Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan Siti Mariam Daud, 31, dan suaminya Mohd Azrul Ramli, 33, mula mencari jalan untuk mendapatkan anak. Kehamilan secara semula jadi tidak berjaya mereka kecapi, lantas tidak membuang masa berjumpa dengan doktor. Pertama kali berjumpa pakar kesuburan, pasangan ini diberitahu masalah kesuburan pada sebelah suami menyukarkan usaha mereka untuk hamil. Tidak berputus asa atau menyalahkan mana-mana pihak, mereka berusaha lebih gigih untuk mendapatkan zuriat.
Bukan setakat berurut dan rawatan kampung, akhirnya mereka memutuskan untuk mencuba rawatan kesuburan IVF. Cadangan ini diberikan oleh pakar kesuburan pertama yang mereka jumpa. Dalam tempoh empat tahun, mereka mengumpul duit untuk memastikan mereka dapat menjalani rawatan ini. Ikuti perjalanan kisah kehamilan Mariam demi mendapatkan si comel Maryam Assyifa, 9 bulan, (ketika sesi fotografi dibuat).
Bukan Sekadar Satu Pakar
“Untuk merujuk masalah kami, bukan sekadar seorang pakar yang kami temui. Beberapa orang pakar yang kami jumpa mencadangkan agar kami mencuba rawatan IVF. Saya dan suami berbincang serius dan akhirnya kami putuskan untuk mencuba,” kata Mariam memulakan cerita. Dek kerana kesungguhan untuk mendapatkan anak, Mariam dan suaminya berusaha untuk mengumpul duit demi menjalani rawatan tersebut.
Dalam tempoh dua ke empat tahun perkahwinan, mereka tanpa jemu berusaha dan akhirnya berjaya mengumpul sejumlah wang untuk membuat rawatan yang disarankan oleh pkar kesuburan. Pada hujung tahun 2017, mereka memulakan rawatan dengan suntikan untuk merangsang telur Mariam agar berupaya untuk hamil.
“Saya diminta untuk membuat suntikan selama dua minggu. Selang sehari, ada hari perlu dua suntikan. Ada hari lain pula hanya satu suntikan diperlukan. Dalam tempoh itu, saya komited mengikut jadual yang diaturkan oleh doktor untuk menjayakan usaha ini. Alhamdulillah selepas satu kali rawatan, saya kemudiannya disahkan hamil pada awal tahun lepas,” cerita Mariam lagi.
Menurut Mariam lagi, rawatan itu berkesan dan hanya mengambil masa yang singkat kerana mereka melakukan fresh transfer. Sepanjang kehamilan, Mariam tidak mengalami sebarang komplikasi.
Ads
Suami Jaga Diet, Makan Tak Boleh Sembarangan
Pada awalnya semasa menjalani rawatan kesuburan, Mariam dinasihatkan oleh juru rawat untuk menjaga pemakanannya. Mariam tidak digalakkan untuk mengambil makanan pedas, makanan segera mahupun makanan yang diproses. Juru rawat meminta Mariam untuk berdiet dan amalkan pemakanan sihat. “Dalam tempoh itu, saya memang berpantang. Bahkan suami yang jaga diet saya. Untuk mengelakkan saya makan yang bukan-bukan, dia yang memasak untuk saya,” tambah Mariam lagi. Mariam juga memberitahu suaminya sangat berdisiplin dan menjaga pemakanannya tanpa gagal.
Dugaan untuk mendapatkan anak, Mariam mengalami mabuk teruk sepanjang tiga bulan pertama kehamilannya. Dia terpaksa mengambil cuti kerana keadaannya ketika itu memerlukan Mariam untuk bed rest. “Saya tak boleh makan apa pun waktu itu. Bila makan akan termuntah. Mabuk teruk jugalah sampaikan saya tidak boleh bangun. Selera makan pun tak ada ketika itu,” kata Mariam lagi.
Tiba Waktu Bersalin Nekad Letak Jawatan
Melepasi trimester pertama kehamilan, kesihatan Mariam semakin pulih. Dia sudah mampu bekerja. Masuk trimester kedua dan ketiga kehamilannya, Mariam terus bekerja seperti biasa. Sehinggalah tarikh kelahiran Syifa semakin tiba, Mariam nekad untuk berhenti kerja. Keputusannya itu disokong sepenuhnya oleh Azrul memandangkan mereka sudah banyak berusaha untuk mendapatkan anak.
