PUTRAJAYA: Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd Sufian diiktiraf sebagai nama terpanjang yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tahun lalu.
Nama terpanjang itu diumumkan Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi Jabatan Pendaftaran Negara 2018.
Mohammad Razin berkata bagi nama lelaki yang paling popular didaftarkan oleh JPN pula ialah Ismail iaitu sebanyak 72,157 orang dan diikuti oleh Abdullah (47,989).
“Nama wanita yang popular pula ialah Fatimah sebanyak 74,605 orang, diikuti Zainab (41,450) dan Azizah (34,114).
“Untuk makluman, di Malaysia hanya terdapat seorang pemilik nama Mohd Azis Jamman iaitu milik Timbalan Menteri Dalam Negeri,” katanya dalam ucapan.
Pada 2014, nama terpanjang yang pernah didaftarkan di Malaysia ialah Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam.
Difahamkan, nama terpanjang pada 2014 adalah antara maklumat menarik yang pernah dikendalikan JPN sejak beroperasi pada 1948.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohammad Razin berkata, sehingga 30 Jun lalu jumlah pemegang MyKad di seluruh negara adalah seramai 22,664,777 orang.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 19,322,409 pemegang sudah menukar MyKad struktur baharu, manakala 3,247,589 pemegang masih belum menukarnya.
“Sebanyak 81,250 pemegang masih memegang kad pengenalan bermutu tinggi (KPT) dan 13,525 masih memegang kad pengenalan pertama (KPP).
“Sehubungan itu, JPN meminta supaya pemegang MyKad yang masih belum menukar MyKad struktur baharu, pemegang KPT dan pemegang KPP untuk menukar kad pengenalan mereka di mana urusan ini boleh dilaksanakan di kaunter JPN seluruh negara,” katanya
Sumber: Berita Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI