Video Kanak-kanak Autisme Alun Ayat Al Quran Undang Rasa Kagum Warga Net, Bukti Tiap Anak Ada Kelebihan Tersendiri!

Share

Anak-anak berkeperluan khas yang menghidap Autisme, down sindrom dan sebagainya memang terlalu istimewa. Kekurangan yang ada pada mereka jangan pernah sekali dijadikan alasan untuk tidak melayan mereka seperti anak-anak yang lain. Malah anak-anak ini juga mempunyai kelebihan yang tersendiri yang tiada pada kanak-kanak normal yang lain.

Dalam laporan yang dibuat oleh Sinar Harian, satu video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki autisme mengalunkan surah al-Fatihah membuatkan warga maya kagum dengan kehebatannya.

Video yang berdurasi 30 saat itu dikongsi pemilik Facebook, Mas Mawar, ibu kanak-kanak istimewa itu yang menunjukkan si kecil minat membaca surah di dalam al-Quran.

Kisah berkenaan dimuat naik di dalam Facebook kumpulan Autisme Malaysia dengan status memberitahu, “Doakan anak saya boleh berkomunikasi. Berminat sangat dengan ayat-ayat al-Quran, anak autisme masuk lima tahun,” tulisnya.

Mas Mawar atau nama sebenarnya Mastura Mohd Seni,32 ketika dihubungi Sinar Harian berkata, anaknya, Muhammad Ammar Mursyid Mohd Azwa, mula menunjukkan minat membaca ayat-ayat al-Quran.

Bersungguh mengenal Al Quran

Mastura berkata, dia bukan sahaja kagum dengan anaknya malah terharu dengan perkembangannya yang bersungguh-sungguh mengenal kitab ALLAH.

Mastura bersama suaminya, Mohd Azwa Yacob@Ibrahim bergambar bersama Muhammad Ammar.

“Selain surah al-Fatihah, anak saya juga boleh membaca surah An-Nas dan Asma ul Husna serta boleh mengalunkan azan tapi dalam ‘bahasa’ dia namun kadang-kadang ada yang betul ayat-ayat yang dibaca olehnya.

“Dia tidak dapat membaca namun dia suka mendengar surah-surah yang saya pasang. Saya dan suami memang dah nampak kelebihan dia,” katanya.

Beri Pendidikan Awal Untuk Anak Autisme

Suri rumah itu berkata, walaupun anak merupakan seorang anak istimewa namun dia tetap memberi pendidikan awal seperti kanak-kanak lain.

“Dia sekolah juga di taska tapi dia tak macam budak normal yang boleh duduk dan fokus, dia akan mendengar sahaja namun dia akan mengambil buku muqadam apabila berseorangan.

“Anak saya juga akan mencari balik surah-surah atau azan yang dia dengar untuk dia membacanya semula. Dia akan baca mengikut ‘bahasa’ dia tetapi kadang-kadang ada yang betul ayat-ayatnya,” katanya.

Warganet turut kagumi kebolehan Muhammad Ammar

Perkongsian itu membuatkan netizen kagum dengan semangat Muhammad Ammar yang bersungguh-sungguh menyebut nama ALLAH dan mempelajari ayat al-Quran walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kagum sungguh aku melihat adik Muhammad Ammar cuba membaca surah al-Fatihah walaupun dia tahu dirinya tidak berdaya namun semangatnya untuk menghabiskan surah al-Fatihah, buat saya sebak dengan kesungguhannya,” tulis Iqbal Zaidi di Facebook.

Akmal Ramdan pula berkata, “Beruntung Puan Mas Mawar mempunyai anak syurga yang mempunyai kesungguhan untuk mempelajari ayat al-Quran. Kagum saya melihat semangat anak puan. Semoga ALLAH sentiasa mempermudahkan urusan puan sekeluarga.”

Sumber: Sinar Harian & Mas Mawar

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah