Sesetengah ibu ayah mengalami kesukaran bila ajak anak makan. Anak-anak menolak untuk makan atau suka bermain waktu makan. Bagi memudahkan kita memujuk anak-anak untuk fokus makan dan tidak bermain-main, kita hulurkan gajet pada mereka.
Dalam perkongsiannya, Maryam Jamadi ada menyebut tentang kelebihan waktu makan adalah masa paling sesuai untuk menguatkan bonding antara ibu ayah dan anak-anak. Ketika waktu makanlah, kita dapat fokus kepada keluarga sepenuhnya.
Tetapi rugilah jika anak-anak diberikan gajet ketika kita makan bersama satu keluarga. Ikuti penulisan penuh manfaat ini.
KERUGIAN ANAK MAKAN “DENGAN” GADGET
Makan bersama anak memang mencabar, lagi-lagi situasi di restoran apabila makanan dah terhidang, perut mak ayah dah bekeroncong tetapi anak meragam nak berdirilah, nak memanjatlah, nak keluar dari kerusi bayi lah dan sebagainya. Memang pening kepala
Alat paling mudah untuk mendiamkan anak adalah gadget. Ya, gadget memang memudahkan tetapi dalam masa yang sama amat merugikan anak. Nampak macam remeh, “Alaa makan je, sekejap sahaja”.
Tapi, cuma mak ayah muhasabah kembali. Dalam sehari-harian pergi kerja, balik kerja, makan, gosok baju, lipat baju, basuh baju, urus anak dan sebagainya, waktu bila yang sebetul-betulnya mak, ayah dan anak menghadap satu sama lain, bercakap dan berkomunikasi tanpa gangguan lain?
Ya, waktu makan.
Selalunya, waktu makan bersama keluarga (family meal time) adalah waktu paling banyak komunikasi antara satu sama lain disebabkan waktu lain masing-masing sibuk bekerja + gangguan tv dan gadget.
Kenapa saya kata rugi jika anak biasa makan dengan gadget, kerana waktu makan adalah waktu untuk anak belajar:
Ads
1. Makan.
Normal apabila anak memasuki fasa perkembangan emosi dan sosial “Autonomi vs Malu” (Psychosocial Development) semasa 18 bulan hingga 3 tahun, anak akan berminat nak belajar makan sendiri. Maka, waktu ini adalah fasa emas untuk mak ayah ajar anak skil makan dan minum.
Untuk belajar skil makan, anak perlu perhatikan cara mak ayah pegang sudu dan garfu, cara nak kaut makanan dan seterusnya anak cuba berlatih makan sendiri.
Bersepah dan comot itu normal. Selagi anak tak berlatih skil makan dengan belajar makan sendiri menggunakan sudu atau tangan, selagi itu anak akan makan bersepah. Belajar makan sendiri juga sama penting dengan belajar menulis ya.
Percayalah, anak akan rasa sangat happy bila dapat makan bersama mak ayah. (Walaupun bersepah)
2. Komunikasi.
Ads
Bila masuk bahagian komunikasi, ada banyak sangat komponen yang anak rugi bila makan dengan gadget. Gadget tak ajar komunikasi dua hala, anak cakap tapi gadget tak reply (melainkan cakap dengan talking tom).
Ada kajian dilakukan tentang kepentingan makan bersama keluarga (Importance of Family Mealtime) terbukti apabila anak makan bersama mak ayah tanpa gangguan (gadget, TV) membantu anak untuk belajar bersosial dan menjadi seorang yang hebat berkata-kata.
Jadi, sebenarnya waktu makan adalah waktu yang paling baik untuk anak belajar komunikasi dua hala, bahasa badan, ekspresi muka, intonasi suara dan sebagainya. Sayang sangat jika mak ayah tak guna waktu ini dengan sebaiknya.
Deria rasa anak yang baru mula makan (6 bulan keatas) sangat sensitif disebabkan deria ini adalah deria yang paling “kuat” bagi bayi. Jika dari awal anak dah diperkenalkan dengan gadget atau tv terutamanya waktu makan, hal ini akan menyebabkan anak tak fokus dengan rangsangan deria rasa yang diberikan sewaktu makan.
Kita yang dewasa pun bila tengok wayang sambil makan popcorn, kadang-kadang khusyuk sangat sehingga tak perasan dah makan 1 kotak popcorn. Apatah lagi anak yang masih kecil, bila kita berikan rangsangan visual dan bunyi semasa makan boleh menyebabkan anak tak fokus dengan rangsangan deria rasa dan bau. Sehingga deria rasa kenyang pun anak tak rasa.
Ads
Hal ini yang menyebabkan anak termakan lebih dari keperluannya (overeating) dan menyebabkan risiko obesiti di masa akan datang sekiranya menjadi habit anak
Tentang gadget + obesiti memang dah banyak kajian dilakukan, makan sambil tengok gadget memang terbukti menyebabkan risiko obesiti tak kira kanak-kanak ataupun orang dewasa.
Jadi, bagi mak ayah yang belum terjebak beri anak gadget semasa makan, elakkan dan elakkan sebelum ia jadi habit.
Kalau yang dah terjebak, jadikan gadget sebagai pilihan terakhir untuk menenangkan anak di meja makan. Cakap memang senang, tapi realitinya memang susah, ya saya faham
Terima kasih, sila SHARE sekiranya bermanfaat untuk diri dan orang lain.
Nak buat anak rasa seronok waktu makan, kenalah ada set kutleri istimewa ni. Klik SINI untuk tengok apa yang best!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Anda moms-to-be dan mahu belajar ilmu berpantang yang betul? Jangan ketinggalan untuk menyertai Pa&Ma E Workshop yang akan mengetengahkan tentang kepentingan berpantang serta cara terbaik untuk melakukannya. Nak sertai, klik SINI
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap ibu ayah ada cara ‘parenting’ yang mereka gunakan untuk mendidik anak. Katanya, cara orang Perancis mendidik anak antara yang bagus untuk dicontohi. Pendekatan mereka tak jauh beza dengan cara orang tua kita dulu-dulu yang lebih percaya pada pendekatan tegas semasa mendidik anak-anak.
Biasanya kalau orang barat mereka lebih suka pendekatan psikologi dan banyak beralah pada anak-anak. Nampaknya hari ini semakin ramai ibu ayah muda yang memilih pendekatan sebegini untuk membesarkan anak mereka.
Apa pun cara yang kita pilih semuanya berkesudahan mahu si anak menjadi insan yang berjaya, beradab dan berakhlak mulia. Tapi tak salah untuk tiru cara ‘parenting’ orang barat kalau ia ada kebaikan pada perkembangan dan sahsiah anak kita. Ini cara ibu bapa Perancis mendidik anak mereka.
1. Sesekali biar anak rasa kecewa
Tak semua keinginan anak mesti dipenuhi oleh ibu ayah. Belajar rasa kecewa adalah perkara bagus untuk anak yang sedang membesar. Biarkan dia belajar pengalaman ini untuk persediaannya menghadapi cabaran yang lebih banyak dalam kehidupan nanti. Perasaan kecewa tak dapat apa yang diinginkan boleh menyuntik semangat tak putus asa dalam diri anak.
2. Ajar anak untuk bersabar
Mengajar anak untuk menunggu sesuatu perkara seperti hendak susu, makan, perhatian dari ibu ayah atau menanti ibu atau ayah menjawab soalannya membantu mereka menjadi orang yang penyabar tanpa perlu cepat mengamuk dan marah-marah. Skil ini penting supaya anak tahu menghormati ibu ayah dan tidak hanya tahu mengarah sahaja.
3. Ajar anak hormat masa ‘privacy’ ibu dan ayah
Dari kecil lagi biasakan ajar anak tentang masa ‘privacy’ ibu dan ayah. Anak perlu dibiasakan yang ibu dan ayah juga perlukan masa dihabiskan bersama tanpa kehadiran anak. Bukan maksudnya tak sayang anak tapi ia penting untuk keharmonian dan kebahagiaan ibu ayah serta keseimbangan keperluan hidup.
4. Jangan lindungi kesalahan anak
Biarkan anak belajar dari kesilapannya. Tak perlu nak tolong ‘cover’ atau lindungi kesalahan yang anak dah buat. Bila ibu atau ayah selalu lindungi mereka, anak tak akan belajar akibat yang dia akan tanggung bila bersikap cuai atau terlupa.
Dia akan terus ulang kesalahan yang sama tanpa belajar sesuatu. Bila ibu dan ayah tak ‘cover’ mereka maka di masa akan datang dia akan lebih beringat dan berhati-hati. Ini membantu mereka belajar tentang kehidupan yang sebenar.
5. Biarkan anak bebas bereksplorasi
Tak perlu jadi ibu yang terlalu paranoid dan melindungi anak kerana bimbang keselamatannya. Sebagai ibu bapa, kita memang prihatin tentang keselamatan anak. Sesekali biarkan anak bebas bereksplorasi dan mencuba macam-macam aktiviti aktif seperti bermain monkey bar di taman permainan, skateboard, skuter atau melompat dan memanjat cuma pantau keselamatan mereka sahaja.
6. Tak obses penuhkan jadual anak dengan aktiviti belajar
Hari ini ramai ibu ayah yang obses hantar anak belajar macam-macam kemahiran sampai padat jadual seharian mereka hingga tak ada masa untuk anak berehat. Tapi orang Perancis tak percaya cara itu boleh jadikan anak mereka cemerlang. Mereka lebih percaya untuk memberi ruang kepada anak untuk buat aktiviti sendiri dan paling penting masa bersama keluarga sekurang-kurangnya makan malam bersama. Jadi mereka tak akan memenuhkan jadual harian anak dengan aktviti belajar sahaja.
7. Libatkan anak dalam urusan kerja rumah
Ajar anak dari kecil tolong ibu ayah buat kerja rumah. Bagi orang Perancis, semua tugas-tugas di rumah adalah juga tanggungjawab anak kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga dan mesti menyumbangkan sesuatu dalam urusan kerja rumah. Ibu ayah kena ajar anak buat kerja rumah bersesuaian ikut umur mereka. Barulah mereka belajar bertanggungjawab dan faham kesusahan membuat kerja rumah.
8. Masa bersama keluarga paling penting
Keluarga Perancis sangat mementingkan masa berkualiti bersama keluarga. Kalau susah untuk makan malam bersama setiap hari kerana komitmen masing-masing, mereka tetap akan rancang sekurang-kurangnya beberapa kali mesti makan bersama. Setiap hujung minggu, pastikan rancang jadual makan malam atau tengah hari bersama keluarga diikuti dengan aktiviti bersiar-siar bagi mengeratkan hubungan.
9. Hubungan rapat adik-beradik
Bagi yang mempunyai ramai anak, mereka biasakan anak yang besar untuk membantu adik-adik lain. Contohnya kakak atau abang boleh bawa adik bermain di taman permainan, hidangkan makanan di meja makan atau bantu adik menyiapkan kerja sekolahnya jika boleh. Ini membantu mengeratkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik, mengurangkan pergantungan pada ibu ayah dan menjadikan mereka lebih mampu berdikari dan bertanggungjawab.
10. Ajar anak beradab sopan
Walaupun anak seorang yang pemalu terutama dengan orang yang dia tidak dikenali tetapi mereka tetap diajar beradab sopan dengan orang lain walaupun dengan kawan sendiri. Mereka diajar untuk biasa memperkenalkan diri, mengucapkan salam, selamat tinggal dan terima kasih sebagai asas kelakuan baik di depan tetamu walaupun sekadar di kalangan kawan-kawan.
11. Masa berkualiti di luar rumah
Walaupun orang Perancis mementingkan masa bersama anak di meja makan tetapi mereka percaya kanak-kanak mesti dibiarkan menghabiskan banyak masa membuat aktiviti di luar rumah. Memberi kebebasan kepada anak untuk bermain di taman bersama kawan-kawan, bersiar-siar dengan keluarga adalah cara terbaik memastikan mereka sihat, gembira dan cerdas.
Rasanya banyak juga cara orang Perancis mendidik anak sama dengan cara yang dilakukan oleh ibu bapa di Malaysia kan? Apa yang penting semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
Masalah kesihatan yang biasa dialami oleh bayi bawah setahun perlu diberi perhatian. Jangan anggap menjaga bayi mudah kerana mereka akan tidur sepanjang hari.
Apabila dah bergelar ibu bapa ini, perkara utama harus diutamakan adalah anak kecil. Apabila mereka sakit atau nak apa-apa, bukanlah secara terus boleh bercakap. Cuma yang mereka boleh buat adalah menberi isyarat tertentu.
Seperti orang dewasa, bayi juga mengalami masalah kesihatan. Kerana sistem imun bayi masih lemah dan mudah berjangkit.
Terdapat beberapa masalah kesihatan bayi yang biasanya dihadapi semasa sedang membesar.
1. Sedu
Sedu adalah masalah kesihatan bayi yang perkara biasa berlaku. Memang kerap berlaku dalam sehari. Bagi ibu, usah risau kerana sedu adalah normal. Menurut doktor, keadaan ini disebabkan bayi terlalu kenyang.
Petua orang-orang tua, basahkan sedikit tisu dan letakkan pada bahagian dahi bayi anda. Sedu akan hilang selepas itu.
2. Muntah
Kebiasaannya berlaku selepas menyusu atau setengah jam atau sejam selepas penyusuan. Kuantiti muntah adalah sedikit dan jika muntah bayi terlalu banyak dan tidak henti, ibu perlu membawa bayi ke klinik. Bayi anda mungkin mengalami masalah pada usus.
Muntah juga berlaku kerana bayi menyusu terlebih dos. Perut bayi tersangat kecil dan mempunyai had untuk menyimpan susu. Sebab itulah bayi memang kerap menyusu iaitu sekurang-kurangnya 8 kali sehari.
Sebaiknya, selepas menyusu sendawakan bayi dengan memangku dan meletakkan kepala bayi menghadap bahu anda, kemudian tepuk perlahan-lahan.
3. Kembung Perut
Masalah kesihatan bayi ini biasa berlaku dan selalunya kerap berlaku pada waktu malam. Banyak punca kembung perut terhadap bayi, antaranya disebabkan oleh pemakanan ibu, cuaca dan juga susu formula yang tidak sesuai.
Untuk melegakan perut bayi, sapu minyak angin atau minyak telon di bahagian perut, bahagian belakang badan, telapak kaki dan pada bahagian betis. Pastikan minyak yang digunakan selamat untuk bayi.
Cara tradisioanal juga boleh digunakan dengan menggunakan tungku herba yang telah dipanaskan, pastikan suhu yang selamat untuk kulit bayi dan tuam pada perut bayi. Insya-Allah, ini akan melegakan kembung perut bayi.
4. Cirit-Birit
Ada yang menyatakan bahawa jika bayi buang air besar lebih daripada tiga kali dianggap cirit-birit. Akan tetapi, perlu juga dilihat dari segi warna najis dan juga bentuknya.
Biasanya jika bayi mengalami cirit-birit, najisnya sedikit dan cair serta membuang lebih daripada tiga kali. Bayi yang kerap menyusu juga kerap membuang.
Untuk mengatasinya, anda haruslah memberi bayi anda air(untuk bayi 6 bulan ke atas) atau menyusu secara kerap kerana telah berlaku dehidrasi atau mendapatkan rawatan dengan segera.
5. Sembelit @ Tidak Buang Air Besar
Keadaan ini biasa berlaku kepada bayi. Ibu bapa kena pantau. Ia normal bagi bayi menyusu badan. Biar anak membuang secara semulajadi. Jika nampak anak tak selesa boleh terus rujuk pada doktor.
6. Ruam
Masalah kesihatan bayi yang popular dan kerap terjadi ialah ruam. Sebagai ibu, kerisauan melanda jika terdapat bintik-bintik merah yang timbul pada wajah dan bahagian kulit yang lain terutamanya punggung.
Biasanya yang kerap berlaku kepada bayi ialah ruam lampin. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh lambat menukar lampin bayi dan juga kulit bayi cepat berpeluh. Kulit bayi sangat lembut dan sensitif, jadi penjagaan yang rapi amat diperlukan.
Ruam juga terjadi pada bahagian celah-celah paha dan lipatan anggota badan bayi. Sebagai penyelesaiannya, gunakan krim pelindung ruam yang tidak menyerap air.
Lampin yang basah perlu ditukar segera atau sebaik-baiknya 6 jam sekali. Jika bayi anda buang air besar, jangan melambatkan proses pembersihan kerana keadaan tersebut membuatkan bayi anda tidak selesa dan boleh menyebabkan gatal-gatal.
7. Selsema
Masalah kesihatan bayi seperti selsema kerap berlaku setiap bulan. Sistem pertahanan bayi masih belum kuat dan mudah dijangkiti virus. Selsema akan meyebabkan bayi tidak selesa dan adakalanya tidak lena tidur.
Selsema terjadi disebabkan kahak terkumpul pada bahagian paru-paru bayi. Untuk membuang kahak, memang sukar, kerana bayi masih kecil. Anda juga boleh mencuba untuk melakukan Teknik Steam/Garlic Steam untuk melegakan bayi anda.
Atau sapukan minyak bawang putih di bahagian dada, belakang dan tapak kaki bayi. InshaAllah, cara ini akan memberikan kelegaan kepada bayi anda.
8. Demam
Masalah kesihatan bayi yang seterusnya ialah demam. Suhu biasa bagi bayi ialah 37 darjah celcius, jika suhu melebihi 38 darjah celcius ke atas, itu tandanya bayi anda demam.
Cara nak menurunkan suhu bayi adalah dengan meletakkan tuala basah di kepala dan juga dicelah ketiak bagimemastikan suhu badan dalam keadaan normal.
sumber: rezekisihat.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melatih anak memakai dan menanggalkan baju sendiri bukanlah mudah. Ada anak mula rasa rendah diri bila tidak dapat menyarung baju sendiri. Satu tanggungjawab besar buat dirinya. Sudahnya bila gagal, anak mula malas untuk mencuba.
Berilah galakan untuk anak agar dia rasa bertanggungjawab mengenakan baju di badan sendiri tanda sudah pandai berdikari.
Keseronokan anak dapat membuat pilihan tentang apa yang ingin dipakai, sudah tentu menambahkan keinginan mereka untuk bersiap sendiri. Setiap kali anak ingin bersiap, pastinya mereka akan banyak bertanya mengenai baju warna apa, corak yang bagaimana dan sebagainya.
Mengajar anak berdikari untuk bersiap dan memakai baju sendiri sebenarnya membolehkan perkembangan 5 kemahiran dalam diri mereka, seperti:
* Kemahiran motor halus – pakai zip seluar dan tali kasut
* Kemahiran motor kasar – menyeimbangkan diri pada satu kaki untuk memakai stoking
* Kemahiran kognitif – apabila mengingati susunan pakaian yang perlu dipakai dan kesabaran untuk keseluruhan proses
* Kemahiran bahasa, apabila mempelajari nama-nama untuk pakaian yang berlainan
* Deria berkaitan masa dan acara -apabila mereka mengetahui jenis pakaian sesuai mengikut cuaca dan acara/program
Kemahiran berpakaian mengikut usia
Jadi bila masa sesuai untuk ajar anak bersiap dan pandai pakai baju sendiri
Usia 1 tahun
– Anak akan belajar mengangkat tangan untuk melalui lengan baju dan kaki untuk memakai kasut.
– Si kecil boleh menarik stoking ke atas dan memakai kasut.
– Si kecil boleh menolak tangannya untuk masuk ke bahagian lengan baju serta kaki ketika memakai seluar.
Usia 2 tahun
– Anak anda mungkin sudah mampu untuk membuka zip baju sejuk.
– Si kecil boleh menolak seluarnya ke bawah atau membuka seluar sendiri.
– Boleh mencari lubang lengan (armholes) pada baju.
– Si manja mungkin akan cuba untuk menanggalkan stokingnya sendiri
– Memakai baju atau pakaian tanpa butang menjadi lebih mudah
– Membuka butang yang besar pada pakaian juga semakin mudah dilakukan
Usia 3 tahun
– Anak anda sudah boleh memakai baju sendiri dengan sedikit bantuan
– Si kecil sudah boleh memakai kasut sendiri. Tetapi mungkin pada kaki yang salah!
– Sudah boleh menyarung stoking sendiri dengan sedikit bantuan
– Mampu menanggalkan pakaian dengan sendiri
– Sudah tahu menggunakan zip
– Membutangkan pakaian dengan butang besar
Usia 4 tahun
– Boleh menggunakan pengikat pada kasut atau tali pinggang
– Sudah boleh menggunakan zip
– Menyarung stoking tanpa sebarang bantuan
– Si kecil sudah boleh memakai kasut sendiri tetapi mungkin dengan sedikit bantuan
– Anak anda mampu membezakan depan dan belakang bagi sesuatu pakaian
– Memerlukan sedikit bantuan ketika memakai seluar
Usia 5 tahun
– Si manja sudah mampu bersiap tanpa sebarang bantuan atau pantauan
– Memakai pakaian dengan cara yang betul anak memakai baju sendiri
– Tip mengajar anak memakai baju sendiri
– Terdapat beberapa cara untuk mengajar anak berdikari untuk berpakaian.
Berikut adalah 7 langkah yang perlu dicuba oleh setiap ibu bapa.
Seluar sarung dan pinggang getah
Pilihlah seluar jenis sarung dan menggunakan pinggang getah. Ini membolehkan si kecil belajar untuk menanggalkan seluar apabila perlu. Anda boleh menukar jenis seluar apabila si kecil semakin mahir dalam memakai seluarnya.
Duduk ketika bersiap
Minta si kecil untuk duduk ketika memakai seluar atau menyarung stoking. Ini membolehkan mereka fokus tentang apa yang dilakukan dan menghindari ketidakseimbangan diri.
Menolak tangan sendiri
Jika dahulu anda akan membantu menyarungkan lengan baju, jadi ajarkan anak berdikari dengan menolak tangannya sendiri untuk menyarung lengan baju tersebut. Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan keyakinan diri si manja.
Butang baju sendiri
Bab ini mungkin sukar dan lebih mencabar kesabaran anda. Tetapi yakinlah ia sesuatu yang berbaloi. Galakkan si kecil untuk mencuba membutangkan bajunya sendiri. Silap? Tidak mengapa, janganlah memarahi mereka, okay? Nanti tantrum pula si kecil.
Pemilihan pakaian
Pada permulaan untuk mengajar anak memakai baju sendiri, anda boleh membantu menghindari kekeliruan mereka dengan menyusun siap pakaian yang perlu dipakai.
Anda mungkin boleh mengatur pakaian mengikut susunan hari dalam almari untuk dipakai mereka kelak.
Mengenal depan dan belakang
Ajari si kecil untuk mengenal yang mana 1 bahagian depan dan belakang pakaian. Tunjukkan mereka tag pakaian yang selalu berada di belakang atau butang yang sentiasa di bahagian depan.
Kasut yang mudah
Memakai kasut adalah antara aspek penting dalam mengajar anak berdikari ketika bersiap. Mulakan dengan kasut yang mudah dipakai seperti kasut sarung. Anda boleh tunjukkan si kecil bagaimana anda memakai kasut dan menggalakkan si kecil mencuba sendiri.
Sentiasa beri galakan
Dalam usaha mengajar anak memakai baju sendiri, ia sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia bukanlah semudah untuk ajar anak memakai baju sendiri, ajar hari ini dan esok mereka akan pandai.
Jadi ibu bapa sekalian harus lebih bersabar dan jangan mudah naik angin.
Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!
Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!