Ustaz Syamsul Debat Kongsi 3 Amalan Lembutkan Hati Anak Degil

Share

Anak-anak adalah kurniaan rezeki yang paling hebat kepada pasangan yang sudah berumah tangga. Mereka adalah amanah dari Allah SWT untuk ibu bapa didik dengan sebaiknya.

Cabaran mendidik dan membesarkan anak adalah ujian yang mesti dilalui oleh ibu bapa. Semua mengimpikan anak mereka baik dan mendengar kata. Tetapi ada kalanya kita diuji mempunyai anak yang  nakal atau degil, sukar mendengar kata menyebabkan tahap kesabaran kita sebagai ibu bapa teruji.

Tetapi apabila kembali kepada radar normal, ibu bapa biasanya berasa menyesal kerana bersikap terlalu keras dan kerap marah anak. Bagaimana hendak menangani atau mengendalikan anak-anak yang bersikap degil ini?

Adakah mereka memang tidak boleh dibetulkan lagi? Bimbang dan risau memikirkan sekiranya tingkah laku degil tersebut tidak berubah semakin mereka meningkat dewasa.

Artikel lain: Gelar Anak Itu Ini, Konon Bergurau. Rupanya Efek Emosi, Dia Membesar Jadi Tak Yakin!

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membetulkan dan menegur kesilapan atau tingkah laku anak yang tidak betul. Jangan dibiarkan sahaja tanpa teguran sebab itulah orang tua-tua zaman dahulu ada peribahasa yang berbunyi ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ yang bermaksud mendidik anak biarlah sejak dari kecil lagi.

Penceramah terkenal Ustaz Syamsul Debat dalam ceramahnya di salah satu Kuliah Dhuha Perdana di Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal, Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang beberapa tahun lalu berkongsi berkenaan tip dan amalan untuk melembutkan hati anak yang degil.

Menurutnya secara psikologi kita sebagai ibu bapa jangan asyik komplen sahaja setiap kesalahan anak buat. Sebaliknya ada cara betul untuk menegurnya. Katanya, anak yang sedang membesar bersikap degil itu perkara biasa, ibu bapa yang kena pandai kawal mereka.

“Anak-anak degil ini biasanya cerdik tapi jangan biar dia degil sampai tua. Didik anak kena betul caranya dan nak menegur kesilapan mereka juga kena betul pendekatannya supaya mereka boleh berubah dan tak ulang lagi kesilapan yang sama.”

Ustaz Syamsul turut memberi contoh sekiranya ayah sedang bersolat dan anak memanjat belakang badan ayah, ibu yang melihat janganlah salah tegur anak dengan menyergah dan berkata “Kau pergi main jauh-jauh, kesian ayah tengah solat, Jangan kacau!” Makanya sampai tua nanti budak tu setiap kali solat dia akan main jauh-jauh dan tak mahu bersolat bersama si ayah.

Artikel lain: Jangan Marah Anak Suka Main Sabun, Syampu. Ini Kelebihannya Mama Patut Tahu!

“Dah namanya budak memang begitu kelakuannya. Cuba ibu turunkan anak yang memanjat si ayah tu, lepas tu cakap haa cuba turun, cuba ikut ayah solat ni.”

Cara tegur dan didik anak kena betul kaedahnya supaya ia dapat membantu anak menjadi lebih baik dan mendengar kata bukan sebaliknya.

Ustaz Syamsul berkongsi amalan mudah yang boleh ibu bapa amalkan untuk melembutkan hati anak yang degil.

1. Ibu bangunlah pada sepertiga malam iaitu antara pukul 3 hingga 4.30 pagi, sebab kekuatan doa seorang ibu sangat power dan ibu juga mempunyai hubungan sangat dekat dengan anak. Pergi ke katil anak yang sedang tidur kemudian baca al-Fatihah, selawat tiga kali, ayat kursi, surah al- Insyirah perlahan-lahan kemudian berdoalah “Ya Allah, kau jadikanlah anakku ini (sebut namanya) sebagai anak yang soleh” dan tiup di ubun-ubunnya sebab masa tidur, roh tengah merayau-rayau di kepala. Kalau mata anak berkelip-kelip maknanya dah sampai pada rohnya. Bila roh balik kembali pada badan mudah-mudahan eloklah anak tersebut. Jika ibu amalkan hari-hari amalan ini dengan izin Allah anak yang degil tersebut akan lembut hatinya.

2. Buat solat hajat dalam bilik anak. Ini amalan paling berkesan hendak lembutkan hati anak. Bentang sejadah dan solat berhampiran anak yang sedang tidur. Berdoalah bersungguh-sungguh “Ya Allah Ya Tuhanku, kau berikanlah kekuatan kepadaku untuk mendidik anak-anakku ini. Jadikanlah anak-anak ini (sebut nama anak) sebagai anak yang soleh dan solehah. Bantulah hambamu ini Ya Allah.”

3. Basuh beras ikut arah tawaf dan berdoalah “Ya Allah Kau lembutkanlah hati anakku (sebut namanya) ini sepertimana kau lembutkan beras ini menjadi nasi.” Mintalah pada Allah banyak-banyak dan bersungguh-sungguh. InshaAllah lembut hati anak dan mudah dengar kata.

Apa pun usaha kita lakukan itu semuanya atas kuasa Allah SWT jua. Sebagai ibu bapa janganlah kita mudah berputus asa dengan kedegilan dan kenakalan si anak. Pendek kata semuanya terserah kepada kita untuk berusaha dan mencorakkannya.

Sumber: Ar-Rahman TV

Published by
Hasnita Sawal