Warna Kulit Bayi Lebih Gelap Masa Lahir Bersebab, Walaupun Asalnya Bayi Itu Putih

Share

Anda tidak boleh mengubah warna kulit bayi. Warna kulit bayi, sama ada cerah atau gelap, ditentukan oleh gennya pada saat dia disenyawakan. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memutihkan atau menggelapkan kulit bayi sebelum atau selepas lahir.

Apa yang boleh berubah untuk sementara atau yang mempengaruhi warna kulit, tona dan kompleksi mukanya ialah isu kesihatan dan alam sekitar. Apabila isu-isu tersebut telah selesai, warna kulit bayi anda kembali kepada asal.

-Kulit bayi mungkin nampak merah atau kemerahan kerana suhu yang tinggi.
-Dia mungkin nampak pucat kebiruan sedikit kerana sejuk terutamanya jika tangan dan kakinya terdedah.
-Sesetengah bayi bertukar jadi biru atau ungu jika terlalu kuat menangis. Walau bagaimanapun, jika warna kebiruan ini tidak hilang selepas berhenti menangis, atau jika bayi anda berwarna kebiruan di seluruh badannya dan tidak hilang selepas beberapa hari, ini mungkin tanda bahawa ada masalah pernafasan atau peredaran. Maklumkan kepada doktor anda dengan segera.
-Sesetengah bayi juga nampak lebih gelap beberapa hari selepas dilahirkan kerana mereka kehilangan air dan berat pada mulanya, dan ini boleh membuat kulit mereka kelihatan kusam. Walau bagaimanapun, kebanyakan bayi akan mendapat tona kulit yang sihat sebaik sahaja corak penyusuan sudah stabil dan mereka mendapat susu yang cukup.

Kulit bayi baru lahir berbeza rupa mengikut jumlah minggu kehamilan anda semasa bayi dilahirkan.

-Bayi pramatang mempunyai kulit yang nipis dan jernih, dan mungkin disaluti lapisan lanugo, bulu yang halus dan lembut. Mereka juga mungkin diselaputi verniks, satu bahan yang putih berminyak yang melindungkan kulit daripada cecair amnion.
-Bayi cukup bulan dan bayi lewat bulan dilahirkan dengan hanya sedikit verniks dalam kelipat-kelipat kulit mereka. Bayi dilahir lewat juga mempunyai kulit yang agak berkedut dan amat sedikit lanugo atau tiada langsung.

Kompleksi wajah bayi mungkin kelihatan berubah kerana bayi di kalangan kebanyakan kaum dan etnik dilahirkan dengan kulit yang agak cerah dan biasanya kemerahan. Warna kemerahan itu datang dari salur-salur darah yang jelas kelihatan melalui kulit bayi yang masih nipis. Kebanyakan ibu bapa menyangka warna kulit yang kemerahan ini ialah kompleksi bayi dan merungut apabila warnanya bertukar kepada tona kulit sebenar dalam beberapa minggu seterusnya hingga usia bayi setahun.

Dalam keluarga yang lebih tradisional, nenek dan makcik mungkin menasihati ibu baru untuk mengurut bayi mereka dengan susu mentah, krim segar, tepung gandum lengkap dan adunan kunyit untuk mendapatkan kulit yang putih dan licin. Amalan ini elok dielakkan sebab susu mentah mengandungi pelbagai bakteria seperti E coli dan salmonela, selain menyebabkan cirit-birit, dan disenteri. Krim segar juga boleh membuatkan kulit berminyak, yang boleh menyebabkan ruam. Juga, ciri kesat tepung gandum lengkap dan kunyit boleh menyebabkan calar lebam pada kulit bayi.

Ada ibu yang suka menyapukan banyak bedak di kulit bayi untuk membuat mereka putih. Ini perbuatan sia-sia. Sebenarnya, bedak boleh jadi berketul-ketul pada kulit basah dan menyebabkan kerengsaan dan ketidakselesaan.

Kadangkala bayi mendapat ruam kulit dan tanda lahir yang memerlukan pemeriksaan lanjut. Jika anda bimbang mengenainya, jumpalah doktor atau pakar kanak-kanak.

Sumber: Baby Center

Published by
NuFa