Nama Intan Liana, 33, tiba-tiba menjadi popular. Ibu anak dua ini sendiri tak menduga hidupnya berubah 360 darjah.
Bukan mudah menggalas tanggungjawab bergelar ibu tunggal kepada dua orang anak yang masih kecil. Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1 mungkin tidak faham lagi apa yang berlaku ke atas ibu mereka.
Namun kedua nyawa itulah menjadi kekuatan Intan mengharungi segala susah senang hidup bersendirian selain keluarga yang tak pernah putus memberi bantuan dan sokongan.
Kadangkala bila mengenang kembali apa yang terjadi ke atas diri sendiri, hatinya boleh jadi rapuh dan mudah menangis.
Menerima pelbagai tawaran sebagai model muslimah untuk koleksi tudung dan pakaian beberapa jenama terkenal seperti Datuk Seri Aliff Syukri dan pakaian raya jenama AshhAnnas membuatkan ibu muda ini perlu membawa bersama anak-anaknya ke lokasi shooting atau kerja.
Oleh kerana sebelum ini dia adalah suri rumah tangga sepenuh masa yang menguruskan anak-anak maka apabila terpaksa bekerja semula, Intan akan bawa anak-anak bersama apatah lagi si kecil masih lagi menyusu badan.
Bagaimanapun Intan bersyukur kerana kakaknya setia menemaninya setiap kali dia ada tugas shooting atau menghadiri sebarang acara. Kakaknya yang akan menguruskan anak-anak Intan semasa dia sibuk menjalankan tugasnya.
Syukur Dengan Rezeki Hari Ini
Siapa sangka kebahagiaan rumah tangga hanya dapat dikecapi 5 tahun sahaja. Walaupun melalui ujian yang amat berat, Intan reda dan bersyukur kerana banyak hikmah yang diperoleh selepas peristiwa pahit diceraikan suami.
Selain ahli keluarga, sokongan daripada para netizen yang tak jemu memberi sokongan dan kata-kata semangat turut memberi kekuatan kepadanya untuk bekerja dengan lebih kuat demi anak-anak tersayang.
Ade benda yg nak dishare tapi jadi salah. Baiklah diam. Rezeki sekarang rezeki begini. Akan datang kita tak tahu. Jalan cerita bukan yang kita minta. Yang pasti hidup mesti diteruskan dan cuba untuk melangkah. InsyaAllah akan terus berusaha. Tq!! Bonda sayang nyawa bonda. Arish Muqri Ariq Muqri
Bukan mudah hendak memuaskan hati semua orang, Intan yang melalui dugaan perceraian turut tidak menduga pintu rezekinya terbuka luas selepas diuji.
Dia bersyukur dengan rezeki yang diterimanya hari ini dan percaya semuanya atas izin Allah. Di masa akan datang dia sendiri tak tahu bagaimana pula rezekinya.
Jadi buat masa sekarang Intan ingin terus kuat melangkah dan berusaha mencari duit untuk diri sendiri dan anak-anaknya.
Sumber: Instagram iiiintan.saleh & Hijabista