Kehamilan

Waktu Hamil, Jangan ‘Hentam’ Makan Sampai Berat Naik Mendadak. Boleh Kemurungan Lepas Bersalin!

Share

Masalah kenaikan berat badan yang berlebihan pastinya akan menyebabkan para wanita hamil ditegur oleh kakitangan klinik atau hospital. Pada waktu itu, kita akan mengimbas kembali, apakah yang kita makan semalam, atau sepanjang minggu itu? Kenaikan berat badan ketika hamil adalah sesuatu yang normal tetapi tidak boleh secara mendadak. Setiap ibu hamil boleh merujuk kepada carta berat badan yang ideal sepanjang mengandung. Ikuti penerangan lanjut tentang topik ini oleh Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Columbia Asia Hospital Seremban.

Sebelum kita semua panik, marilah kita lihat apakan kenaikan berat badan yang dianggap ‘normal’ ketika hamil. Kenaikan berat badan ketika hamil secara purata adalah 12 kilogram sepanjang kehamilan. Pun begitu, bagi wanita yang “underweight” iaitu BMI 18.5 atau kurang, anda boleh mengalami kenaikan berat badan sebanyak 20kg sepanjang kehamilan. Untuk wanita yang mengalami obesiti pula, (BMI lebih dari 30.0), anda hanya boleh naik berat badan sebanyak 5kg sepanjang kehamilan.

Naik Berat Badan Ikut Usia Kehamilan

Pada trimester pertama, keadaan ibu yang kurang selera atau mengalami loya menyebabkan kenaikan berat badan adalah minimum 1kg setiap bulan atau ada yang kehilangan berat badan.

Pada trimester kedua, berat badan akan naik 1kg setiap bulan. Jika berat badan tidak naik disebabkan masalah muntah yang berpanjangan, anda hendaklah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut (pastikan tiada masalah tiroid, masalah hati atau masalah usus/pankreas).

Artikel Menarik: [Makan Produk Tenusu Ada Peluang Dapat Anak Kembar? Dr Hamid Beri Panduan]

Pada trimester ketiga, berat badan selalunya naik 1.5 -2kg setiap bulan. Jika, berat badan naik lebih dari bacaan yang dinyatakan, pihak hospital atau klinik akan memastikan anda tidak mengalami masalah kencing manis, darah tinggi atau masalah pemakanan berlebihan.

Jika Berat Badan Naik Mendadak, Akan Dipantau

Ini bagi mengelakkan masalah seperti eklampsia, kematian ibu dan bayi (disebabkan oleh darah tinggi) atau masalah bayi yang obes, atau kematian bayi secara mengejut (disebabkan oleh masalah kencing manis sewaktu hamil). Biasanya doktor akan menasihatkan ibu supaya tidak makan berlebihan sehingga menyebabkan diri ibu dan bayi dalam kandungan menjadi obes.

Jika kita melahiran bayi yang mempunyai berat badan berlebihan, risiko yang kita alami adalah:

  • Proses kelahiran yang lama
  • Gagal untuk lahir secara normal dan perlu dibedah akhirnya
  • Penggunaan alat seperti vakum dan forsep bagi membantu kelahiran di mana bayi dan ibu boleh mengalami kecederaan.
  • Selepas kepala bayi keluar, bahu pula boleh tersangkut (shoulder dystocia) di mana otot, tulang dan urat saraf bayi boleh cedera dan kecederaan mungkin kekal! Otak bayi juga boleh mengalami kekurangan oksigen.
  • Setelah bayi dilahirkan, uri juga besar jika bayi puan besar. Dalam sesetengah kes, ia sukar dikeluarkan. Selepas uri keluar, rahim pula lambat mengecut dan boleh berlaku masalah tumpah darah.

Buat Rekod Kenaikan Berat Badan

Ibu mengandung seharusnya menyimpan rekod kenaikan badan. Dengan cara ini, anda akan peka dengan kenaikan berat badan. Beli mesin penimbang dan timbang berat badan dua kali sehari (waktu pagi dan malam sebelum tidur).

Campur berat badan anda pada hari itu dan bahagi dengan dua untuk mendapat purata berat badan. Simpan rekod berat badan selama seminggu dan kira puratanya.

Jika berat badan naik terlalu cepat ( lebih dari 0.5kg seminggu), makaa anda hendaklah menjaga pemakanan pada minggu seterusnya.

Artikel Menarik: [Check UPT Naik 2 Garis, Tak Payah Excited Pergi Scan. Tunggulah ‘Besar’ Sikit]

Masalah kenaikan berat badan yang berlebihan juga mempunyai kesan selepas bersalin. Di antaranya ialah masalah stres dan murung. Kesukaran untuk menyusu anak juga dikaitan dengan wanita yang obes selepas kelahiran bayi. Jika mengalami pembedahan caesarean, luka lambat baik, lebih mudah mengalami jangkitan dan lebih mudah dilanda masalah darah beku di kaki (deep vein thrombosis).

Kesimpulannya, jangan panik jika berat badan naik ketika hamil. Sebaliknya, simpanlah rekod berat badan anda sendiri. Jagalah pemakanan dan berjumpalah dengan pakar pemakanan jika perlu. Lakukan senaman setiap hari jika mampu. Ikutlah nasihat doktor kerana jika perlu, pemeriksaan untuk kencing manis dan darah tinggi akan dilakukan bagi memastikan keselamatan puan dan bayi dalam kandungan.

 

Published by
Emy H