Berat badan memainkan peranan penting dalam kehamilan. Obesiti atau kegemukan akan mengundang pelbagai risiko yang tidak baik kepada diri dan kandungan. Dr Sharina Mohd Razali, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Columbia Asia Bukit Rimau memberikan penerangan berkenaan perkara ini.
Wanita obes yang merancang untuk hamil boleh berjumpa pakar sakit puan atau primary care physician untuk mendapatkan nasihat yang tepat berkenaan berat badan optimum dan cara hidup sihat yang perlu diamalkan. Kajian di Sweden mendapati penurunan berat badan sekurangnya 4.5kg boleh menurunkan risiko mendapat kencing manis semasa hamil sebanyak 40% pada kandungan yang seterusnya.
Bacaan BMI
Berat optimum yang perlu dicapai adalah BMI yang normal (BMI 18 – 24.9). BMI adalah berat dibahagi dengan ketinggian kuasa dua. BMI yang lebih daripada 25 adalah dalam kategori berat badan berlebihan dan BMI lebih daripada 30 ke atas adalah obes. Dalam pada itu, terdapat tiga kategori obesiti iaitu Kelas 1 (BMI 30-34.9), Kelas 2 (BMI 35-39.9) dan Kelas 3 atau morbid obese (BMI lebih 40).
Selain mencapai berat badan optimum dan mengikuti saranan pakar, wanita obes yang ingin hamil juga perlu melakukan beberapa perkara sebelum kehamilan agar kesihatan diri dan kandungan berada di tahap yang optimum.
- Mengambil asid folik 5mg atau lebih setiap hari sekurang-kurangnya sebulan sebelum kehamilan dan diteruskan sehingga trimester pertama.
- Mengambil Vitamin D sekurang-kurangnya 10mcg sehari sepanjang kehamilan dan diteruskan sehingga selepas kelahiran bayi dan sepanjang tempoh penyusuan susu ibu.
- Menurunkan berat badan. Wanita disarankan menurunkan sekurang-kurangnya 5 – 7% dari berat asal untuk memastikan proses kehamilan yang sihat dan kurang berisiko.
Bahaya obesiti semasa hamil
Obesiti berbahaya kerana boleh mengundang pelbagai risiko buruk kepada si ibu dan bayi. Justeru ia perlu dicegah bagi mengelakkan berlakunya komplikasi.
Risiko kepada ibu
- Keguguran secara berulang (recurrent miscarriages)
- Diabetes semasa mengandung (gestational diabetes)
- Praeklampsia iaitu tekanan darah tinggi semasa hamil yang merbahaya dan boleh mengakibatkan sawan, strok dan kegagalan organ-organ lain.
- Venous thromboembolism iaitu darah beku pada salur darah yang boleh mengakibatkan kegagalan fungsi pernafasan dan membawa maut.
- Kelahiran secara induksi.
- Kelahiran secara pembedahan caesarean.
- Komplikasi bius.
- Jangkitan pada luka pembedahan caesarean atau episiotomi.
- Kesukaran memulakan penyusuan susu ibu.
Risiko kepada bayi
- Stillbirth tau bayi meninggal dalam kandungan.
- Kecacatan kongenital seperti spina bifida dan jantung berlubang.
- Kelahiran secara pramatang.
- Macrosomia iaitu bayi bersaiz besar.
- Kematian neonatal.
- Risiko bayi menjadi kanak-kanak obes dan mendapat penyakit metabolik.
Rintangan insulin
Kegemukan yang dialami oleh wanita bukan sahaja disebabkan oleh pengambilan diet yang tidak seimbang, malah ia juga disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon seperti Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) yang menyebabkan rintangan terhadap insulin. Wanita hamil yang obes akibat faktor hormon ini perlu disaring dan dipantau bagi penyakit kencing manis semasa hamil (gestational diabetes), praeklampsia dan perlu menjalani pemeriksaan antenatal dengan pakar sakit puan. Doktor yang memantau akan memberikan preskripsi metformin bagi mengurangkan risiko keguguran yang berulang (recurrent miscarriage); iaitu salah satu komplikasi kehamilan bagi wanita berlebihan berat badan.
Saranan berat badan;
Kenaikan berat semasa hamil yang ideal
Berat badan di bawah paras ideal: 12.7kg – 18kg
Berat badan ideal: 11.3kg – 16kg
Berlebihan berat badan: 6.8kg – 11.3kg
Obes (semua kelas): 5kg – 9kg
Senaman
Mengawal berat badan semasa hamil dengan bersenam amat disarankan. Biarpun begitu, anda perlu memastikan senaman yang dilakukan haruslah jenis yang selamat. Bagi yang jarang melakukan senaman, anda boleh memulakan dengan senaman ringan seperti berjalan (brisk walking).
Pada peringkat awal, senaman selama lima minit setiap hari sudah mencukupi tetapi haruslah konsisten dan dilakukan setiap hari. Tempoh senaman boleh ditambah lima minit lagi pada minggu yang berikutnya sehinggalah mencapai objektif untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari setiap hari.
Berenang juga merupakan contoh senaman yang baik untuk wanita mengandung kerana air boleh menampung berat badan wanita mengandung dan mengelakkan kecederaan pada otot dan sendi.
Tangani emotional eater
Perasaan lapar menyebabkan kita perlu makan. Namun, ada kalanya kita akan makan kerana perasaan bosan, tertekan, merasa sunyi, rasa kosong daripada segi kerohanian, ketakutan malah juga kegembiraan!
Pada trimester ketiga kehamilan, emosi ibu bercampur baur dengan rasa tidak bersedia untuk bersalin, penat melayan kerenah anak yang lebih tua atau bimbang dengan apa yang bakal dihadapi dengan kelahiran bayi. Jadi, tidak hairanlah para ibu makan lebih sehingga menyebabkan berat badan jadi berlebihan.
Apabila makan melebihi jumlah yang sepatutnya dan berat badan naik mendadak, ibu akan mula risau dan akan mula beremosi. Ini seterusnya membuatkan para ibu makan dengan lebih lagi dan kitaran ini akan berterusan (vicious cycle).
Bagi menghentikan masalah ini, ibu perlu mengenal pasti emosi manakah yang akan menyebabkan diri makan berlebihan.
- Catat log makanan dengan menyenaraikan apa yang dimakan serta perasaan anda pada sebelum dan selepas makan.
- Selepas seminggu kenal pasti emosi mana yang menyebabkan anda makan berlebihan dan catat .
- Setelah mengenal pasti emosi tersebut (contohnya makan berlebihan apabila suami balik lambat) cuba atasinya dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mengatasi emosi seperti bersenam, telefon ibu atau kawan untuk berbual, membuat Sudoku, membaca dan sebagainya.
Elak makan untuk dua orang
Wanita obes harus mengamalkan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang. Jangan mengamalkan sikap ‘makan untuk dua orang’ kerana perlu mengehadkan kenaikan berat badan semasa mengandung. Keperluan tambahan pada trimester kedua dan ketiga hanyalah sebanyak 300 kalori (secawan susu rendah lemak dan sekeping sandwic!). Jadi para ibu haruslah makan mengikut keperluan kalori dan memastikan makan makanan sihat yang rendah lemak dan gula.
Kajian memang telah mendapati wanita obes yang mengandung akan melahirkan kanak-kanak yang obes juga. Saiz bayi yang besar semasa lahir berkait rapat dengan
kecenderungan mendapat penyakit metabolik pada usia kanak-kanak. Kajian yang dijalankan dalam kalangan kanak-kanak obes juga mendapati kebanyakannya mempunyai ibu yang obes. Jadi, penyakit ini bolehlah dikatakan penyakit keturunan yang akan diwariskan kepada generasi akan datang.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI