Pesanan seorang ayah sering menjadi bekalan berharga dalam kehidupan anak-anak, terutama apabila ia disampaikan dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Sebagai dalam coretan ini, dikongsikan oleh Ustazah Aminah Yusof beberapa nasihat mendalam dari Almarhum Ayahanda yang telah membentuk peribadi penulis sejak kecil.

Setiap nasihat bukan sahaja menjadi pedoman untuk kehidupan duniawi, malah juga menjadi panduan menuju akhirat. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada kita semua untuk menghargai dan mengamalkan ajaran yang baik dalam kehidupan seharian.

Pesan Almarhum Ayahanda yang paling “Deep”

Ads
Ustazah Kongsi 6 Nasihat Bentuk Peribadi Keluarga, Part ‘Mengaji Selepas Subuh’ Deep Sangat!
Ustazah Aminah Yusof bersama salah seorang muridnya

1. Ngaji selepas subuh
Dari sekolah rendah ayah wajibkan kami adik beradik mengaji selepas subuh. Ayah paksa baca paling sikit satu muka walaupun dah lambat nak ke sekolah.
Ada masa tu panjang juga muncung kami adik beradik, takut pengawas ambil nama sebab lambat datang sekolah. Muka mencuka tanda protes, untungnya kami takut nak membantah dengan kata-kata sebab ayah garang.

Rupanya, kesan baca Al-Qur’an selepas subuh banyak bantu kehidupan harian saya, dalam kelas dapat fokus, rasa tenang dan tidak pernah tertekan walaupun kerja sekolah banyak, perhubungan dengan kawan baik dan yang paling saya bersyukur ialah hubungan dengan guru sangat baik.
Saya setuju jika permulaan hari itu dimulakan dengan solat sunat sebelum subuh, solat subuh yang khusyuk, baca Al-Qur’an dan amalkan ma’thurat. Terlalu banyak perkara yang baik-baik berlaku tanpa diduga dalam hidup kita.

2. Ikut tadah kitab kat masjid setiap kali lepas maghrib
Dari kecil ikut ayah ke masjid-masjid sekitar daerah Pasir Mas untuk tadah kitab tauhid, fekah, usul, kadang-kadang belajar juga tafsir dan tajwid. Allahu rindu sungguh zaman-zaman ini.
Kadang-kadang ikut Mak ayah pergi masjid bukan untuk tadah kitab tapi nak tengok jamaah dekat masjid. Itulah sahaja tempat paling seronok sebab dapat jumpa dengan kawan-kawan.
Hebat kesannya bila selalu bertandang ke rumah Allah. Tempat yang penuh rahmat ini membina sahsiah, akhlak dan membantu saya belajar tentang adab terhadap orang tua. Banyak petua-petua orang lama yang saya dapat. Itulah ilmu yang banyak membentuk peribadi dan kelakuan saya.
Melihat orang tua ibarat melihat diri sendiri pada masa akan datang. Tak berani nak menolak hakikat ini.

Ads

3. Makan mesti berjamaah
Ayah selalu keluar sehingga sempadan terengganu untuk berdakwah, dua tiga hari musafir baru pulang semula ke rumah.
Saat paling bahagia ialah bila dapat berkumpul dan makan berjamaah. Sangat tertib, dimulakan dengan doa barulah boleh menjamah makanan kemudian diakhiri juga dengan doa.
Ayah banyak mengajar kami adik beradik berkongsi, makanan yang sedikit bila makan sama-sama pasti mencukupi, kadang-kadang ada lagi lebihan. Rezeki murah dan tidak pernah rasa kesempitan.

4. Hormat ayah sampai tak berani cakap kuat-kuat.

Ustazah Kongsi 6 Nasihat Bentuk Peribadi Keluarga, Part ‘Mengaji Selepas Subuh’ Deep Sangat!
Gambat sekadar hiasan

Dulu saya tertanya-tanya ayat Al-Qur’an yang mana ayah bacakan untuk kami adik-beradik sehingga tidak berani melawan, cakap kuat-kuat dan membantah setiap suruhannya.
Nampak bengis tetapi dekat dan mesra. Senyum dan ketawanya sangat mahal tapi sekali ia terukir, padam segala ketakutan.
Rupanya amalan bacaan Asma’ Al-Husna bantu ayah lembutkan hati anak-anak.

Ads

5. Ajak orang buat baik, in sha Allah hati kita akan terdidik.
Pesan ayah nak jadi baik mestilah rajin ajak orang buat baik. Mungkin dengan asbab ini, Allah hidupkan hati kita untuk melakukan kebaikan.
Jangan tunggu baik dulu baru nak buat baik, kerana kebaikan tidak datang secara percuma.
Gunakan segala peluang yang ada, melalui tulisan, perbuatan, kata-kata, penampilan dan gaya hidup. Macam-macam cara yang kita boleh lakukan. Hakikatnya nak menyeru kebaikan itu tidak susah kerana Allah sentiasa mendorong kita dengan pelbagai kemudahan dan pertolongan dariNYA.
Satu perkara kita kena ingat, menyampaikan kebaikan tidak semestinya orang terus baik, jangan ada unsur paksaan jika berlaku penolakan kerana hati manusia kepunyaan Allah. Kita ikhlas menyampaikan, selebihnya bertawakkallah kepada Allah.

6. Dunia bukan untuk senang-senang dan berseronok kerana ia hanyalah jambatan yang penuh ujian sebelum sampai ke dunia akhirat.
Perjalanan hidup ayah tidaklah mudah, bermalam disurau berteman angin dingin yang menyucuk hingga ke tulang sum-sum, gigitan nyamuk yang berbintat-bintat, suara unggas yang mengisi hening malam. Semua itu ayah lalui dengan tenang dan sabar kerana seluruh jiwa dan raganya diserahkan untuk agama Allah.
Saya malu nak bersenang-senang, bermewah-mewah bila teringat jerih pengorbanan Almarhum ayahanda dalam hidupnya.

Walaupun saya tidak mampu untuk menjadi sekuat dan sekental ayah, saya selalu berdoa untuk menjadi anak yang mampu menyalurkan amal jariah kepadanya.
Ya Allah..
Andai Engkau menerima semua bingkisan, kerja dan amalanku, aku sedekah untuk Almarhum ayahanda Mat Yusoff Bin Ismail, moga terang kuburnya, tenang kuburnya, nyaman kuburnya, menjadi satu taman dari taman-taman syurgaMU.
Amiiin ya Mujeeb.
Tenangkan juga ibu ayah sahabat2 ku, moga beroleh karamah, rahmat dan kasih sayangMU sehingga ke Syurga.

Sumber: Aminah Mat Yusoff

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI