Selepas tiba di London pagi Sabtu lalu, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kini ditempatkan di dalam inkubator dengan wayar yang berselirat di sebuah hospital kanak-kanak.
Naluri sebagai bapa, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, terusik apabila mengenangkan keadaan Ainul Mardhiah ketika ini apabila mengenangkan bayinya pernah melalui situasi sama berada Unit NICU (wad penjagaan intensif untuk bayi) sewaktu baharu lahir.
“Ainul, hari ini Ainul duduk semula dalam inkubator, walid dengan mama sebak sangat. Teringat waktu Ainul baru lahir dahulu, begini lah keadaannya.
“Tubuh badan kamu penuh dengan wayar, bunyi mesin yang tidak pernah berhenti mengingatkan walid dan mama ketika kamu di NICU suatu ketika dahulu,” katanya menerusi status Facebook kira-kira jam 6 petang semalam.
Bagaimanapun, Ahmad Safiuddin dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, yakin Ainul Mardhiah kuat melalui ujian kerana dia anak yang kuat sesuai dengan namanya, yang bermaksud pejuang.
Dalam statusnya, sebelum ini, Ahmad Safiuddin memaklumkan perjalanan bayi perempuannya, terbang ke luar negara, berjaya diharungi tanpa sebarang masalah sejurus berlepas ke London, Jumaat lalu.
Katanya, Ainul Mardhiah selamat tiba di sana selain berjaya melepasi risiko menaiki penerbangan tanpa sebarang masalah.
Katanya, ia juga kerana dibantu doktor tempatan yang juga individu sukarela mengikuti misi itu, bagi memastikan keadaan Ainul baik sepanjang dalam perjalanan ke sana.
Bagaimanapun, katanya, ketika tiba di sana, bekalan oksigen Ainul Mardhiah agak terganggu namun pihak hospital kanak-kanak di sana menstabilkannya semula.
“Mungkin sebab Ainul mengembara jauh, jadi dia perlu belajar sesuaikan diri di sini,” katanya yang sentiasa mengemaskini keadaan Ainul di Facebooknya.
Ahmad Safiuddin berkata, dia akan melaporkan perkembangan bayinya menjalani pembedahan dan rawatan sepanjang berada di sana melalui laman sosial itu.
Sementara itu, pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri, melalui Instagram beliau memuat naik status bayi itu tiba di sana bersama ibu bapanya dengan ditemani sekumpulan pakar bius negara ini, semalam.
Dr Nur Amalina yang memuat naik gambarnya dengan ibu bapa bayi itu, turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia bersama-sama membantu memastikan Ainul Mardhiah selamat tiba serta dapat menjalani rawatan.
Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina bersama sekumpulan pakar di UK bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.
Sumber: Ahmad Safiuddin & BH Online