Bila bercerita mengenai anak, bukan soal makan dan sakit anak sahaja ibu bapa perlu titik beratkan. Gigi juga amanah Allah yang perlu dijaga oleh kita. Anak tak pernah tahu mengenai giginya, kita sebagai ibu bapalah yang bertindak menjaga dan memegang tanggungjawab ini.
Perkongsian bapa yang juga seorang doktor gigi ini boleh dijadikan panduan buat semua. Satu kesilapan besar kerana terlepas pandang untuk menjaga gigi anak sulongnya, Umar dan kini, Dr Abdul Rahman Fauzi daripada Klinik Pergigian Al-Huda Balok ini menebus kegagalannya buat anak keduanya, Hanan. Jadikan tip yang dikongsikan beliau sebagai panduan kita dalam menjaga gigi si comel kita.
JANGAN BIAR ANAK TERDERA KERANA GIGI!
Ini gambar anak sulung saya Umar dan adiknya Hanan. Apa yang berbeza tentang dua² anak saya ini? Muka? Kening? Hidung? Rambut? Mata? Jawapannya terang lagi bersuluh! Gigi! ?
Gigi Hanan adalah manifestasi usaha saya menebus semula kesilapan saya semasa membesarkan Umar. Sewaktu Umar lahir, saya masih belajar dalam tahun 3 ijazah. Isteri pun sama. Kehidupan kami sangat sibuk dengan pelajaran dan tidak dapat menumpukan perhatian pada penjagaan makanan dan gigi Umar.
Kesannya, pada usia setahun lebih, gigi depan Umar mula menjadi warna coklat kekuningan dan rapuh. Sedikit demi sedikit gigi mereput dan patah. Dan beberapa kali juga bengkak bernanah kerana dah agak teruk. Akhirnya selepas Umar dah masuk 5 tahun, gigi susu pertamanya telah dicabut.
Dan masuk 6 tahun, semua gigi susu kacip atas terpaksa dicabut kerana sudah bernanah. Walaupun Umar nampak tak kisah, tapi nampak kesukarannya untuk makan dan bercakap. Dan saya berdoa moga kawan-kawannya di sekolah tidak mengejeknya kerana tiada gigi. Kesian. Disebabkan kecuaian saya, gigi susunya terpaksa dicabut lebih awal daripada waktu sepatutnya. Saya bernasib baik kerana gigi belakang dan gigi bawah lain tidak ada yang rosak.
Apabila Hanan lahir, sudah tentu antara azam saya untuk jaga giginya sebaik mungkin. Lebih² lagi saya sudah bekerja sebagai doktor gigi. Urusan penjagaan gigi anak², saya ambil tanggungjawab sepenuhnya. Saya tidak harapkan isteri saya untuk buat. Kerana bagi saya, kalau tak jaga gigi anak, adalah seperti menzalimi anak sendiri.
Kerana kita yang beri mereka makan. Kita yang perkenalkan mereka makanan dan minuman manis. Tapi kenapa apabila bab memberus gigi, kita nak salahkan anak kita yang malas?
Anak² kita masih terlalu kecil untuk memberus gigi sendiri. Umar umur 6 tahun pun belum mampu pegang berus gigi dengan betul. Apa yang boleh kita harapkan daripada anak sekecil 2 tahun untuk jaga giginya?
Susah memang susah. Semua ibu bapa akan lalui. Umar dan Hanan, mula² nak gosok memang meraung menangis. Tapi apabila dah terbiasa, mereka akan tawarkan diri, ambil berus dan ubat gigi sendiri untuk saya berus gigi mereka. Saya tabik pada ibu bapa yang begitu konsisten menjaga gigi anak² mereka. Anda memang terbaik!
Apa tips terbaik untuk latih anak berus gigi?
1) Mulakan dari awal. Sebelum gigi tumbuh, biasakan lap gusi guna kain. Apabila gigi anak mula tumbuh, boleh bersihkan guna berus jari atau kain. Biasanya gigi susu akan mula tumbuh pada usia 6 bulan. Anak yang hanya menyusu memadai hanya dilap dengan kain. Nak berus pun biasanya saiz gigi terlalu kecil.
2) Guna berus gigi dan ubat gigi apabila mereka sudah pandai meludah. Tapi kalau keadaan gigi anak sudah ada warna coklat kekuningan(tanda² awal karies), boleh mula guna ubat gigi untuk kanak² lebih awal. Kalau risau tertelan, guna yang rendah kandungan fluorida. Jangan guna yang tiada langsung fluorida kerana ia tidak banyak membantu. Saya guna Kodomo Lion untuk Hanan dan Colgate kanak² untuk Umar. Dah habis gosok, suruh anak ludah. Kalau anak tak pandai ludah, lap sikit.
3) Berus 2 kali sehari. Semasa mereka mandi pagi sekali dan sebelum tidur. Anak saya Hanan biasa tidur dengan botol susu. Saya akan pastikan sedaya upaya untuk gosok giginya juga sebelum tidur. Kalau dia dah minum susu dulu, ambil botolnya dan gosok giginya sebelum bagi dia minum susu balik. Dan sebaiknya, apabila dah tertidur, tarik botol daripada mulutnya. Jangan bagi anak gonggong puting botol susu masa tidur kerana ia akan meningkatkan risiko karies gigi.
4) Pergi ke mana-mana, jangan lupa bawak berus dan ubat gigi. Ini kena disiplin. Kita kadang² bila balik kampung dan melancong kita tidak disiplin dengan penjagaan gigi anak². Kalau 10 orang anak, bawaklah semua 10 berus gigi tu. Kalau tertinggal, beli je baru.
5) Anak saya juga makan dan minum yang manis. Tak salah tapi kena kawal. Bagi mereka banyak air masak. Yang penting gosok gigi tu wajib.
Ada yang tanya kalau gigi anak saya dah teruk macam mana? Tak sampai 4 tahun lagi.
Tak perlu rasa down. Anggaplah semua tu kekurangan kita. Mula² bawak lah anak le klinik gigi untuk buat pemeriksaan menyeluruh. Mungkin ada yang patut dirawat. Dapatkan nasihat tentang penjagaan gigi anak kita daripada doktor gigi yang bertauliah.
Tahukah anda gigi kekal pertama akan tumbuh sekitar umur 6 tahun? Berazamlah untuk jaga gigi kekal anak kita sebaik mungkin. Ini masanya untuk betulkan balik kesilapan kita.
Yang dah rosak macam mana? Teruskan jaga seperti biasa. Kalau ada masalah, jumpa doktor segera. Rajin² lah periksa gigi anak anda
sendiri.
Tengok gigi anak lengkap, bersih, tiada lubang merupakan satu anugerah tak ternilai. Mulakan dari sekarang. Biarlah gigi kita sendiri mungkin tak sempurna, tapi jangan biarkan anak kita mewarisinya.
Kerana kita mampu mengubahnya. Saya sertakan jadual pertumbuhan gigi susu, waktu gigi susu patut luruh dan jadual pertumbuhan gigi kekal untuk rujukan anda.