Mendidik anak solat sememangnya memerlukan kesabaran, namun trik dan pendekatan yang digunakan ibu ini sememangnya berbeza. Bukan ketika usia anak lima tahun tetapi sejak usia anaknya berusia dua tahun lagi, anak-anak sudah didedahkan akan kepentingan untuk menunaikan tanggunggjawab sebagai umat Islam.
Pendekatan paksa namun dengan cara cukup berbeza. Ini yang dikongsikan oleh Pn Nora Karim. Semoga trik dan tip yang dikongsikan dapat dimanfaatkan bersama.
Alisya menyarung stoking berwarna pink ke kaki kanannya. Air mata masih menitis, bersama wuduknya. Sedu sedan, masih berbaki. Dalam marah dan rajuk, dia akur dipaksa solat zuhur.
Paksa? Ya, saya paksa dia untuk solat. Walaupun ketika itu usianya baru lima tahun.
Belum baligh. Belum wajib solat.
Saya ingat lagi, bagaimana dia menangis sehingga merah matanya, kerana saya menyuruhnya solat di surau ketika kami berada di pusat membeli belah.
Ketika itu saya tidak boleh solat. Tetapi saya memimpin tangannya ke surau dan menyuruhnya solat.
“Mama?” soalnya kepada saya.
“Mama cuti hari ni. Alisya solat. Mama tunggu dekat sini,” jawab saya. Dia tak puas hati dan mula menangis.
Puas dipujuk, namun dia terus menangis. Akhirnya saya meletakkan sejumlah wang di tapak tangan kanannya dan dia boleh beli apa saja dengan wang yang saya berikan itu. Jumlahnya tak banyak cuma RM10.
“Allahuakbar,” bahunya tergerak-gerak menahan esak. Solat dengan sisa-sisa air mata.
“Assalamualaikum warahmatullah… assalamualaikum warahmatullah…,” sambil memalingkan kepalanya ke kanan dan kiri.
Alhamdulillah. Cukup empat rakaat!
“Boleh kita singgah Daiso? Alisya nak tengok barang dekat sana,” pintanya sambil membuka stoking pinknya dan menggenggam erat duit RM10, ‘upah solat tadi’.
“Ok, boleh. Jom!” Saya memimpin tangannya keluar dari surau.
“Ini… bukan upah solat tau. Tapi ini, Allah bagi rezeki untuk Alisya. Allah bagi Alisya, tapi melalui Mama,” sambung saya lagi, sambil menunjukkan duit RM10 yang digenggam erat ditangan kanannya.
“Mama bangga sebab Alisya solat zuhur. Allah mesti sayang Alisya. Good job Alisya,” puji saya sambil berHi-5 dengannya.
Dia memandang saya dengan senyuman. Tiada lagi air mata. Hanya wajah ceria. Mungkin dikepalanya dah terfikir apa yang hendak dibeli nanti.
Itu kisah enam tahun lalu, sekarang tiada lagi drama air mata bila disuruh solat. Kadang-kadang bila saya terleka, dialah yang akan tanya, sama ada saya dah solat atau belum. Kalau saya tertidur pun, dia akan kejutkan dan tanya sama ada saya dah solat atau belum.
Upah solat? Tak, sekali tu je saya bagi dia RM10. Tapi jika dengan ‘upah’ tu anak-anak nak solat, maka raikanlah. Biasanya anak-anak yang bawah 12 tahun, mereka suka buat sesuatu untuk dapatkan ganjaran atau upah. Jadi tak salah pun kita nak beri ganjaran, tapi dalam masa yang sama, beritahu mereka, solat bukan untuk duit atau mainan. Nanti lama-lama mereka faham.
Tip & trik didik anak solat
Apa yang saya buat sejak Faris dan Alisya kecil, adalah seperti berikut:
1. Setiap kali nak solat, letak anak di sebelah sejadah. Buat sejak anak bayi lagi. Saya perasan Faris dan Alisya, mereka boleh duduk diam jika kami singgah solat di surau atau masjid.
2. Fasa paling awal adalah mengajar anak-anak untuk meniru pergerakan solat kita. Tentang bacaan, boleh dikuatkan sedikit supaya anak-anak tahu pada setiap pergerakan tersebut, adanya bacaan-bacaan tertentu.
3. Belikan buku panduan solat untuk anak-anak. Saya beli buku solat Upin Ipin ni, sebab masa kecil mereka suka sangat dengan Upin Ipin. Eh, sampai sekarang pun mereka masih suka Upin Ipin. 😅 Buku solat ni masih digunakan sehingga kini sebagai rujukan dalam memperbetulkan bacaan.
4. Beri ‘kuasa’ kepada anak-anak untuk memilih telekung, kain pelekat dan sejadah kegemaran mereka sendiri. Biasanya bila dipilih sendiri, mereka akan rasa teruja untuk memakainya. Kadang-kadang Alisya suka pakai telekung warna sedondon dengan saya.
5. Setiap kali kita nak solat, ajak anak-anak sekali, kalau mereka tak nak solat pun, pujuk mereka untuk duduk sebelah kita. Lama kelamaan, daripada duduk saja, mereka akan mula perhati dan kemudiannya akan ikut.
6. Sekali sekala bila anak-anak tengah main tu, buat game. Contoh, “siapa tahu, rukuk tu apa?” (galakkan mereka untuk tunjukkan cara rukuk. Masa ni tugas kita adalah membetulkan cara rukuk dan semak bacaan ketika rukuk.) Anak-anak ni sebenarnya lebih cepat ‘tangkap’ sesuatu yang kita ajar tu ketika mereka sedang bermain. Buat santai-santai je. Tak perlu lama.
7. Kaedah ‘pohon solat’ pun sebenarnya banyak membantu saya dan Alisya untuk jadualkan waktu solat. Selain tentang rutin solat itu sendiri, ada banyak cerita dari sebatang pokok tu untuk kita ambil ibrah, boleh cerita pada anak-anak.
Inilah tujuh tips yang saya lakukan ketika perkenalkan tentang rutin solat pada Faris dan Alisya, seawal mereka berusia dua tahun.
Nora Karim
Benarlah anak-anak mudah dilentur, ketika usianya masih kecil.
Baca: Tak Keluar Rumah Pun Ibu Risau Kesihatan Anak, Ini Apa Yang Boleh Dibuat
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)