Selepas viral mengenai anak tetamu yang datang beraya dan berkelakuan tidak sepatutnya, pelbagai komen yang tak puas hati dilontarkan oleh kebanyakan individu di media sosial.
Sebenarnya nak menyalahkan anak-anak kecil pun tak boleh juga sebab kadang kala mereka mungkin tak sedar apa yang dibuat dan anggap semua itu perkara yang menyeronokkan. Sebab itu peranan ibu bapa perlu dengan mengajar anak dari awal dan bukanlah bila anak 4 atau 5 tahun baru nak larang itu tak boleh, ini tak boleh.
Bila dalam situasi ini, ibu bapa kena tahu apa yang sepatutnya dilakukan supaya anak faham adab bila di rumah orang atau semasa berada di khalayak ramai. Mungkin boleh mula ajarkan anak peraturan dan adab masa di rumah lagi dan bila berdepan dengan orang luar, anak-anak dah faham peraturan dan boleh bawa diri.
Melalui perkongsian dari seorang bapa, Abdul Muiez Ruslee dia memberikan pendapatnya bagaimana caranya dan isteri menguruskan hal ini.
Sehari dua ini kecoh cerita pasal kanak-kanak dan open house. Apa yang saya lihat, baik sebagai tuan rumah mahupun tetamu, semuanya berkait dengan adab.
Meh saya kongsikan bagaimana cara saya dan isteri menguruskan hal ini.
– Sebagai tuan rumah.
- Sebarang barangan yang boleh mencetus keterujaan kanak-kanak, saya akan simpan dalam bilik. Antaranya, penapis udara Korea hutang 7 tahun, gajet seperti speaker, VR Box dan segala mak nenek yang saya rasakan ‘berbahaya’, saya simpan elok-elok. Apa yang diletak di ruang tamu termasuk stok permainan Ultraman, Kamen Rider adalah sedia untuk dimain oleh mereka.
- Pintu bilik utama saya kunci dan kuncinya saya simpan di tempat yang hanya kami anak-beranak sahaja yang tahu.
- Permainan anak yang biasanya bersepah di ruang tamu, saya letakkan dalam bakul dan masukkan dalam bilik anak. Kalau nak main, mainlah dalam bilik tu. Sepah ke, tergolek ke, tunggang langgang ke, lantaklah. Sampai masa, saya minta anak-anak kemas semula.
- Saya sediakan 2 kain buruk di ruang tamu. Mesti akan ada air yang tumpah. Tak da hal lah.
– Sebagai tetamu.
- Dari rumah sampai ke lokasi open house, berbuih mulut saya hamburkan nasihat beserta ugutan kepada anak-anak supaya jaga tingkah laku.
- Pernah sekali, saya simpan rotan dalam kereta. Bila tak puas hati dengan prestasi mereka di rumah orang, masuk je kereta, saya rotan tapak kaki. Sampai kena sound dengan seorang kawan, “aku anak 7, belum pernah letak rotan dalam kereta.”
- Nampak anak buas sikit je, saya jegil biji mata. Kalau tak dengar kata, mulalah tangan saya bertukar menjadi ketam. Jalan terakhir, “kau siap bila masuk kereta nanti.” Biasanya bila dengar ayat tu, insyaAllah semua akan taat.
- Bila nampak anak saya ambil barang orang yang tidak sepatutnya, terus saya minta dan letakkan semula di tempatnya.
- Kalau anak nak buka penutup bekas kuih raya, cepat-cepat saya tolong bukakan. Kena pula set bekas kuih raya yang harganya setengah bulan gaji. Mati la kalau pecah.
- Kalau dihidang air dalam cawan dan piring yang harganya RM100 sepasang, saya akan pastikan mereka minum dengan cermat. Yang murah pun cermat juga, tapi kalau yang mahal, berdabel-dabel siap sedianya. Ini antara apa yang saya dan isteri lakukan. Saya tak minta anda ikut dan mungkin juga tidak sesuai untuk anda.
Percayalah. Perkara berkaitan adab ini perlu kerjasama kedua-dua belah pihak.
Takkan asyik nak saling salah menyalahi.
“Kalau tak reti jaga anak, jangan bawa pergi open house.”
“Kalau tak nak barang kena kacau, tutup je pintu tu, jangan bagi orang masuk.”
Come on. Kalau itu sikap kita (ibu bapa yang ada anak buas dan tuan rumah yang takut barang dirosakkan) percayalah, sikit masa lagi, amalan ziarah menziarahi akan terus pupus.
Mendidik anak-anak bukan sahaja sekadar dengan perkataan tetapi juga dengan tindakan.
Sekadar berkongsi.
Sumber: Abdul Muiez Ruslee