Keibubapaan

“Vea Tak Henti-Henti Menangis, Susu Tak Banyak, Saya Jadi Stress”, Syakirin Husnal Kongsi Anak Kena Sawan Tangis!

Share

Melihat wanita cantik ini di kaca televisyen saban hari mempromosikan pelbagai jenis produk di Go Shop memang petah. Tutur katanya lancar malah tidak tersekat-sekat. Betapa pengalaman dan ilmu yang dikautnya melalui program itu terlalu banyak.

Namun hakikatnya, pengacara Go Shop yang bersiaran di Astro ini juga merupakan seorang ibu yang mempunyai jadual rutin yang ketat dalam membesarkan jantung hatinya, Vea Khadeja yang kini sudah pun berusia 1 tahun 1 bulan.

Sekian lama menantikan cahaya mata selepas berkahwin pada tahun 2013, si comel Vea Khadeja menjadi pelengkap bahagia Syakirin Husnal bersama suaminya, Muhammad Faris Arriffin. Kata Syakirin, kehadiran Vea menjadi penyeri hidupnya dan suami.

“Membesarkan Vea yang kini sudahpun berusia 1 tahun 1 bulan banyak cabarannya. Lebih-lebih lagi bila mana Vea terkena sawan tangis atau Colic selepas dilahirkan sehinggalah usianya tiga bulan. Pun begitu semua ini lebih mengajar saya untuk jadi ibu yang lebih sabar dalam segala hal.

Saya cemas dan stress bila mana Vea tak henti-henti menangis selepas di lahirkan. Orang kata mungkin selepas berpantang keadaannya makin reda, tapi selepas berpantang keadaannya masih sama. Bermacam-macam cara saya lakukan rupanya barulah saya tahu bahawa Vea alami sawan tangis atau colic selepas berjumpa doktor.

Perhatian padanya semakin berganda saya berikan. Allah beri kami ujian yang hebat dalam menangani masalah ini. Mujur saya dan suami tidak cepat melatah.

Alhamdulillah selepas lima bulan, keadaannya makin pulih dan sekarang Vea menjadi anak yang cukup menyenangkan. Sekarang nak dengar dia nangis pun susah. Dia paling mudah dijaga malah murah dengan senyuman”.

Puas Hati Dapat Susukan Vea
Dalam pada kesibukannya, ibu cantik ini sentiasa berusaha keras untuk memastikan bekanan susunya buat Vea mencukupi.

” Saya akui dahulu masa lepas bersalin saya stress kerana susu saya sikit. Sebenarnya ketika awal mengandung lagi saya diajar oleh kawan baik saya untuk set kan minda hendak menyusukan anak. Jadi itulah yang saya buat sepanjang tempoh sembilan bulan. Tapi bila Vea lahir susu saya sikit pada permulaannya.

Saya stress yang amat sangat ketika itu sampaikan saya jumpa doktor untuk bertanyakan hal ni. Rupanya lama-kelamaan bila sentiasa dipam barulah susu saya makin banyak. Dan kini alhamdulillah susu saya semakin banyak.

Pada saya nak menyusukan anak ni kita perlukan sistem sokongan yang betul dari semua segi. Bukan sahaja dari segi peralatan, bahkan emosi juga perlu sentiasa positif dan fikirkan banyak susu. Orang-orang sekeliling seperti suami juga kena banyak bantu dari segi pengurusan masa dan sebagainya. Insyaallah penyusuan jadi lancar.”

Kredit: @syakirinhusnal

Published by
SRM