Ads
“Saya melahirkan Syifa pada 31 Ogos 2018. Tarikh itu memang saya pilih memandangkan kebetulan pada tarikh itu kandungan saya pun sudah 38 minggu. Beberapa hospital yang kami pergi, kesemuanya mencadangkan kelahiran melalui pembedahan. Mereka tidak mahu ambil risiko walaupun kes saya dirujuk ke hospital kerajaan. Akhirnya saya dan suami memutuskan untuk saya bersalin di sebuah hospital swasta,” kata Mariam menceritakan tentang kelahiran Syifa.
Segalanya Demimu, Syifa…
Si comel Syifa dilahirkan pada usia kandungan 38 minggu melalui pembedahan dengan berat 3.3kg. Kini Syifa membesar dengan sihat dengan susu ibunya. Sudah mula makan, Mariam memberitahu Syifa gemarkan bubur yang disediakan sendiri oleh Mariam.
Ads
“Saya tidak kisah terpaksa melalui segala kesakitan, kemudian berhenti kerja hanya untuk mendapatkan Syifa. Kini saya bahagia dapat melihat dia membesar di hadapan mata saya sendiri. Untuk hamil lagi, saya mungkin terpaksa melalui prosedur IVF sekali lagi,” akhiri Mariam yang telah membelanjakan sekitar RM20,000 sepanjang enam tahun usahanya berusaha mendapatkan Maryam Assyifa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terbaharu, Aliff Aziz ada berkongsi sekeping foto anaknya di laman Instagram. Normal jika seorang bapa berbuat demikian, tetapi yang menarik perhatian adalah kapsyen pada foto terbabit. Jika dibaca, terlihat betapa penyanyi dan pelakon itu merindui anak lelakinya, Mohamad Ayden Adrean. Perkongsiannya itu telah mendapat 72, 000 tanda suka (likes) setakat ini.
Always in my mind. Always in my heart. No matter what they say. You are the reason I still keep going. I miss you. A little too much. A little too often. And a little more everyday sayang. ?
@aydenadrean17
Sebelum ini juga Aliff pernah memuat naik sekepig foto dia bersama Ayden dengan kapsyen yang lebih kurang sama.
Banyak komen yang diterima Aliff ketika dia memuat naik foto tersebut. Ada pengikutnya yang menghentam dan menyalahkannya, tetapi tidak kurang juga yang memberi kata-kata semangat. Sentiasa bersama dan apabila terpaksa berpisah begini sudah tentu memberi kesan kepada si ayah dan anaknya. Semoga apa yang berlaku dapat memberi pengajaran kepada kita juga.
Pa&Ma mendoakan yang terbaik buat Aliff, semoga kekal tabah mengahrungi ujian ini. Walaupun sudah berpisah, diharapkan hubungan mereka anak-beranak akan kekal mesra dan baik seperti dahulu.
Apabila negara diserang pandemik Covid-19 ramai yang tampil untuk membantu para petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan KKM yang memerlukan bantuan berupa pakaian perlindungan diri (PPE) dan juga kelengkapan lain bagi merawat pesakit-pesakit positif Covid.
Mempunyai latar belakang dalam bidang Seni Reka Fesyen, Shafeeqa Johari isteri kepada pelawak Atu Zero tampil membantu menjahit PPE untuk petugas barisan hadapan di beberapa buah hospital di Lembah Klang.
Shafeeqa memberitahu, dia tidak mengharapkan balasan, namun apabila ada pihak tampil mengucapkan terima kasih, hatinya cukup tersentuh.
“Saya sangat bersyukur dapat membantu menjahit PPE walaupun kita tidak tahu siapa yang memakainya. Mungkin orang yang kita tidak kenal atau kita kenal seperti keluarga kita.
“Paling seronok apabila saya diberitahu kenalan yang bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai penutup kepala yang saya jahit.
“Saya rasa dihargai, kadang-kadang rasa macam hendak menangis. Kalau boleh, saya mahu tolong semua, hendak bantu satu Malaysia.
