Wanita 36 tahun nekad duduki SPM, kejar impian bergelar doktor. Demi merealisasikan impiannya dalam bidang perubatan, seorang usahawan berusia 36 tahun, Rusni Shafiya Ruslan, bertekad untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Wanita 36 Tahun Nekad Duduki SPM, Kejar Impian Bergelar Doktor
Rusni memilih untuk mengambil tiga subjek aliran Sains Tulen iaitu Biologi, Fizik, dan Kimia, sebagai langkah awal mengejar hasratnya untuk berkhidmat sebagai seorang doktor.
Menurutnya, meskipun usianya semakin menghampiri angka 40, sokongan padu daripada ahli keluarga serta rakan-rakan sekeliling menjadi sumber motivasi utama untuk terus mengejar cita-cita.
“Mak saya sempat tergelak kecil apabila saya maklumkan ingin menduduki semula SPM. Namun, adik saya, Dr Nur Hanisa Ruslan yang merupakan seorang pakar bedah, banyak menyuntik inspirasi dan memberikan dorongan.
“Ramai kenalan saya bekerja dalam bidang perubatan. Mendengar pengalaman mereka tentang dunia hospital menambahkan lagi minat saya untuk mendalami bidang ini,” katanya.
Ads
Rusni yang berasal dari Kluang, Johor berkata, minat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan sudah tersemat dalam dirinya sejak kecil. Bagaimanapun, atas faktor kewangan dan tanggungjawab keluarga, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan.
“Tahun ini, saya nekad untuk memberi peluang kepada diri sendiri. Fokus utama saya kini adalah untuk menduduki semula subjek-subjek teras seperti Biologi, Fizik dan Kimia.
“Selepas itu, saya bercadang untuk menyambung ke peringkat asasi universiti. Saya lebih memilih program asasi kerana lebih bersifat intensif dan lebih dekat dengan suasana pembelajaran di universiti, berbanding STPM,” jelasnya.
Ads
Rusni menjangkakan, sekiranya segala perancangan berjalan lancar, beliau boleh menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dalam tempoh sekitar enam tahun.
Ketika ditanya tentang bidang kepakaran yang diminatinya, Rusni berkata beliau masih belum membuat keputusan muktamad, namun menunjukkan kecenderungan terhadap bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G) serta Pediatrik.
“Saya terbuka untuk menerokai bidang-bidang lain sepanjang proses pembelajaran nanti. Saya yakin, dengan usaha dan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan, impian ini dapat direalisasikan. Insya-ALLAH,” katanya penuh semangat.
Bersalin anak lelaki lebih sakit berbanding anak perempuan: mitos atau realiti? Kehamilan dan proses bersalin merupakan pengalaman yang unik bagi setiap ibu. Setiap kelahiran membawa cabaran dan kesakitan tersendiri, sama ada untuk anak lelaki mahupun perempuan.
Namun, terdapat pendapat umum yang menyatakan bahawa bersalin anak lelaki adalah lebih sakit berbanding bersalin anak perempuan. Adakah ini satu fakta berdasarkan kajian perubatan atau sekadar mitos yang tersebar luas?
Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kesakitan Bersalin
Proses bersalin adalah pengalaman yang sangat berbeza untuk setiap wanita, dan banyak faktor yang mempengaruhi tahap kesakitan yang dirasai, antaranya:
Saiz Bayi dan Posisi Dalam Rahim
Saiz bayi yang lebih besar boleh mempengaruhi kesakitan semasa bersalin. Bayi lelaki biasanya mempunyai purata berat badan yang sedikit lebih tinggi berbanding bayi perempuan, dan ini boleh menyebabkan proses bersalin lebih sukar. Namun, saiz bayi bergantung kepada genetik dan faktor lain yang tidak semestinya berkaitan dengan jantina semata-mata.
Posisi Bayi Semasa Bersalin
Kedudukan bayi dalam rahim juga memainkan peranan penting dalam menentukan kesukaran proses bersalin. Bayi yang berada dalam posisi tidak normal seperti posisi sungsang akan menyebabkan kesakitan yang lebih, tidak kira jantinanya. Ini menunjukkan bahawa posisi adalah faktor penting dan boleh mempengaruhi kesakitan yang dirasai oleh ibu.
