Tiada yang paling menghibakan bagu seorang ibu apabila anak yang dilahirkan normal tidak lagi lincah. Dulu menjadi penghibur hati mama dan baba, kini Aqil terlantar koma.
Bagai terngiang-ngiang lagi suara si manja kesayangan memanggil mama atau baba. Tetapi tu semua tinggal kenangan. Yang tinggal hanyalah sekujur tubuh kecil terlantar kaku atas tilam sejak 17 bulan lalu.
PENDARAHAN DI KEPALA AKIBAT SAWAN
Kini sudah 15 bulan Muhammad Aqil Zikri Kamal Ariffin berusia 42 bulan ‘tidur’ selepas mengalami pendarahan di kepala kerana diserang sawan pada tahun lalu.
Tempurung kepala Muhammad Aqil terpaksa dibuang selepas menjalani pembedahan membuang darah beku kerana sudah tamat tempoh.
Ibunya, Nurul Azlin Abdul, 35, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu kini berada dalam keadaan koma dan hanya bergantung kepada susu yang disalurkan melalui tiub ke hidung.
BANYAK MASA DIHABISKAN DI HOSPITAL
Ibu ini turut berkongsi kesedihan semenjak Aqil sakit, masa mereka sekeluarga banyak dihabiskan di hospital hingga mengambil masa yang lama. Balik ke rumah, Aqil menghabiskan masanya di atas tilam.
“Keadaan Muhammad Aqil tidak berubah dan sesekali diserang sawan menyebabkan badannya kemerahan. Hati ibu mana tidak sedih melihat anak yang suatu ketika dahulu lincah tetapi kini menghabiskan masa ‘tidur’ atas tilam.
“Sejak Mac hingga Disember tahun lalu, episod kehidupan kami banyak dihabiskan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas dipindahkan dari Hospital Langkawi.
“Hinggalah Februari lalu, Muhammad Aqil dibenarkan pulang tetapi dia bukan lagi seperti kanak-kanak lain. Kepulangan dia kali ini dalam keadaan tidak sedarkan diri serta parut kesan pembedahan di kepala,” kata Azlin.
CORETAN HIBA IBU TULAR
Keadaan Muhammad Aqil menjadi tatapan umum selepas ibunya, Nurul Azlin memuat naik status dalam Facebook dengan coretan yang menghibakan.
Nurul Azlin mencoretkan:
“Sudah 1 Tahun 5 Bulan Adik Aqil ‘Tidur’, Hati Ibu Mana Yang Tidak Berkecai..
“Diari Mama Lyn. Ya Allah, Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah..Ya Allah, Dengarlah rintihan kami Ya Allah..
“Ya Allah, Kasihanilah kami Ya Allah..Kau bangunkanlah Adik Aqil Ya Allah..Kau bangunkanlah Adik Aqil Ya Allah..Kau bangunkanlah Adik Aqil Ya Allah..
“Kau kasihanilah Mama Lyn, Ya Allah.”
DISERANG SAWAN KETIKA DALAM JAGAAN PENGASUH
Menceritakan kejadian menimpa anaknya itu, Nurul Azlin berkata, Muhammad Aqil diserang sawan ketika dalam jagaan pengasuh tidak jauh dari rumahnya di Kuah, Langkawi.
“Waktu itu, dia berusia 26 bulan dan kami segera mengejarkannya ke hospital dan pemeriksaan mendapati terdapat darah beku dalam kepalanya dan memerlukannya menjalani pembedahan segera.
“Sebaik pembedahan selesai, keadaan Muhammad Aqil tidak berubah walaupun pernafasannya normal.
SUSU PERLU DIBERI SETIAP 4 JAM
Ibu ini turut bercerita tentang rutin harian penjagaan Aqil dan dia meletakkan jawatan semata-mata ingin menjaga permata hatinya itu. Katanya susu khas akan diberikan setiap empat jam sekali. Sesekali mata dibuka.
“Setiap empat jam, kami perlu sediakan susu khas yang dimasukkan melalui saluran tiub. Ada ketika dia membuka mata tapi tidak lama dan kembali pejam. Saya kemudiannya berhenti kerja kerana Muhammad Aqil memerlukan penjagaan rapi,” kata Nurrul.
GANTI TEMPURUNG KEPALA KOS RM10,000
“Saya pernah bertanya kepada doktor untuk menggantikan tempurung kepalanya tapi ia memerlukan kos sebanyak RM10,000 dan juga tiada jaminan dapat diberikan sama ada Muhammad Aqil boleh sedar atau kekal ‘tidur’.
“Jadi, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan niat itu, memandangkan tidak sampai melihat keadaannya jika kerap dibedah.
“Kami tidak mengharapkan apa-apa, cuma meminta rakyat Malaysia mendoakan Muhammad Aqil supaya sembuh seperti sebelum ini,” katanya.
Sumber: hmetro.com.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI