Kehamilan

Walaupun Dah Sarat Mengandung, Masih Boleh Buat Perjalanan Jauh. Tip Ni Kena Praktikkan

Share

Ada segelintir ibu hamil yang bimbang untuk melalui perjalanan jauh dari satu destinasi ke satu destinasi. Lebih-lebih lagi golongan yang sedang sarat. Untuk makluman anda, wanita hamil boleh melakukan perjalanan yang jauh terutamanya dengan menaiki kenderaan darat. Namun begitu, ia perlu dirancang sebaik-baiknya supaya berjalan lancar dan dapat memberikan keselesaan kepada diri dan kandungan.

Hal yang sama telah dilalui oleh Datin Seri Shahida isteri kepada ahli perniagaan Dato’ Seri Aliff Syukri. Syukur, perjalanan jauh yang dilaluinya seisi keluarga dari Lembah Klang ke Kedah selamat dan dipermudahkan.

Kredit IG shahidadherbs

Sala satu langkah penting yang perlu dilakukan terlebih dahulu ialah meminta nasihat doktor yang memeriksa kehamilan anda. Tanya beliau sama ada perjalanan jauh yang anda mahu jalani sesuai dengan keadaan diri dan tahap kesihatan anda dan kandungan.

Jangan lupa untuk sentiasa membawa bersama dokumen atau rekod pemeriksaan kehamilan anda. Jika mendapatkan pemeriksaan di klinik kerajaan, rekod itu dikenali sebagai ‘buku merah’. Hal ini penting kerana ia dapat memudahkan doktor di tempat lain melakukan permeriksaan susulan jika wujud masalah ketika anda berada di dalam perjalanan.

Pastikan juga anda mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Apa yang lebih penting, suami yang bakal memandu kenderaan pun sudah berehat secukupnya dan berada dalam keadaan yang cergas agar tidak mudah mengantuk dan keletihan ketika dalam perjalanan.

Anda perlu memilih untuk memakai pakaian dan kasut yang selesa. Sama juga halnya dengan membawa bekalan makanan dan minuman. Adalah dinasihatkan anda mengelakkan diri daripada mengambil minuman bergas. Dalam pada itu, minum air secukupnya ketika dalam perjalanan. Jangan khuatir tentang perlu kerap ke tandas. Apa yang penting, anda sentiasa terhidrat.

Apabila duduk untuk tenpoh masa yang agak lama, letakkan bantal kecil di belakang badan dan cuba lunjurkan kaki. Cara sebegini boleh mengurangkan risiko kaki anda menjadi bengkak selain daripada membantu memperbaiki peredaran darah dalam tubuh. Posisi ini penting terutamanya bagi anda yang mengalami varicose veins dan bengkak di bahagian kaki. Antara lain, sentiasa gerakkan kaki dengan melakukan senaman regangan ringkas sekerap mungkin untuk memperbaiki peredaran darah.

Kredit IG shahidadherbs

Jika melakukan perjalanan dengan kenderaan darat, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Paling tidak pun, usahakan untuk ia diservis terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

Perjalanan hendaklah dirancang dan usaha tergesa-gesa untuk tiba segera di sesuatu destinasi. Anda perlu meminta suami untuk berhenti pada bila-bila masa yang diperlukan untuk meregangkan badan dan memperbaiki peredaran darah. Dalam masa yang sama, langkah ini juga dapat membantu suami untuk berehat sementara sambil meregangkan badan.

Ketika di dalam kereta, pastikan memakai tali keledar. Langkah ini penting untuk menyelamatkan nyawa sekiranya terlibat dalam kemalangan. Jangan risau mengenai tanggapan bayi dalam kandung terhimpit. Bayi berada dalam kantung ketuban yang dipenuh air ketuban di sekelilingnya. Air itu memberi perlindungan kepadanya. Malah, tidak ada bukti yang menunjukkan tali pinggang keledar boleh meningkatkan risiko kecederaan kepada bayi. Sehubungan itu, pakai tali pinggang keledar dengan meletakkan tali di bahagian bawah perut. Tali di bahagian dada pula diletakkan di antara kedua-dua payu dara.

Jika menaiki kapal terbang, anda mungkin memerlukan surat daripada doktor menyatakan bahawa diri dan kandungan sihat dan sesuai untuk perjalanan itu. Untuk menyenangkan kedudukan dan pergerakan, dinasihatkan anda meminta tempat duduk yang berdekatan dengan laluan dan bukan di tepi tingkap.

Published by
Intan Jastina