“Pernah tak kita tatap wajah anak waktu dia tidur? Kalau tak pernah cuba buat dan anda akan rasa sayu dan sebak tatap wajah tenang mereka yang tak berdosa.”

Allahu…baru rasanya kita menangisi pemergian bayi comel Adam Rayqal. Semalam ada lagi kisah sedih kanak-kanak, Muhammad Luthhakim Abdullah, 10 tahun meninggal dunia dipercayai didera.

Menurut laporan dalam Sinar Harian, kejadian jam 12 tengah hari itu, wanita berusia 29 tahun itu dikatakan membuat panggilan kecemasan menghubungi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mendakwa anaknya tidak sedarkan diri di rumah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pihak hospital menghantar ambulans ke rumah wanita terbabit dan cuba memberi pertolongan cemas namun gagal, sebelum kanak-kanak itu dibawa ke HTAA bagi menerima rawatan.

“Setibanya di hospital, doktor yang menjalankan pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia.”

Kanak-kanak malang tersebut dipercayai menjadi mangsa dera ibunya sejak beberapa bulan lalu berdasarkan kesan kecederaan lama ditemui pada tubuh mangsa.

Ekoran berita sedih melibatkan mangsa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa, seorang ayah, Andy Sulaiman meluahkan apa yang dia rasa selepas mengetahui kematian kanak-kanak yang didera menerusi tulisan yang menjentik emosi kita yang jadi ibu bapa.

Semoga segala kemarahan dan perasaan geram dengan tingkah laku anak yang kadangkala menguji kesabaran kita sebagai ibu bapa dapat disabarkan tatkala kita menatap wajah suci dan polos si kecil semasa mereka tidur.

“Waktu Anak Tidur, Tatap Muka Anak. Kenang Waktu Kita Marahkan Mereka.” Tip Elak Marah Dan Pukul Anak
Foto kredit: Sinar Harian

KENAPA MESTI PUKUL SAMPAI MATI?

Sekali lagi, kita dilukai. Sekali lagi, hati kita dirobek. Sekali lagi, jiwa kita menangis.

IKLAN

Adik Hakim, 10 tahun. Pergi ke negeri abadi selepas dikatakan diseksa dan didera.

Kenapa?

Kenapa berlaku lagi? Air mata kami belum kering mengiringi pemergian adik Adam, kenapa kami dibiarkan menangis lagi?

Dicucuh, dipukul, dirotan, ditampar. Belum puas lagi? Kenapa sampai mati?

Mak, ayah, mama, papa, umi, babah,

1) Waktu anak tidur, tatap muka anak sebentar. Kenang balik waktu kita marahkan mereka. Besar ke salah mereka? Patut ke mereka dimarah, diherdik sebegitu?

IKLAN

2) Waktu anak tidur, pandang mata mereka yang tertutup itu. Mata itu menangis kesakitan waktu kita pukul mereka. Tidak kah hadir rasa sayu?

3) Waktu anak tidur, lihat sesusuk badan anak itu. Badan itu lah yang kita belasah setelah diri kita dikuasai amarah. Lebam, berbekas, berdarah.

4) Waktu anak tidur, lihat telinga anak. Telinga itu lah yang kita tarik, yang kita pulas setelah mereka menunjukkan sifat kedegilan mereka yang menjadi lumrah bagi kanak-kanak. Masih lembut cuping itu. Ditarik dan dipulas oleh tangan yang sudah berpuluh tahun hidupnya.

5) Waktu anak tidur, lihat raut wajah anak. Betapa mereka sayang kita sehingga sikit tidak melawan bila kita hayunkan tangan pada muka dan tubuh badan mereka. Berasa menang kah kita?

6) Waktu anak tidur, berbual lah dengan mereka. Bagitahu kenapa kita marah. Dan fikir balik, apakah keterlaluan marah kita itu?

IKLAN

7) Waktu anak tidur, berbual lah dengan mereka. Tanyakan sakit atau tidak bila kita pukul mereka. Jika kita sebaya mereka, apa yang kita rasa?

8 ) Waktu anak tidur, kenang kembali. Berapa banyak janji-janji yang belum kita penuhi. Hingga anak menuntut seterusnya memberontak dan kita akhiri dengan pukulan?

9) Waktu anak tidur, ingat balik, berapa lama kita luangkan masa memberi kebahagiaan pada mereka dan berapa banyak pula masa kita habiskan untuk sakitkan mereka?

10) Waktu anak tidur, fikir balik. Apa kah kita sudah boleh dianggap ibu bapa yang berjaya? Mengapa tekanan dari luar, cabaran dunia, kita cuba zahirkan kekusutan kita ke atas tubuh badan anak kita?

Cubalah lakukan beberapa hal di atas ini. Mungkin sedikit sebanyak dapat menyemai rasa kecintaan kita, rasa tanggungjawab kita, rasa ingin lebih luangkan masa kita dengan anak-anak.

Cubalah amalkan ini. Mungkin sedikit sebanyak dapat menjauhkan diri kita dari dirasuk amarah, sehingga kita lupa yang kita pukul dan seksa itu adalah kita punya amanah. Kita punya daging darah.

Penulisan ini bukan lah untuk anda semata. Untuk aku juga. Aku juga pernah melepaskan marah. Pernah memukul anak, sehingga akhirnya menebal rasa penyesalan di dada.

Walau sekeras mana pun kita, bila dikenangkan kembali apa yang kita lakukan pada anak kita, air mata ini berlinang juga.

Maafkan Papa.

Tolong. Hentikan keganasan terhadap anak-anak. Mereka bukan lah lawan kita,
Andy Sulaiman
Puaka Bersekutu

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI