Wan Khair Amir Pilihan Mira & Suami. Ambil Berkat Hari Ke-7 Tahnik & Bercukur

Share

Mengambil berkat tujuh hari kelahiran, pelakon Mira Filzah dan suami Wan Emir Astar mengumumkan nama anak lelaki mereka itu kepada orang ramai. Menerusi Instagram, pasangan ini berkongsi nama penuh anak mereka iaitu Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.

“Hari ini hari ketujuh bersama putera tersayang kami, dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran kami menamakan putera kami Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.

“Khair membawa makna ‘baik, elok’, juga diambil daripada nama arwah papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar).

“Amir pula bermaksud ‘orang yang memegang perintah, pemimpin’, juga diambil sebagai variasi daripada nama kami berdua Emir dan Amirah,” kongsi pasangan ini.

Dalam perkongsian tersebut, Mira dan suami turut berkongsi foto Wan Khair Amir daripada pandangan sisi dan menyertakan akaun Instagram bayi berkenaan.

Pelakon dan pengacara popular itu selamat melahirkan anak pertamanya di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, pukul 3.40 pagi pada 10 Mei lalu bersamaan 9 Syawal.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri ini juga turut melakukan ibadah tahnik dan bercukur untuk anak sulung mereka itu.

“Alhamdulillah, ibadah tahnik dan bercukur juga selamat dilaksanakan, jazakkallahu khairan buat Ustaz Don Daniyal kerana meluangkan masa untuk bersama kami dalam majlis keluarga ini.

“Moga sunnah Rasulullah SAW terus hidup dan mekar dalam setiap langkah kehidupanmu wahai putera kami.

“Ya Rabb, kami akan usaha, mengharap dan bertawakkal kepada-Mu, agar dipimpin setiap langkah Wan Khair Amir dalam menempuh kehidupan di bumi-Mu ini, membesar sebagai anak yang baik dan soleh dan menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Mira dan anaknya berkongsi tarikh lahir sama mengikut kalender Islam. Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga dengan anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu pada 3 September 2020.

Kredit: IG Wan Emir Astar & Mira Filzah

Ketahui fungsi carseat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Published by
Wan Amy