Kekuatan Kontraksi dan Respons Tubuh Ibu
Sesetengah ibu mengalami kontraksi yang lebih kuat atau lebih kerap, yang boleh meningkatkan kesakitan semasa proses bersalin. Selain itu, ketahanan tubuh setiap ibu terhadap kesakitan juga berbeza-beza. Respons tubuh terhadap hormon seperti oksitosin juga mempengaruhi tahap kesakitan.
Pengaruh Faktor Emosi dan Mental
Tekanan emosi dan mental memainkan peranan penting dalam persepsi kesakitan. Ibu yang lebih tenang dan bersedia secara mental cenderung mengalami pengalaman bersalin yang lebih terkawal. Ini termasuklah keyakinan bahawa bersalin adalah proses semula jadi yang tidak perlu ditakuti.
Apakah Kata Kajian Perubatan?
Secara amnya, tiada kajian saintifik yang mengesahkan bahawa bersalin anak lelaki lebih sakit berbanding anak perempuan. Penyelidikan menunjukkan bahawa tahap kesakitan lebih bergantung kepada faktor fizikal dan hormon, berbanding jantina bayi itu sendiri.
Namun, beberapa kajian mendapati bahawa kelahiran anak lelaki kadang-kadang dikaitkan dengan keperluan yang lebih tinggi untuk intervensi perubatan seperti pembedahan caesarean. Ini mungkin disebabkan oleh berat badan bayi lelaki yang sedikit lebih tinggi, tetapi ia tidak secara langsung membuktikan bahawa kelahiran anak lelaki lebih sakit.
Pandangan Ibu Berdasarkan Pengalaman
Ada ibu yang merasakan bahawa kelahiran anak lelaki lebih sakit, manakala ada juga yang berpendapat sebaliknya. Pengalaman bersalin anak lelaki atau perempuan boleh berbeza antara satu sama lain, tetapi ini lebih bersifat subjektif. Setiap kehamilan adalah unik dan dipengaruhi oleh banyak faktor selain jantina bayi.
Berikut antara beberapa kajian yang telah ditelah dibuat berkaitan tentang isu ini:
Jurnal Penyelidikan Pediatrik telah menerbitkan artikel, berdasarkan kajian yang dijalankan di San Cecilio Clinical Hospital of Granada dan kumpulan penyelidikan dari University of Granada (UGR). Kajian itu diketuai oleh Javier Diaz Castro dan Julio Ochoa Herrera, selain mendapat kerjasama dari Jabatan Fisiologi di universiti tersebut.
Kajian tersebut melibatkan 56 ibu hamil yang sihat, dan daripada kehamilan itu telah melahirkan 27 bayi lelaki, manakala 29 adalah bayi perempuan.
Selepas proses bersalin, doktor mengkaji kerosakan pada tubuh ibu-ibu tersebut. Pengkaji mendapati bahawa biomolekul ibu yang telah melahirkan bayi perempuan menunjukkan kerosakan yang kurang dan mendedahkan bahawa kelahiran lelaki lebih menyakitkan.
Javier dan Julio merasakan analisis ini telah membuka satu bidang kajian yang menarik mengenai hubungan antara jantina bayi dan komplikasi yang boleh terjadi saat melahirkan. Ia turut memberi kesan terhadap daya tahan tubuh terhadap penyakit dan jangka hayat bayi.
Berdasarkan kajian tersebut, para penyelidik membuat kesimpulan bahawa jantina bayi boleh mempengaruhi proses bersalin. Pengkaji menerangkan sebab di sebalik perbezaan ini:
*Bayi perempuan mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk menangani tekanan – sistem enzim yang terdapat pada bayi perempuan lebih matang apabila bersedia untuk dilahirkan yang membantu dalam mencegah kerosakan sel.
*Tubuh bayi perempuan mempunyai antioksidan defensif yang lebih baik daripada tubuh bayi lelaki – membuatkan bayi perempuan memiliki risiko lebih rendah mengalami kerosakan membran sel dalam tubuh bayi.
Dari perspektif ibu hamil pula, kelebihan melahirkan bayi perempuan dapat mengurangkan risiko ibu mengalami inflamasi dan proses bersalin tidak terlalu sakit.
Dr. Petra Verburg dari Robinson Research Institute di University of Adelaide, Australia pula menyatakan, “jantina bayi mempunyai hubungan secara langsung dengan komplikasi yang boleh terjadi ketika kehamilan.”
Ini antara komplikasi ibu sewaktu melahirkan bayi lelaki berdasarkan kajian tersebut:
*Bayi lelaki dilahirkan lebih awal daripada tarikh matang yang membuatkan banyak komplikasi pada bayi.
*Bayi lelaki lebih cenderung dilahirkan pramatang. Kelahiran berlaku antara minggu ke-20 dan ke-24 kehamilan sebanyak 27% lebih tinggi. Manakala, kelahiran pada minggu kehamilan iaitu ke-30 dan ke-33 sebanyak 24%. Selain itu, dilahirkan antara minggu ke-34 dan ke-36 adalah 17% lebih tinggi.
*Ibu hamil yang mengandungkan bayi lelaki lebih terdedah kepada diabetes, praeklampsia dan tekanan darah tinggi ketika hamil.
Realiti atau Mitos?
Berdasarkan pandangan perubatan, kesakitan bersalin tidak ditentukan oleh jantina bayi. Ia lebih dipengaruhi oleh faktor seperti saiz bayi, posisi, ketahanan tubuh ibu, dan faktor-faktor lain yang lebih berkaitan dengan ciri fizikal dan kesihatan ibu serta bayi. Oleh itu, persepsi bahawa bersalin anak lelaki lebih sakit mungkin hanya sekadar mitos yang diwarisi dari pengalaman atau pandangan individu.
Akhir kata, proses bersalin adalah satu pengalaman yang sangat peribadi dan unik. Setiap ibu akan melalui cabaran yang berbeza-beza, dan yang paling penting adalah sokongan dan pemahaman dari orang-orang di sekeliling agar proses kelahiran berjalan dengan baik.
Intan Ladyana sebak, anak sulung masuk sekolah,”Anak Mommy dah ready, Mommy yang tak ready.” Ramai ibu-ibu bila mana anak sulung mula sekolah, selalunya akan mengalirkan air mata.
Ini tidak terkecuali dengan pelakon dan pengacara Intan Ladyana. Ketika menghantar anak sulungnya, Evie Khadeeja yang kini berusia tiga tahun menghadiri hari pertama sesi persekolahan tadika, Intan tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir laju.
Melalui entri di laman Instagram Story, Intan berkongsi momen anak pertamanya itu sudah bersedia untuk ke sekolah.
Kelihatan Evie comel dengan pakaian seragam sekolahnya. Paling mencuri perhatian warga maya ialah situasi di mana Intan sebak dan menitiskan air mata ketika menghantar Evie ke sekolah.
Tidak hanya Intan, Haris juga turut berkongsi momen anak sulungnya memasuki alam persekolahan.
“Drama di pagi hari. First day Evie pergi school. Dia smile tapi mommy dia pula tak smile,” tulis Haris di ruangan kapsyen.
Untuk info, Intan mendirikan rumah tangga dengan pengacara, Harris Alif pada 5 Februari 2021. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Evie Khadeeja dan Harris Umayr yang kini berusia lapan bulan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkukuh institusi keluarga di Malaysia melalui pelancaran Pakej KASIH MADANI 2.0. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail bersempena dengan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025. Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam membina keluarga bahagia dan berdaya tahan seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, cabaran sosial yang semakin kompleks menuntut pengukuhan peranan keluarga sebagai asas kepada keharmonian masyarakat. “Apabila keluarga kuat, masyarakat akan stabil, dan negara akan makmur,” tegas beliau.
Komitmen Kerajaan MADANI ke Arah Keluarga Sejahtera
Selaras dengan matlamat kerajaan membina masyarakat inklusif dan berdaya tahan, sebanyak RM4.1 bilion telah diperuntukkan kepada KPWKM melalui Belanjawan 2026. Peruntukan ini merangkumi pelbagai program berimpak tinggi seperti Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), pendidikan keibubapaan, serta Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang menekankan keseimbangan peranan dan sahsiah keluarga.
Pakej KASIH MADANI 2.0: Dua Modul, Satu Matlamat
Dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama pakar akademik dan NGO, pakej ini menampilkan dua modul utama iaitu Modul Romantika Cinta dan Modul Kebapaan.
Modul Romantika Cinta memberi tumpuan kepada pasangan yang baru berkahwin melalui latihan komunikasi, pengurusan konflik serta penghayatan nilai kasih sayang dalam perkahwinan. Sementara itu, Modul Kebapaan pula memperkukuh peranan bapa sebagai pelindung dan peneraju keluarga, sejajar dengan tanggungjawab membimbing serta memberi teladan kepada anak-anak.
Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah menjelaskan bahawa pembangunan modul ini dirangka dengan pendekatan holistik yang sesuai dengan realiti keluarga masa kini.
“Kita mahu setiap pasangan dan bapa memahami bahawa kasih sayang bukan hanya tentang emosi, tetapi tentang tanggungjawab, komunikasi, dan kesediaan untuk mendengar. Keluarga yang saling memahami akan melahirkan masyarakat yang lebih harmoni,” ujar beliau.
November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK): Tradisi Unik Malaysia
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meraikan Bulan Keluarga Kebangsaan sepanjang bulan November, satu inisiatif yang diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2012. Tahun ini, sambutan NBKK 2025 diadakan pada 8 dan 9 November di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya, selepas majlis Kick-Off di Santubong, Sarawak pada Oktober lalu.
Objektif utamanya ialah mengarusperdana nilai kekeluargaan sebagai asas pembinaan masyarakat MADANI serta menggalakkan penglibatan menyeluruh melalui pendekatan Whole of Nation.
Penghayatan Nilai K.A.S.I.H dalam Kehidupan Berkeluarga
Tema tahun ini, “KASIH Keluarga, Bahagia Bersama”, mengajak masyarakat menghayati nilai K.A.S.I.H yang terdiri daripada Kasih sayang, Akhlak mulia, Sihat dan selamat, Ilmu, serta Harmoni.
Nilai-nilai ini menjadi teras pembentukan keluarga sejahtera: kasih sayang yang mengukuhkan komunikasi, akhlak mulia yang membentuk peribadi terpuji, kesihatan yang menjamin kesejahteraan, ilmu yang memperkasa daya saing keluarga, dan harmoni yang mewujudkan keamanan dalam masyarakat.
Menjana Kesejahteraan Negara Melalui Keluarga Bahagia
Melalui pelbagai program dan aktiviti ini, sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan bukan sekadar meraikan kasih sayang dalam keluarga, tetapi juga memperkukuh kesedaran bahawa kesejahteraan negara bermula dari rumah. Menurut Ketua Pengarah LPPKN iaitu Dato’ Abdul Shukur Abdullah,
“Keluarga bukan hanya tempat kita dilahirkan, tetapi tempat nilai-nilai kemanusiaan disemai. Jika setiap keluarga bahagia, Malaysia juga akan bahagia.”
Tambah beliau lagi, pelaksanaan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi satu usaha strategik negara untuk memperkukuh dasar kekeluargaan secara menyeluruh.
“BKK diwujudkan sebagai satu platform untuk mengarusperdana dasar penerapan nilai kekeluargaan dalam masyarakat. Ia bukan sekadar kempen semata-mata, tetapi satu gerakan nasional untuk memperkasa keluarga sebagai teras pembinaan masyarakat MADANI,” jelas beliau.
