Bila mama-mama tengok gusi anak mula berdarah atau bengkak, mungkin ada yang terfikir untuk membiarkan kawasan tersebut tanpa digosok. Tetapi sebenarnya mama-mama tetap wajib memberus gigi anak walaupun keadaan gusi mereka bengkak dan berdarah.
“Kesian anak tengok dia sakit, tak sanggup nak sentuh bahagian tersebut” Lebih baik anak sakit kerana kita bersihkan giginya daripada menanggung sakit gigi dalam tempoh yang lama. Menurut doktor gigi, Dr Izaza, kawasan bengkak dan berdarah terjadi kerana adanya plak gigi yang berkumpul. Jadi plak tersebut harus dibersihkan segera.
Gusi berdarah atau bengkak wajib diberus, perlahan perlahan. Gusi berdarah semasa berus gigi adalah salah satu tanda, gusi kurang sihat sebab ada plak di sekeliling gigi dan juga di bawah gusi. Jadi, mak ayah jangan risau kalau gusi anak-anak anda berdarah semasa memberus gigi dan gusi.
Sedikit informasi daripada MyHealth portal KKM
Secara saintifik, plak gigi dikenali sekarang ini sebagai dental biofilm. Di dalam plak dianggarkan terdapat lebih dari 1000 spesis bakteria. Dengan peningkatan teknologi, lebih banyak spesis bakteria baru ditemui di dalam plak gigi.
Plak gigi ini adalah satu komuniti bakteria yang kompleks yang melekap pada sesuatu permukaan. Kerana ianya adalah diluar badan manusia, bakteria ini tidak terjejas oleh antibiotik, ejen antikuman dan sistem ketahanan badan. Apabila ia atau toksin yang dihasilkan berada dalam tisu, maka pertahanan badan akan mula bertindak dan terhasilkan keradaangan gusi. Dan kompleksiti plak ini dan kandungan bakteria plak ini akan bertambah mengikut masa, apabila plak yang terjadi dibiarkan tanpa dibersihkan.
Kalkulus (tartar) adalah plak yang telah mengeras, jika ianya dibiarkan tanpa dibersihkan. Apabila kalkulus telah terbentuk, ianya menyukarkan pemberusan dan penggunaan flos yang berkesan. Permukaannya yang kasar menyebabkan lebih banyak plak akan terperangkap dan terkumpul di kawasan tersebut.
Dalam era di mana pengetahuan kita yang meningkat mengenai kebersihan mulut, kesan plak gigi ini masih ketara dalam masyarakat kita. Dalam kajian oleh Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010, didapati 94% dari orang dewasa yang diperiksa mengalami penyakit gusi dalam pelbagai peringkat; 88.9% pernah mengalami karies gigi; purata 11.7 gigi setiap seorang mempunyai karies; 8.0% dari mereka yang berumur lebih 50 tahun mengalami karies pada akar gigi; 37.9% memerlukan cabutan gigi dan 37.7% memerlukan tampalan. Semua keadaan ini adalah dari angkara plak gigi.
Apa terjadi jika plak tidak dibersihkan?
Ianya boleh menyebabkan:
Penyakit gusi (periodontium) – pengumpulan plak akan menyebabkan gusi mengalami keradangan dan jangkitan. Pada peringkat awal penyakit gusi (gingivitis), hanya tanda-tanda seperti kemerahan, sedikit kebengkakan dan perdarahan dikesan, Jarang sekali menyebabkan kesakitan. Walau bagaimanapun jika tidak dirawat, gingivitis boleh menjadi penyakit gusi yang lebih teruk (periodontitis), yang menyebabkan kerosakan gusi dan tulang penyokong gigi. Akhirnya boleh mengakibatkan kehilangan gigi. Jangkitan dan keradangan gusi tersebut boleh menyebabkan penyakit-penyakit badan yang lain seperti angina ahmar, jangkitan paru-paru, komplikasi diabetes dan sebagainya. Ini adalah kerana gusi adalah sebahagian dari badan yang apa yang berlaku padanya, boleh merebak ke dalam badan seseorang itu.
Kerosakan gigi (karies gigi) – ianya adalah kerosakan setempat struktur gigi disebabkan oleh asid yang terhasil dari huraian (breakdown) gula oleh bakteria. Kaviti (lubang) akan terbentuk pada gigi. Karies gigi juga adalah satu jangkitan kuman yang akibatnya boleh menyebabkan kemudharatan gigi dan juga badan seseorang itu.
Nafas berbau (halitosis) – kewujudan plak gigi pada gigi, lidah dan permukaan dalam mulut yang lain boleh menghasilkan bahan toksik yang mengeluarkan bau busuk, terutamanya apabila ia bercampur dengan makanan yang lekat dicelah gigi atau dalam kaviti (karies) gigi. Ianya menyebabkan nafas juga berbau
Mencegah Plak gigi dari mengakibatkan penyakit
Plak gigi terjadi setiap masa. Ia boleh dibersihkan dengan penjagaan kesihatan mulut yang baik dengan:
-Memberus gigi dua kali sekali, menggunakan berus gigi yang sesuai dan dengan cara yang berkesan.
-Menggunakan flos dengan betul.
-Menggunakan alat pembersihan tambahan yang disyorkan oleh doktor gigi seperti interdental brush dan ubat kumuran.
Apabila plak gigi bertukar menjadi kalkulus (tartar), penskaleran adalah perlu dan hanya boleh dilakukan di klinik gigi oleh doktor gigi. Oleh itu, lawatan ke doktor gigi secara berkala adalah cara paling baik untuk menghindar kerosakan yang boleh dilakukan oleh plak gigi dan kalkulus tersebut.
Kredit: -Dr. Izaza Mohd Zan
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)