Apabila negara diserang pandemik Covid-19 ramai yang tampil untuk membantu para petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan KKM yang memerlukan bantuan berupa pakaian perlindungan diri (PPE) dan juga kelengkapan lain bagi merawat pesakit-pesakit positif Covid.
Mempunyai latar belakang dalam bidang Seni Reka Fesyen, Shafeeqa Johari isteri kepada pelawak Atu Zero tampil membantu menjahit PPE untuk petugas barisan hadapan di beberapa buah hospital di Lembah Klang.
Shafeeqa memberitahu, dia tidak mengharapkan balasan, namun apabila ada pihak tampil mengucapkan terima kasih, hatinya cukup tersentuh.
“Saya sangat bersyukur dapat membantu menjahit PPE walaupun kita tidak tahu siapa yang memakainya. Mungkin orang yang kita tidak kenal atau kita kenal seperti keluarga kita.
“Paling seronok apabila saya diberitahu kenalan yang bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai penutup kepala yang saya jahit.
“Saya rasa dihargai, kadang-kadang rasa macam hendak menangis. Kalau boleh, saya mahu tolong semua, hendak bantu satu Malaysia.
“Tapi saya tiada kilang, cuma boleh bantu apa yang mampu sahaja,” katanya ketika ditemubual oleh sebuah akhbar.
Kurang mampu menghulur wang yang banyak, Atu dan Shafeeqa, berganding bahu menghasilkan PPE untuk dipakai petugas barisan hadapan.
Shafeeqa berkata, dia terpanggil menghulurkan bantuan selepas membaca status dimuat naik seorang jururawat di Facebook (FB) meminta bantuan menjahit penutup kepala dan kasut.
“Saya mendapat tahu Hospital Shah Alam (HSA) memerlukan tukang jahit. Apabila saya memuat naik status di Instagram (IG), kebetulan ada kenalan yang kenal jururawat terbabit lalu menghubunginya.
“Dari situ, saya mula menjahit apabila menerima fabrik dari hospital. Kami tidak boleh keluar membeli kain.
“Saya duduk di rumah pun tidak buat apa-apa selain menjaga anak. Dengan waktu terluang ini, lebih baik saya buat perkara bermanfaat. Kalau hendak tolong daripada segi wang, kami kurang mampu. Jadi kami sumbangkan tenaga,” katanya yang dibantu Atu dan adik iparnya.
Mampu siapkan 50 helai PPE sehari
Shafeeqa berkata, dia hanya mampu menyiapkan 50 helai PPE sehari, berbanding 200 helai yang diperlukan HSA.
Namun, projek yang diusahakan lebih lancar apabila Shafeeqa dihubungi Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
“Memandangkan saya adalah bekas pelajar jabatan itu, mereka hubungi saya untuk membantu. Dengan kebenaran HSA, mereka dapat menggunakan bengkel dan kelengkapan di UiTM Shah Alam bagi menghasilkan PPE.
“Sekarang kami ada 10 gulung fabrik untuk dijahit dan diagihkan kepada HSA, Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.
“Sebanyak 32 gulung fabrik lagi akan dijahit untuk kegunaan Hospital UiTM Sungai Buloh,” katanya yang terpaksa menolak permintaan beberapa hospital di negeri lain atas faktor lokasi.
Semoga usaha yang dilakukan oleh Atu Zero dan isterinya ini dapat membantu melancarkan tugas para barisan hadapan yang tidak pernah kenal erti lelah. Dan semoga lebih ramai lagi yang tampil untuk membantu menjayakan apa yang diusahakan oleh mereka berdua.
Sumber: Bharian & Shafeeqajohari
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI