Beguk atau mumps ialah penyakit yang berlaku akhir-akhir ini. Ibu bapa perlu tahu dan peka tentang penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus pada kelenjar liur. Paling menyedihkan ia boleh menyebabkan cacat pendengaran, penglihatan, bengkak selaput otak & tisu otak. Ia juga malah boleh menyebabkan kemandulan!
Ibu ayah perlu peka sekiranya pipi anak tiba-tiba membengkak dan dia mengadu sakit. Kesakitan yang dirasai boleh menyebabkan proses menelan menyakitkan. Hendak menelan air liur pun sakit!
Penularan ini dikaitkan dengan ibu bapa yang gagal membawa anak mereka mendapatkan imunisasi. Atau ada ibu bapa yang sengaja tidak membenarkan anak mereka divaksinkan yang akhirnya menyebabkan penularan. Dr Amirul Amzar telah berkongsi info mengenai perkara ini.
Mumps atau beguk adalah sejenis jangkitan virus pada kelenjar air liur. Virus ini menular melalui udara dan sentuhan terutamanya batuk dan bersin.
Virus ini menyebabkan bengkak pada kelenjar air liur dan berpotensi menyebabkan pelbagai komplikasi. Antara komplikasi yang biasa berlaku adalah kecacatan pendengaran, bengkak pada testis atau ovari, bengkak selaput otak dan bengkak tisu otak. Dan bengkak pada testis dan ovari ini boleh menyebabkan KEMANDULAN.
Komplikasi-komplikasi ini lebih cenderung berlaku pada golongan dewasa yang dijangkiti namun kanak-kanak yang dijangkiti masih terdedah kepada risiko ini. Oleh itu tindakan mengkuarantinkan pesakit beguk adalah amat penting.
Mumps boleh dicegah dengan pengambilan vaksin MMR yang dijadualkan pada usia 9 bulan serta 12 bulan. Vaksin ini mempunyai keberkesanan melindungi jangkitan mumps setinggi 96%.
Antara faktor yang menyebabkan peningkatan kes mumps di Malaysia adalah peningkatan golongan antivaksin. Golongan ini menolak vaksin seterusnya meruntuhkan herd immunity.
Bagi mempunyai perlindungan kelompok yang berkesan terhadap mumps, peratusan vaksinasi perlulah mencapai 75-86%. Jika semakin ramai yang menolak vaksin, peratusan ini semakin sukar dicapai dan wabak akan mula berlaku.
Ada ibu bertanya, anak saya dah pernah ambil vaksin tetapi masih kena beguk. Perlu difahami keberkesanan vaksin MMR untuk mumps adalah 96%, bukan 100%.
Bermakna walaupun sudah ambil vaksin, masih ada risiko sebanyak 1-5% dalam kalangan yang mengambil vaksin, antibodi yang dibentuk tidak mencukupi untuk melindungi daripada jangkitan ini.
Jadi bagaimana mahu pastikan perlindungan tercapai? Jawapannya adalah dengan memastikan herd immunity tercapai. Herd immunity berfungsi untuk melindungi kelompok yang mengambil vaksin tapi gagal menghasilkan antibody (1-5%), serta ia juga melindungi mereka yang tidak boleh mengambil vaksin seperti kurang daya tahan disebabkan kemoterapi atau alahan komponen vaksin yang teruk.
Oleh itu, tindakan antivaksin menolak vaksin bukan sahaja membahayakan diri mereka, malah menyebabkan risiko pada orang lain walaupun orang lain itu telah divaksin.
Oleh itu, saya menyarankan kita menyeru rakan-rakan kita yang antivaksin untuk sama-sama kembali menjalankan tanggungjawab mereka dan memperkasakan semula herd inmunity.
Bacaan lanjut untuk herd immunity boleh diperolehi di pos saya yang berikut https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10211867565066684&id=1297458864
Sumber: Dr Amirul Amzar, Medical Mythbusters Malaysia, M3