Walaupun Bayi Dah Mula Makan Makanan Pejal, Susu Ibu Tetap Perlu Diberi

Share

Apabila bayi membesar dan mula diperkenalkan makanan pejal pada umur enam bulan, penghasilan susu ibu akan berpadanan dengan permintaan/pengambilan bayi ketika itu.

Keperluan bayi untuk nutrisi pada peringkat umur ini boleh dilengkapkan dengan pemakanan keluarga. Ini merupakan proses semula jadi. Apabila bayi mengambil lebih makanan maka tidak hairanlah sekiranya permintaan untuk susu juga mungkin berkurangan. Ini secara langsung akan mempengaruhi penghasilan susu juga.

Kajian terkini menunjukkan pengambilan susu ibu tidak berubah mengikut umur atau berat badan bayi antara usia satu hingga enam bulan. Selepas enam bulan, pengambilan susu ibu akan berterusan pada amaun yang sama. Bergantung kepada pengambilan makanan pejal, bayi akan secara beransur-ansur kurang menyusu susu ibu.

Kadang kala, di antara enam bulan dan satu tahun (memandangkan makanan pejal diperkenalkan dan perlahan-lahan meningkat) pengambilan susu oleh bayi akan mula menurun tetapi susu ibu seharusnya terus diberi kerana ia membekalkan majoriti zat pemakanan bayi sepanjang tahun pertamanya. Oleh sebab terdapat perubahan besar dalam amaun makanan pejal yang diambil bayi sepanjang enam bulan kedua, amaun susu ibu yang diambil juga akan berbeza-beza.

Satu kajian mendapati purata pengambilan susu ibu seseorang bayi adalah 30oz sehari (875ml/hari; 93% pengambilan keseluruhan) pada usia tujuh  bulan dan 19oz (550ml/sehari; 50% jumlah pengambilan tenaga) di usia 11 hingga 16 bulan.

Beberapa kajian yang mengukur pengambilan susu ibu di kalangan bayi antara 12 bulan dan 24 bulan pula mendapati amaun tipikal ialah 14oz hingga 19oz sehari (400ml hingga 550ml sehari). Kajian tersebut melihat pengambilan susu ibu antara 24 bulan dan 36 bulan pula mendapati amaun tipikal ialah 10oz hingga 12oz sehari (300ml hingga 360ml sehari).

Perlu diingat bahawa amaun susu ibu yang bayi ambil pada waktu tertentu akan berbeza sama seperti amaun makanan dan minuman yang diambil oleh orang dewasa sepanjang hari. Ketahuilah, bayi mungkin tidak minum amaun yang sama di setiap sesi penyusuan. Jadi, perhatikan petunjuk bayi (cues) berbanding hanya menggalakkan dia menghabiskan susu ibu perahan.

Jika bayi ketara mengambil lebih daripada purata amaun, pertimbangkan kemungkinan bayi diberi terlalu banyak susu ibu perahan (over feeding) sepanjang dia tidak berada bersama anda. Sebagai contoh, cara pemberian susu perahan dengan menggunakan botol yang salah atau puting yang alirannya terlalu laju boleh menyebabkan masalah over feeding.

Jika susu ibu perahan berlebihan, anda bolehlah mencampurkannya ke dalam bubur nasi atau makanan yang diberikan kepadanya. Bagi mengatasi masalah bengkak payudara pula, anda bolehlah memerah susu sekadar untuk melegakan bengkak payudara sahaja.

Published by
Intan Jastina