
Setiap kali kita mendengar kisah tentang seorang ibu dan anak yang pergi bersama-sama, hati mana yang tak luluh kerana kasih antara ibu dan anak itu terlalu dalam tak terputus walau jasad sudah tiada. Seolah-olah Allah izin mereka melangkah ke alam lain masih berpegangan tangan, seperti mana sepanjang hidup mereka saling melengkapi dalam dunia yang penuh ujian ini.
Sebagai ibu bapa, kita sering berdoa agar anak-anak membesar di bawah lindungan Allah, agar kita sempat melihat mereka berjaya dan bahagia. Tapi hakikatnya, setiap nafas dan takdir hidup ini bukan di tangan kita. Kadang, kasih yang Allah beri itu terlalu indah hingga dijemput kembali dalam bentuk yang kita sendiri tak mampu fahami.
Ada kematian yang menakutkan di mata manusia, tapi di sisi Allah mungkin itulah pengakhiran yang paling mulia. Dan setiap kali kita melihat berita seperti ini, jangan terus menilai dengan mata kasar. Sebaliknya pandanglah dengan hati, dengan iman… kerana mungkin di sebalik duka, ada rahsia kasih Allah yang besar.
Ikuti perkongsian penuh daripada Ustazah Asma Harun yang mengajak kita melihat kematian bukan dengan rasa takut, tetapi dengan kefahaman yang menenangkan jiwa seorang ibu, seorang anak, dan seorang hamba Allah.
Saya ingin berkongsi dari satu sudut, berkaitan pemergian yang menyayat hati, Almarhumah Puan Sariya Che Hin dan anaknya Nur Afrina Alisha (semoga Allah mengampuni dan merahmati keduanya). Daripada tulisan ahli keluarga dan sahabat terdekat yang mengenali beliau, digambarkan Allahyarhamah adalah seorang wanita yang sangat baik, lembut tutur katanya, disenangi ramai dan sentiasa ceria.
Pemergian mereka berlaku dalam ketentuan yang hanya Allah Maha Mengetahui rahsia dan hikmah disebaliknya. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk melihat setiap kematian dengan pandangan iman, bukan semata dengan mata zahir. Keadaan kematian yang amat tragis dan mengerikan, bukan semestinya tanda su’ul khatimah. Begitu juga kematian yang indah di mata manusia belum tentu Husnul Khatimah.
Apabila mendengar berita kematian, kita diajar untuk menyebutkan kebaikan si mati, bukan menilai bentuk atau keadaan kematiannya.
Daripda Ummu Salamah ra, Rasulullah SAW bersabda
إذا حضرتمُ المريضَ أوِ الميِّتَ فقولوا خيرًا فإنَّ الملائِكةَ يؤمِّنونَ على ما تقولونَ قالت فلمَّا ماتَ أبو سلمةَ أتيتُ النَّبيَّ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ فقلتُ يا رسولَ اللَّهِ إنَّ أبا سلمةَ ماتَ قالَ فقوليَ اللَّهمَّ اغفِر لي ولَهُ وأعقِبني منْهُ عقبى حسَنةً قالت فقلتُ فأعقَبَني اللَّهُ منْهُ مَن هوَ خيرٌ منْهُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ
“Apabila kamu menghadiri orang yang sakit atau meninggal dunia, maka ucapkanlah perkataan yang baik-baik, kerana para malaikat akan mengaminkan apa yang kamu ucapkan.”
Apabila melihat luahan keluarga dan sahabat Almarhumah, hampir semuanya menyebut kebaikan dan keindahan akhlak beliau. Mudahan itu menjadi tanda Husnul Khatimah di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW juga memberitahu bahawa mereka yang terkorban dalam keadaan mempertahankan diri dan keluarga dikurniakan Syahid Akhirat. Baginda bersabda:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid.
Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya maka dia mati syahid.
Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia mati syahid.
Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya maka dia mati syahid.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Antara sahabat Nabi SAW yang meninggal dalam keadaan amat tragis namun dimuliakan Allah ialah Sayyidina Hamzah bin Abd al-Muttalib r.a., bapa saudara Baginda. Beliau gugur dalam Perang Uhud, dengan jasad yang dicincang dan dadanya dibelah, namun tetap dimuliakan sebagai antara insan yang paling hampir di sisi Allah.
Sehinggakan Baginda Nabi mengiktiraf Sayyiduna Hamzah sebagai penghulu para Syuhada’. Nabi SAW bersabda,
سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ
“Penghulu para syuhada’ ialah Hamzah bin Abd al-Muttalib dan seorang lelaki yang bangkit menegur pemerintah zalim, lalu dia dibunuh.”
(Hadis Riwayat al-Hakim)
Inilah bukti bahawa buruknya rupa kematian tidak menafikan kemuliaan di sisi Allah SWT. Bahkan ia boleh menjadi tanda kemuliaan seorang hamba yang gugur sebagai syahid dalam menegakkan agama Islam dan mempertahankan kebenaran.
Lihatlah juga keadaan di bumi G hari ini. Ribuan jenazah para syuhada’, termasuk wanita dan anak kecil, ditemukan dalam keadaan tubuh yang penuh luka dan darah. Ada yang kehilangan anggota badan, ada pula yang hanya tinggal cebisan tubuh. Namun kita yakin, di sebalik jasad yang hancur itu, roh mereka sedang beristirahat dalam kedamaian dan rahmat Allah.
Sesungguhnya, inilah bukti bahawa rupa kematian bukan ukuran nilai seseorang di sisi Allah.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ، وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ
“Sesiapa yang memohon kepada Allah dengan jujur agar mati syahid, Allah akan memberinya kedudukan para syuhada’, walaupun dia mati di atas tempat tidurnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini mengajar kita bahawa niat dan doa yang ikhlas lebih berharga daripada rupa kematian. Sesiapa yang benar-benar berniat untuk mati dalam keadaan Husnul Khatimah, walau tidak mencapainya, Allah tetap mengurniakan ganjaran yang sama.
Maka, berniatlah setiap hari untuk mati dalam keadaan yang baik. Kerana yang dinilai bukan bagaimana kita mati, tetapi bagaimana keadaan hati kita ketika dipanggil menghadap Ilahi.
Mudahan Allah SWT meringankan kesakitan ibu dan anak ini saat roh mereka diangkat, melapangkan jalan menuju syurga, menempatkan mereka bersama orang-orang beriman dan kematian yang Husnul Khatimah.
Sebagai seorang ibu, kita tak pernah tahu siapa akan pergi dulu kita atau anak. Tapi kita sentiasa berdoa agar, kalaupun Allah ambil, biarlah dalam keadaan yang terbaik, dalam dakapan kasih dan dalam redha-Nya.
Kisah seperti ini mengingatkan kita, hidup ni terlalu singkat untuk membiarkan hari-hari berlalu tanpa pelukan, tanpa kata maaf, tanpa doa. Anak yang kita marah hari ini, mungkin esok sudah tiada. Ibu yang kita anggap akan selalu ada, mungkin sebenarnya sedang menghitung waktu.
Jadi, sebelum malam berganti pagi, peluklah anak sekejap lebih lama. Pandang wajah mereka dengan kasih. Sebut nama mereka dalam doa. Kerana kasih ibu dan anak — bukan sekadar darah yang mengalir, tapi jiwa yang sentiasa saling mencari, walau terpisah oleh dunia dan akhirat.
Sumber: Ustazah Asa Harun