“Tapi saya tiada kilang, cuma boleh bantu apa yang mampu sahaja,” katanya ketika ditemubual oleh sebuah akhbar.
Kurang mampu menghulur wang yang banyak, Atu dan Shafeeqa, berganding bahu menghasilkan PPE untuk dipakai petugas barisan hadapan.
Shafeeqa berkata, dia terpanggil menghulurkan bantuan selepas membaca status dimuat naik seorang jururawat di Facebook (FB) meminta bantuan menjahit penutup kepala dan kasut.
“Saya mendapat tahu Hospital Shah Alam (HSA) memerlukan tukang jahit. Apabila saya memuat naik status di Instagram (IG), kebetulan ada kenalan yang kenal jururawat terbabit lalu menghubunginya.
“Dari situ, saya mula menjahit apabila menerima fabrik dari hospital. Kami tidak boleh keluar membeli kain.
“Saya duduk di rumah pun tidak buat apa-apa selain menjaga anak. Dengan waktu terluang ini, lebih baik saya buat perkara bermanfaat. Kalau hendak tolong daripada segi wang, kami kurang mampu. Jadi kami sumbangkan tenaga,” katanya yang dibantu Atu dan adik iparnya.
Mampu siapkan 50 helai PPE sehari
Shafeeqa berkata, dia hanya mampu menyiapkan 50 helai PPE sehari, berbanding 200 helai yang diperlukan HSA.
Namun, projek yang diusahakan lebih lancar apabila Shafeeqa dihubungi Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
“Memandangkan saya adalah bekas pelajar jabatan itu, mereka hubungi saya untuk membantu. Dengan kebenaran HSA, mereka dapat menggunakan bengkel dan kelengkapan di UiTM Shah Alam bagi menghasilkan PPE.
“Sekarang kami ada 10 gulung fabrik untuk dijahit dan diagihkan kepada HSA, Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.
“Sebanyak 32 gulung fabrik lagi akan dijahit untuk kegunaan Hospital UiTM Sungai Buloh,” katanya yang terpaksa menolak permintaan beberapa hospital di negeri lain atas faktor lokasi.
Semoga usaha yang dilakukan oleh Atu Zero dan isterinya ini dapat membantu melancarkan tugas para barisan hadapan yang tidak pernah kenal erti lelah. Dan semoga lebih ramai lagi yang tampil untuk membantu menjayakan apa yang diusahakan oleh mereka berdua.
Ada diantara anak-anak kita yang menerima alahan sebaik makan buah-buahan yang ada di pasaran. Semuanya kerana bahan kimia dari sisa racun perosak yang digunakan bagi membuatkan buah tahan lama dan elok.
Bagi mengelakkan anak terkesan dengan sisa racun perosak ini, ada baiknya buah dicuci dengan sebersih-bersihnya.
Bukan dicuci biasa sahaja tetapi cara paling baik adalah dengan menggunakan soda bikarbonat sebagai alat pencuci.
Jom ikuti perkongsian tip dari Public Health Malaysia ini untuk semua.
Jika buah-buahan mengandungi banyak sisa racun perosak, ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan.
Salah satu kesan awal yang mungkin dirasai adalah rasa sakit atau iritasi pada tekak selepas memakannya.
Ada cara mudah untuk menikmati buah-buahan dengan lebih selamat – gunakan baking soda!
1. Campurkan larutan baking soda:
Ambil 1 sudu besar baking soda dan campurkan dengan semangkuk air (sekitar 1 liter).
2. Rendam buah-buahan selama 10–15 minit:
Rendam buah-buahan seperti anggur, epal, atau sayuran. Baking soda akan bekerja untuk memecahkan sisa racun perosak.
3. Bilas bersih:
Selepas rendaman, bilas dengan air bersih untuk menghilangkan kesan baking soda. Kini, buah anda lebih bersih dan selamat dimakan!
Baking soda berfungsi dengan memecahkan molekul racun perosak. Ini lebih efektif berbanding air garam, yang hanya membersihkan permukaan tanpa tindak balas kimia.
Nikmati buah-buahan dengan lebih yakin, dan jadikan langkah ini sebahagian daripada rutin anda.
Sedikit usaha, hasilnya – kesihatan yang lebih terjamin!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.