Kalau ibu ayah tegur anak dengan cara yang baik, lama-lama ia boleh beri kesan juga pada anak yang mungkin selama ini susah dengar kata. Teguran lemah lembut dan tidak menengking berbanding kerap membebel lama-kelamaan akan beri kesan mendalam dalam hati mereka.
Walaupun mungkin ada ibu dan ayah yang tidak bersetuju cara lembut untuk tegur kesalahan anak dan lebih selesa menggunakan kekerasan dan bebelan namun percayalah kadangkala ada anak yang lebih mudah berubah dengan kaedah teguran lembut berbanding kekerasan.
Perkongsian dari seorang ayah, Pengiran M.Nizam Rahman tentang kesan teguran lembut pada anaknya hingga si kecil menitiskan air mata mungkin boleh digunakan juga oleh ibu bapa lain tatkala menegur kesilapan anak-anak.
Tadi tengahari aku pegi menjemput Mikail balik dari sekolah. Dia masuk ke dalam kereta.
“Assalamualaikum ayah.”
“Wa’alaikumussalam El'” jawabku.
Kelihatan mukanya kemerahan kerana panas selepas bermain di bawah terik mentari sementara menunggu aku datang tadi.
Aku gerakkan kenderaanku. Bagi memecah kesunyian aku ajukan Mikail satu saranan. Bila aku tanya kembali dia menjawab “faham” dengan nada lemah. Letih barangkali.
Selepas itu sengaja aku tanya bertubi kali sama ada dia faham ke tidak apa yang aku katakan padanya.
Dia menjawab faham. Mula-mula dengan nada rendah. Aku tanya lagi dan lagi hingga akhirnya dia naikkan sedikit nada.
” Fahamm lah!” Marah. Dia terus diam. Hening. Hanya kedengaran bunyi nafas seakan mendengus geram.
“Mikail…”
“Mari dekat. Ayah nak cakap sesuatu.” pinta aku.
Dia merapat kepadaku.
“El tau tak? Apa jadi kepada orang Allah Sayang?”
Mikail mengangguk.
“El nak tak Allah sayang El?” Tanyaku. Dia mengangguk lemah.
“Antara cara kalau kita nak Allah sayang, kita kena cakap yang baik-baik dengan ibu ayah kita.”
“Kita tak boleh tinggikan suara pada ibu ayah. Bila kita tinggikan suara, walaupun dengan hanya perkataan AHHH!, itupun dah berdosa sebenarnya,” perlahan-lahan aku nasihatkan dia.
“Ayah sengaja je buat begitu tadi. Saja tanya soalan berulang kali.”
“Saja je nak gurau-gurau dengan anak ayah.”
“Sementara ayah masih bernyawa ni ayah nak selalu bergurau senda dengan anak-anak ayah,” jelasku.
Suaraku sudah sedikit sebak. Entah macamana mata aku terasa macam masuk habuk pula.
Mikail terdiam. Ku perlahankan kenderaan dan menoleh ke wajahnya. Nampak airmatanya sedikit menitis di pipi.
Cara Kita Tegur Anak Berbeza Kesannya…
Kawan,
Begitulah hati.
Hati ini walau sekeras mana sekalipun, jika disiram dengan kata-kata yang baik dan kena dengan caranya pasti akan lembut dan memberi kesan yang lebih dalam.
Mungkin ada di kalangan kita lebih suka dengan pendekatan lain. Membalas rungutan keras si anak dengan rengusan yang lebih kasar tapi aku yakin itu bukan satu penyelesaian.
Mungkin juga ada di kalangan kita yang lebih gemar mengajar melalui bebelan. Ya, bebelan itu mungkin kita rasa puas sebab dapat meluahkan segala apa yang terbuku di hati tapi aku yakin isinya tidak akan sampai ke dasar hati. Sekadar melintas dari telinga kanan ke kiri.
Hmm. Itukah yang kita mau?
Selain itu, teguran keras dan kasar ini aku yakini akan hanya meninggalkan kesan dan contoh yang tidak baik kepada anak-anak.
Mereka ini umpama span. Akan menyerap apa sahaja contoh tauladan yang kita hidangkan.
Elok pada pandangan kita mungkin bukan sesuatu yang bagus untuk mereka. Yang tak elok dengan citarasa kita pula mungkin adalah pendekatan yang lebih baik untuk mereka.
Berhati-hatilah memilih cara menegur. Biarlah kita menegur dengan cara yang kurang nikmat bagi kita tetapi isinya terus tertancap di minda.
Aku harap dengan teguran aku tadi Mikail akan mengerti bahawa ayahnya ini amat menyayanginya sepenuh hati. Wallahua’lam.
#Boon
@Puaka Bersekutu
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI