Di rumah dan di sekolah kita sering memberi penekanan pada perkembangan motor (pergerakan) kanak-kanak kerana perkembangan itu dapat dilihat dengan jelas dan nyata. Kita juga sering memberi penekanan kepada perkembangan pemikiran (kognitif) kanak-kanak terutamanya keupayaan untuk membaca, menulis dan matematik (akademik semata-mata).
Itu juga dapat dinilai dengan jelas dan nyata. Kita juga sering memberi penekanan kepada perkembangan bahasa dan komunikasi kerana keupayaan berbahasa dapat kita lihat dengan jelas dan nyata.
Bagaimana pula dengan perkembangan emosi? Adakah ia juga turut diberikan penekanan?
Konfigurasi psikologi manusia terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu:
Spiritual, Kognitif, Emosi
1) Komponen SPIRITUAL mendorong manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan hidup berlandaskan taqwa kepada Allah SWT.
2) Komponen KOGNITIF pula melibatkan segala proses mental seperti menilai, menganalisa, merancang, dan membuat keputusan.
3) Komponen EMOSI pula merangkumi semua emosi yang kita rasa seperti gembira, sedih, marah, kecewa, cemburu dan sebagainya.
Walau bagaimanapun KOMPONEN EMOSI adalah komponen yang paling diabaikan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak kita baik di rumah mahupun di sekolah. Bagi kita, emosi kanak-kanak adalah sesuatu yang harus ditekan dan tidak seharusnya dilayan sedangkan emosi itulah yang paling banyak mendorong tingkah laku kanak-kanak di kala mereka masih belum berupaya untuk berfikir dan membuat keputusan dengan rasional.
BILA EMOSI BERMULA?
TAHUKAH ANDA emosi kanak-kanak berkembang SERENTAK dengan perkembagan fizikal, kognitif dan bahasa?
Dari lahir lagi, kanak-kanak dengan pesatnya membina keupayaan untuk merasai dan meluahkan emosi. Bayi yang menangis sedang merasai emosi dan sedang meluahkan emosi. Ia tidak berlaku tanpa matlamat dan tujuan. Apabila bayi ini ditenangkan, disentuh, didukung dan dilayan, mereka akan merasai emosi positif dan faham bagaimana rasanya apabila emosi negatif itu dibimbing.
RESPON POSITIF daripada ibubapa dan penjaga akan membantu mereka untuk memahami emosi sendiri, belajar untuk membimbing emosi sendiri dan juga belajar untuk memahami dan respon kepada emosi orang lain dengan positif juga.
EMOSI MEMBENTUK INDIVIDU YANG BAIK
Asas interaksi sosial ataupun keupayaan untuk membina perhubungan dengan orang lain terbina pada lima tahun pertama hidup manusia dan ia berkait rapat dengan kesejahteraan emosi kanak-kanak. Interaksi sosial ketika usia awal inilah yang menjadi asas penting kepada pembinaan persahabatan, perhubungan intimasi, keibubapaan yang efektif, keupayaan untuk bekerjasama dalam tugasan dengan orang lain dan juga keupayaan untuk menjadi anggota masyarakat yang menyumbang.
Mengabaikan perkembangan emosi akan meninggalkan kesan kepada keharmonian keluarga dan juga masyarakat.
TAHUKAH ANDA bahagian otak yang mengawal emosi berkembang terlebih dahulu berbanding bahagian otak yang digunakan untuk berfikir dan membuat keputusan?
Di penghujung usia tadika, kanak-kanak yang memiliki asas perkembangan emosi yang kukuh didapati mempunyai kapasiti untuk meneka emosi, bercakap tentang emosi sendiri dan emosi orang lain dan menggunakan pengetahuan dan bimbingan tentang emosi ini untuk menguruskan interaksi sosial dengan orang lain.
Mereka mempunyai EMPATI.
Mereka faham apabila orang lain dalam kesusahan.
Mereka tidak mentertawakan orang lain yang dalam kesedihan.
Mereka tidak memperkecil-kecilkan masalah orang lain.
Mereka tidak mengambil ringan kekecewaan orang lain.
Mereka tidak ketawa apabila membaca berita orang bunuh diri ataupun dibuli seperti kes yang saya tulis semalam.
EMOSI MEMBENTUK INDIVIDU YANG BIJAK
Kajian saintifik* juga mendapati, perkembangan emosi berkait rapat dengan keupayaan untuk merancang, menilai, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Ini merupakan komponen kognitif yang menyeluruh dan bukan akademik sahaja.
Ia bermula dari peringkat usia tadika lagi. Apabila perkembangan emosi kanak-kanak tidak diberi penekanan pada usia 5 tahun terawal, kanak-kanak didapati memiliki keupayaan untuk fokus dan keupayaan membuat keputusan yang lemah.
BAGAIMANA MEMUPUK PERKEMBANGAN EMOSI?
Nampak remeh tetapi memberi impak yang besar. Kanak-kanak harus diajar untuk MENGENALPASTI emosi sendiri.
Apa perasaan kita apabila sesuatu situasi itu berlaku kepada kita?
Apakah yang dirasakan apabila sesuatu situasi itu berlaku kepada seseorang?
Emosi harus DIAKUI terlebih dahulu, bukannya diabaikan ataupun ditekan.
Apabila memahami apakah emosi yang dirasai, kita kemudiannya perlu MEMBIMBING emosi tersebut dengan PENYELESAIAN MASALAH.
Apakah yang harus dilakukan apabila merasa marah?
Apakah yang harus dilakukan apabila merasa sedih?
Apakah yang harus dilakukan apabila merasa kecewa?
Semua ini perlu dibincangkan dan dididik dari peringkat awal kerana ia akan menjadi panduan tingkah laku bagi kanak-kanak.
Jika tidak dibimbing, kanak-kanak tidak tahu bagaimana untuk mengawal emosi dan bagaimana untuk bertindak balas terhadap emosi.
Tidak ada alat atau peranti yang dapat membimbing emosi melainkan dengan meluangkan masa untuk mewujudkan perapatan, berinteraksi dan bersembang atau berbincang dengan kanak-kanak.
Jangan lupa, cara kita mengawal emosi kita juga akan menjadi panduan untuk anak-anak.
Ini merupakan proses yang paling sukar.
Memahami emosi TIDAK menjadikan anak lembik sebagaimana tanggapan sesetengah orang. Mereka yang membuli orang lain adalah mereka yang terabai emosinya dari awal. Tunjuk gagah di luar tetapi lembik di dalam. Itukah yang kita mahu?
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy