Usaha Untuk Hamil, Suami Disiplin Jaga Makan Minum Mariam. Akhirnya Mampu Peluk Cium Si Comel Maryam Assyifa

Share

Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan Siti Mariam Daud, 31, dan suaminya Mohd Azrul Ramli, 33, mula mencari jalan untuk mendapatkan anak. Kehamilan secara semula jadi tidak berjaya mereka kecapi, lantas tidak membuang masa berjumpa dengan doktor. Pertama kali berjumpa pakar kesuburan, pasangan ini diberitahu masalah kesuburan pada sebelah suami menyukarkan usaha mereka untuk hamil. Tidak berputus asa atau menyalahkan mana-mana pihak, mereka berusaha lebih gigih untuk mendapatkan zuriat.

Bukan setakat berurut dan rawatan kampung, akhirnya mereka memutuskan untuk mencuba rawatan kesuburan IVF. Cadangan ini diberikan oleh pakar kesuburan pertama yang mereka jumpa. Dalam tempoh empat tahun, mereka mengumpul duit untuk memastikan mereka dapat menjalani rawatan ini. Ikuti perjalanan kisah kehamilan Mariam demi mendapatkan si comel Maryam Assyifa, 9 bulan, (ketika sesi fotografi dibuat).

Bukan Sekadar Satu Pakar

“Untuk merujuk masalah kami, bukan sekadar seorang pakar yang kami temui. Beberapa orang pakar yang kami jumpa mencadangkan agar kami mencuba rawatan IVF. Saya dan suami berbincang serius dan akhirnya kami putuskan untuk mencuba,” kata Mariam memulakan cerita. Dek kerana kesungguhan untuk mendapatkan anak, Mariam dan suaminya berusaha untuk mengumpul duit demi menjalani rawatan tersebut.

Dalam tempoh dua ke empat tahun perkahwinan, mereka tanpa jemu berusaha dan akhirnya berjaya mengumpul sejumlah wang untuk membuat rawatan yang disarankan oleh pkar kesuburan. Pada hujung tahun 2017, mereka memulakan rawatan dengan suntikan untuk merangsang telur Mariam agar berupaya untuk hamil.

“Saya diminta untuk membuat suntikan selama dua minggu. Selang sehari, ada hari perlu dua suntikan. Ada hari lain pula hanya satu suntikan diperlukan. Dalam tempoh itu, saya komited mengikut jadual yang diaturkan oleh doktor untuk menjayakan usaha ini. Alhamdulillah selepas satu kali rawatan, saya kemudiannya disahkan hamil pada awal tahun lepas,” cerita Mariam lagi.

Menurut Mariam lagi, rawatan itu berkesan dan hanya mengambil masa yang singkat kerana mereka melakukan fresh transfer. Sepanjang kehamilan, Mariam tidak mengalami sebarang komplikasi.

Suami Jaga Diet, Makan Tak Boleh Sembarangan

Pada awalnya semasa menjalani rawatan kesuburan, Mariam dinasihatkan oleh juru rawat untuk menjaga pemakanannya. Mariam tidak digalakkan untuk mengambil makanan pedas, makanan segera mahupun makanan yang diproses. Juru rawat meminta Mariam untuk berdiet dan amalkan pemakanan sihat. “Dalam tempoh itu, saya memang berpantang. Bahkan suami yang jaga diet saya. Untuk mengelakkan saya makan yang bukan-bukan, dia yang memasak untuk saya,” tambah Mariam lagi. Mariam juga memberitahu suaminya sangat berdisiplin dan menjaga pemakanannya tanpa gagal.

Dugaan untuk mendapatkan anak, Mariam mengalami mabuk teruk sepanjang tiga bulan pertama kehamilannya. Dia terpaksa mengambil cuti kerana keadaannya ketika itu memerlukan Mariam untuk bed rest. “Saya tak boleh makan apa pun waktu itu. Bila makan akan termuntah. Mabuk teruk jugalah sampaikan saya tidak boleh bangun. Selera makan pun tak ada ketika itu,” kata Mariam lagi.

Tiba Waktu Bersalin Nekad Letak Jawatan

Melepasi trimester pertama kehamilan, kesihatan Mariam semakin pulih. Dia sudah mampu bekerja. Masuk trimester kedua dan ketiga kehamilannya, Mariam terus bekerja seperti biasa. Sehinggalah tarikh kelahiran Syifa semakin tiba, Mariam nekad untuk berhenti kerja. Keputusannya itu disokong sepenuhnya oleh Azrul memandangkan mereka sudah banyak berusaha untuk mendapatkan anak.

“Saya melahirkan Syifa pada 31 Ogos 2018. Tarikh itu memang saya pilih memandangkan kebetulan pada tarikh itu kandungan saya pun sudah 38 minggu. Beberapa hospital yang kami pergi, kesemuanya mencadangkan kelahiran melalui pembedahan. Mereka tidak mahu ambil risiko walaupun kes saya dirujuk ke hospital kerajaan. Akhirnya saya dan suami memutuskan untuk saya bersalin di sebuah hospital swasta,” kata Mariam menceritakan tentang kelahiran Syifa.

Segalanya Demimu, Syifa…

Si comel Syifa dilahirkan pada usia kandungan 38 minggu melalui pembedahan dengan berat 3.3kg. Kini Syifa membesar dengan sihat dengan susu ibunya. Sudah mula makan, Mariam memberitahu Syifa gemarkan bubur yang disediakan sendiri oleh Mariam.

“Saya tidak kisah terpaksa melalui segala kesakitan, kemudian berhenti kerja hanya untuk mendapatkan Syifa. Kini saya bahagia dapat melihat dia membesar di hadapan mata saya sendiri. Untuk hamil lagi, saya mungkin terpaksa melalui prosedur IVF sekali lagi,” akhiri Mariam yang telah membelanjakan sekitar RM20,000 sepanjang enam tahun usahanya berusaha mendapatkan Maryam Assyifa.

 

 

 

 

Published by
Emy H