Sambutan ini turut menggalakkan penglibatan pelbagai pihak melalui pendekatan Whole of Nation, melibatkan sektor kerajaan, swasta, komuniti, serta NGO bagi menjayakan aktiviti kesejahteraan keluarga di seluruh negara.
“Kita mahu setiap rakyat merasakan bahawa pembangunan keluarga adalah tanggungjawab bersama. Apabila nilai KASIH diterapkan di rumah, ia akan menjalar hingga ke peringkat komuniti dan seterusnya membentuk masyarakat yang saling menghormati, berakhlak dan harmoni,” ujar Dato’ Abdul Shukur.
Signifikan Tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’
Mengulas tentang tema sambutan tahun ini, Dato’ Abdul Shukur menjelaskan bahawa ia membawa makna yang cukup mendalam dan relevan dengan cabaran sosial masa kini.
“Tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’ menuntut kita untuk kembali kepada asas iaitu kasih sayang dan saling menghargai. Nilai K.A.S.I.H yang diangkat bukan sekadar slogan, tetapi panduan hidup keluarga moden yang sering diuji oleh tekanan ekonomi, masa dan teknologi.”
Beliau turut menghuraikan bahawa lima elemen dalam akronim K.A.S.I.H iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat, Ilmu dan Harmoni merupakan nilai asas dalam membina keluarga seimbang.
“Apabila kasih sayang menjadi asas, akhlak mulia menjadi panduan, kesihatan dijaga, ilmu terus dipupuk dan keharmonian dipelihara, maka barulah terbentuk keluarga yang bahagia dan berfungsi. Inilah nilai yang ingin kita hidupkan kembali dalam setiap rumah tangga,” tambah beliau lagi.
Tahap Kesejahteraan Keluarga di Malaysia
Menyentuh tentang tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia, Dato’ Abdul Shukur berkata bahawa secara umum, keluarga di negara ini menunjukkan tahap ketahanan sosial yang baik, namun masih terdapat keperluan untuk memperkukuh aspek komunikasi dan keseimbangan peranan ahli keluarga.
“Kajian LPPKN menunjukkan ramai ibu bapa kini semakin sedar tentang kepentingan komunikasi dua hala dengan anak-anak, tetapi masih wujud jurang dalam mengurus tekanan emosi dan tanggungjawab domestik. Di sinilah peranan pendidikan keibubapaan dan modul seperti Romantika Cinta dan Kebapaan amat penting,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kesejahteraan keluarga bukan hanya diukur dari segi ekonomi, tetapi juga daripada kestabilan emosi, kesihatan mental, dan kemampuan keluarga menangani konflik dengan matang.
“Keluarga yang bahagia bukan bermakna tiada masalah. Tetapi keluarga yang sejahtera ialah mereka yang mampu berdepan masalah dengan penuh kasih dan tolak ansur,” jelas beliau dengan nada penuh makna.
Program Sempena November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025
Berbicara tentang program tahun ini, Dato’ Abdul Shukur menzahirkan rasa teruja dengan sambutan masyarakat terhadap pelbagai aktiviti interaktif yang dirancang.
“Tahun ini kita bawakan konsep Ekspo K.A.S.I.H, iaitu gabungan pameran dan aktiviti yang mengetengahkan elemen pendidikan kekeluargaan, gaya hidup sihat, dan kesedaran keselamatan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi ruang pembelajaran santai untuk seisi keluarga,” ujarnya.
Antara tarikan utama termasuk KASIH Family Fun Run yang dijangka menarik penyertaan lebih 3,000 peserta, Bazaria Keluarga dengan jualan Rahmah dan Agro MADANI, serta pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti Petting Zoo, Santai Karom, dan Malam KASIH Keluarga.
“Kita mahu setiap pengunjung pulang dengan bukan hanya kenangan indah, tetapi juga ilmu dan inspirasi untuk menjadi ibu, ayah, anak atau pasangan yang lebih baik. Inilah matlamat sebenar sambutan ini untuk menjadikan nilai kekeluargaan sesuatu yang hidup, bukan sekadar disebut,” ujar beliau mengakhiri perbualan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!