanya untuk berkongsi pengalaman dengan ibu bapa yang anak speech delay dan tak sangka ramai juga yang berada dalam situasi saya.

Walaupun aktiviti ini baru dimulakan sejak sebulan yang lepas, nampak anak Yusuf Anaqi mula tunjukkan minatnya. Mulanya saya buat satu sahaja untuk tengok reaksi dia bermain lama kelamaan dia jadi minat. Lepas itu, saya buatkan lagi dan dia memang suka dan lebih fokus.

Kebetulan memang pakar syorkan untuk buat aktiviti bersama anak. Jadi saya banyak google aktiviti yang boleh dilakukan. Mana yang boleh DIY sendiri, saya akan buat. Kebanyakannya saya gunakan barang yang murah saja. Semua saya beli dekat kedai RM2.10.

Syukur alhamdulillah daripada apa yang saya lakukan bersama-sama dengannya dia dah boleh fokus dan ikut apa saya ajar. Paling buatkan saya dan suami bangga, Yusuf Anaqi mampu keluarkan perkataan bermakna walaupun pelat. Bukan itu saja, setelah sekian lama akhirnya terkeluar juga perkataan mama papa untuk memanggil kami.

Kredit: Engku Dewi Noraniza

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy