Penggunaan gajet terhadap kanak-kanak menjadi trend masa kini. Bukan hanya kanak-kanak diberi gajet malah bayi 0 hingga 2 tahun turut didedahkan dengan pengunaan gajet.
Ramai ibu bapa teruja ketika kali pertama si kecil mula bercakap. Walaupun masih pelat dan menggunakan separuh perkataan saja, ia cukup menggembirakan hati ibu bapa.
Menurut pakar kanak-kanak Wiess, Gordon dan Lillywhite (1987), apabila kanak-kanak genap usia dua tahun, sepatutnya mereka mempunyai jumlah kosa kata sekurang-kurangnya 200 perkataan. Namun bagi kanak-kanak berusia dua tahun yang masih tidak bercakap, ini adalah petanda awal kepada masalah pertuturan.
Pakar Terapi Pertuturan Ruby Speech Therapy, Sungai Petani, Kedah, Izyan Atika Abu Bakar berkata, sebaik saja ibu bapa merasakan anaknya tidak bercakap seperti rakan sebaya apabila mencecah usia dua tahun, mereka seharusnya berjumpa pakar terapi pertuturan untuk mendapatkan nasihat dan membuat penilaian.
Ini kerana sepanjang mengendalikan kes kanak-kanak berusia dua tahun, ada yang langsung tidak bercakap atau penguasaan mereka amat terhad iaitu kurang daripada 20 perkataan.
Ada pula ibu bapa memberitahu anak mereka boleh bercakap, tetapi tidak difahami butirannya iaitu bercakap dalam bahasa ‘Jerman’. Ada juga yang awalnya boleh menyebut perkataan ‘nak’, ‘mama’ atau ‘kakak’, namun kemahiran itu hilang begitu saja.
Kerap Memberikan Gajet & Pendedahan Kepada Televisyen
“Ini antara masalah yang kerap dirujukkan kepada saya. Dengan perkembangan teknologi dan gajet yang diberikan kepada anak seperti i-Pad, telefon pintar dan televisyen menyebabkan ramai kanak-kanak mampu menyebut A sehingga Z dan 1 sehingga 10 dengan baik, tetapi tidak boleh memanggil mama dan ayah, apatah lagi perkataan lain yang bermakna.
Malah si anak juga bijak bermain permainan dalam tablet serta tahu membuka aplikasi YouTube dan video kartun,” katanya yang sering berkongsi panduan dengan pembaca menerusi rubyatika.wordpress.com.
Ads
Menurut Izyan, menonton televisyen secara berlebihan dan didedahkan dengan gajet sejak usia di bawah dua tahun sememangnya mengganggu perkembangan daya tumpuan kanak-kanak. Daya tumpuan antara kemahiran penting bagi si comel menguasai pertuturan bahasa.
Televisyen dan permainan gajet sebenarnya tidak membabitkan komunikasi dua hala. Maka ia tidak melatih kanak-kanak untuk berinteraksi. Telefon pintar tidak boleh menunggu tindak balas kanak-kanak, apatah lagi menjawab berdasarkan perkataan yang keluar daripada mulut mereka.
Tiada Tindak Balas Verbal
“Selain itu, ada juga rancangan yang tidak bersuara, tetapi hanya menunjukkan pergerakan saja. Memang kanak-kanak akan menari dan menunjukkan aksi seperti di dalam televisyen. Apabila melihat anak berjoget dan bertepuk tangan di depan televisyen, ibu bapa rasa seronok kerana merasakan anak mereka seorang yang aktif dan pintar tanpa menyedari sebenarnya anak itu tidak memberikan tindak balas secara verbal,” katanya.
Ada beberapa petanda awal yang boleh dikenal pasti ibu bapa sama ada anak mereka mempunyai masalah pertuturan atau tidak. Antaranya dengan mendengar perkataan awalan seperti memanggil insan yang rapat dengan mereka (mama, ayah, abang, tok), menggunakan perkataan fungsian (tu, nak, habis, sedap), perkataan harian (makan, mandi, ambil, sakit, buat, main) serta boleh menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah, misalnya adik mandi, adik nasi, makan roti, main taman dan mama punya yang biasanya membabitkan situasi menjawab soalan, meminta informasi dan membuat kenyataan.
“Namun begitu daripada segi sebutan, anak dua tahun sememangnya masih pelat dan berada dalam julat perkembangan normal kanak-kanak. Namun tidak dinafikan memang ada dalam kalangan mereka sudah mampu bercakap dengan baik dan tidak mengalami pelat yang lama dalam perkembangan bahasanya.
“Pelat yang biasa bagi anak dua tahun ialah menyebut suku kata hujung perkataan. Contohnya baju sebagai ju, mandi sebagai ndi atau sakit sebagai kit. Selain itu, bunyi huruf ‘s’ menjadi ‘c’ contohnya naci (nasi) dan ‘k’ menjadi ‘t’ contohnya matan (makan),” katanya.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan si kecil lambat bercakap. Antaranya mempunyai latar belakang sejarah dalam keluarga yang lambat bercakap, pernah mengalami sejarah kesihatan seperti sawan, lemas sewaktu kelahiran, kelahiran pramatang, mengalami sindrom tertentu seperti hiperaktif, autisme dan palsi serebral dan masalah pendengaran.
Faktor persekitaran seperti televisyen dan gajet walaupun bukan menjadi punca utama, ia menyumbang kepada perkembangan bahasa kanak-kanak dan sosial mereka.
“Namun begitu ada juga kanak-kanak autisme tahap sedikit tidak mengalami masalah lambat bercakap. Ibu bapa harus sedar masalah lambat bercakap hanyalah salah satu petanda kepada masalah ini. Selain pendengaran dan autisme, kanak-kanak yang mengalamai sawan, lemas sewaktu kelahiran, kemalangan yang membabitkan kepala, palsi serebral dan sumbing bibir lelangit juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah pertuturan.
“Oleh itu segera bawa anak berjumpa pegawai terapi pertuturan jika anak masih tidak bercakap pada usia dua tahun atau ibu bapa boleh membawa anak untuk buat penilaian pertuturan bahasa jika merasakan yang pertuturan anak tidak seperti rakan sebaya.
Ads
“Jika pada usia empat tahun anak masih pelat atau tidak boleh bercerita, masalah ini juga perlu dirujuk dengan pakar terapi untuk penilaian,” katanya.
Peranan ibu bapa
Ada banyak cara yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam mengatasi masalah pertuturan anak mereka. Menyedari ramai kanak-kanak tidak suka dipaksa meniru perkataan yang diucapkan ibu bapa dan hanya mengangguk saja, ibu bapa boleh memulakan ‘terapi’ dengan bermain bersama anak.
Dalam keadaan bermain, aktiviti bersuara dan bercakap akan menimbulkan keseronokan. Antara contoh permainan yang boleh dipraktikkan adalah:
1. Permainan haiwan -Ibu boleh mereka cerita sambil bermain. Misalnya, “lembu ni cari anak dia. Dia panggil moo moo..mana baby ni.mooo.” “Itik ni nak mandi.pap pap pap.gosok gigi pap pap pap.basuh kaki..pap pap pap.” “Singa nak makan lembu.aum aum.makan lagi aumm.”
2. Mainan patung -Ambil anak patung kemudian sorokkan tangan di belakang bantal. Main secara berulang-ulang, seperti aum cak. Tetapi dalam aktiviti ini, ibu boleh menyebut nama anak. Kemudian apabila ingin meÂnyorok semula ke belakang bantal, sebut ‘bye’. Anda boleh membuat pelbagai aksi seperti terperanjat dengan menggeleteknya.
3. Main belon -Anda boleh diajar dengan menyebut ‘pop pop pop’ setiap kali belon dipecahkan. Apabila semua sudah dipecahkan, sebut perkataan ‘habis’. Sekiranya anak inginkan lagi minta dia menyebut ‘nak’ atau ‘lagi’. Ulang beberapa kali sehingga dia faham apa yang disebut.
4. Menyanyi -Biasakan menyanyikan lagu yang sama setiap hari empat hingga lima kali sehari. Kemudian anda tunggu sehingga dia menghabiskan perkataan terakhir dalam lagu itu. Contoh ‘happy birthday to..’ dan minta dia menyambung perkataan seterusnya.
5. Pengukuhan tahap kefahaman -Latih anak mengenal anggota badan, barang di dalam rumah, menunjuk gambar dalam buku dan mengikut arahan yang diberikan.
Selain itu ibu bapa boleh menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak bagi memberi peluang mereka meluaskan aktiviti sosial.
Ads
Bagi yang memberikan gajet sebagai teman setia sejak anak dilahirkan, mereka mestilah bertindak segera dengan mengurangkan atau menghentikan terus pendedahan kepada gajet. Gantikan dengan pelbagai jenis permainan yang mampu membuatkan anak melupakan televisyen atau gajet itu.
Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah, mereka mestilah dirujukkan kepada pakar terapi pertuturan untuk dibuat penilaian. Ibu bapa perlu tahu apakah jenis masalah yang dihadapi, tahap keterukan dan cara sesuai bagi mengatasi masalah ini.
Walaupun ada kanak-kanak yang akan pulih sendiri atau disebut sebagai penyembuhan spontan, ramai juga memerlukan bantuan dan dimasukkan ke program pendidikan khas. Oleh itu, pengesanan awal adalah jalan terbaik berbanding membiarkan si kecil menanggung risiko yang tidak pasti.
Izyan menjelaskan pembabitan ibu bapa dalam proses terapi adalah sangat penting. Ini kerana ibu bapa adalah insan yang bersama anak sepanjang hari. Pegawai terapi hanya meluangkan masa selama satu jam dalam masa seminggu.
“Apa yang kami lakukan adalah memberi latihan teknik kepada ibu bapa agar boleh digunakan bersama anak di rumah. Pegawai terapi juga akan memberikan cadangan aktiviti yang boleh dibuat bersama anak mengikut situasi bersesuaian.
“Walaupun kebanyakan ibu bapa bekerja, mereka tetap pulang ke rumah untuk bersama keluarga. Oleh itu amat penting berkomunikasi sewaktu bersama anak sama ada ketika makan, menguruskan anak, bermain dan sebelum tidur,” katanya.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu menggunakan teknik yang betul semasa komunikasi dengan anak. Hanya luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari. Kekerapan meluangkan masa bersama anak-anak untuk aktiviti terapi adalah lebih baik berbanding masa yang lama tetapi sekali sekala saja.
Panduan merangsang anak bercakap:
1. Jika didapati anak sukar mematuhi arahan misalnya tidak memahami apa yang dikatakan ibu atau tidak melakukan apa yang disuruh segera bertemu dengan pakar pendengaran. Mungkin si kecil mengalami masalah telinga.
2. Bagi anak-anak hiperaktif, suka berlari ke sana sini dan memanjat, latih daya tumpuan anak. Caranya dengan:
a. Latih anak menerusi permainan imaginasi. Contohnya bermain masak-masak dan lihat sama ada dia boleh mengikuti setiap aktiviti permainan itu (tuang air dalam cawan, ambil sudu dan kacau, potong sayur, basuh pinggan). Dalam permainan robot misalnya perhatikan apakah anak boleh menggunakan robot dan menggayakan seperti hendak terbang, tembak dan melompat. Dengan cara melihat anak bermain, ibu bapa boleh menentukan sama ada anak dapat memberi tumpuan atau tidak.
b. Latih daya tumpuan dengan membacakan buku cerita bergambar. Ceritakan mengenai gambar itu. Perhatikan adakah anak berminat untuk mendengar cerita anda dan menunjuk kepada gambar berkaitan atau dia sekadar ingin menyelak kertas dan mengoyakkannya saja.
c. Menyanyi dan mengikut gerak tangan kaki bersama. Duduk di hadapan anak, nyanyi lagu ‘bangun pagi, gosok gigi’. Latih anak tiru gaya itu. Menari ketika iklan tidak termasuk dalam latihan daya tumpuan. Ini kerana komunikasi membabitkan pandangan komunikasi antara manusia, mendengar, meniru dan mengulang bersama.
3. Dengar apa yang disebut oleh anak dan ulang sebutannya dengan perkataan yang betul. Contoh: apabila anak asyik berkata ‘syik’ yang bermaksud nasi, maka automatik katakan kepadanya ‘nasi’, ‘nasi sedap.’ ‘nak nasi?’ ‘Mak masak nasi.’ Kesilapan yang berlaku ialah jawapan yang selalu dibuat ‘nak makan?’ ‘Sedap’ ‘nak asyik?’ Sekiranya anda tidak mengulang apakah yang anak ingin perkatakan maka anda mengalami kerugian dan sekiranya anda meniru pula pelatnya, ia akan menjadi lebih susah.
4. Latih perkataan harian berbanding melatih abc atau 1,2,3. Ramai ibu bapa mengadu anak mereka boleh mengenal semua huruf dan nombor, tapi tidak boleh menyebut ibu dan ayah. Ini menunjukkan anak anda bijak dan boleh belajar jika perkataan itu sering didengarnya. Mungkin dia berada di hadapan televisyen lebih lama berbanding di hadapan ibu dan ayah. Atau sekiranya sudah duduk di hadapan ibu ayah, ibu ayah juga menyebut abc atau 1,2,3 dan bukannya perkataan harian.
Bukan mudah nak bagi si kecil tak mengamuk duduk di car seat bagi membolehkan ibu memandu dengan tenang. Bagi ibu yang biasa membawa anak sendirian di dalam kereta tentu sudah biasa dengan situasi anak kecil buat hal bila didudukkan dalam car seat.
Tapi memikirkan keselamatan anak lebih utama, ibu terpaksa membiarkan sahaja anak ‘berdrama’ air mata. Selalunya anak yang dah biasa dari kecil didudukkan dalam car seat ketika ibunya memandu kereta jarang mengamuk atau menangis. Bagi yang baru nak ajar anak duduk di car seat bolehlah ikut tips dikongsi oleh ibu ini.
Tips yang pertama ialah memastikan anak kita dalam keadaan kenyang terutama yang breast feeding kan. Anak yang besar boleh pastikan sudah breakfast atau makan terlebih dahulu. Apabila dah kenyang anak akan rasa selesa dan mudah untuk tidur.
Tips yang kedua ialah pilihan dan penggunaan car seat juga faktor penting dalam keselesaan dan keselamatan anak kita. Maka kita as a parents kena la pastikan car seat yang kita hendak dibeli itu selesa dan sesuai tak kedudukan ketika anak berada dalam car seat tersebut. Sebab ada car seat yang ada dua posisi iaitu posisi duduk atau posisi untuk baring. Kedudukan ini kena ikut saiz berat badan anak anda. Tak boleh suka hati letak ikut posisi yang anda suka.
Tips yang ketiga ialah didik anak dengan bacaan doa perjalanan. Walaupun mreka masih kecil didikan dan amalan yang baik perlu ditunjukkan dan kita sebagai mama as a good role model. Memulakan sesuatu dengan berdoa kepada Maha Pencipta.
Tips keempat ialah mendengar tangisan anak. Bila sudah bergelar ibu kenalah faham jenis-jenis tangisan anak. Bagi yang pertama kali nak ajar anak duduk di dalam car seat, dalam kurang setengah jam atau lima belas minit perjalanan menggunakan car seat. ini untuk membiasakan anak dengan keadaan baru.
Tangisan itu adalah biasa sebab bayi tidak biasa dalam keadaan baru kerana si kecil rasa tidak selamat duduk di dalam car seat.
Anda kenalah bagi dorongan dan galakan seperti nyanyian atau zikir. Lagi satu bila nangis, biarkan sahaja sebab bila kita angkat dia ketika dalam kereta, maka anak kecil akan ingat bahawa ok bila dia nangis pasti mak ayah akan angkat. itu sebab saya cadangkan cuba dalam perjalanan yang dekat dahulu atau dalam jangka masa 15 minit. Buat rutin ini setiap hari untuk membiasakan si kecil duduk dalam car seat.
Tips terakhir ialah kalau ada muzik yang bayi suka bolehlah dipasang. Contohnya baby shark ke baby song ke atau zikir yang menenangkan juga boleh dipasang. Si kecil akan rasa lebih tenang dan kurang menangis. Lama-kelamaan dia akan tertidur.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua ibu bapa di luar sana.
Kalau anak anda kerap terjaga waktu tidur malam jangan main-main kerana ia boleh jejaskan perkembangan minda dan fizikal si manja. Mesti ramai ibu bapa yang melalui pengalaman si kecil suka menangis tengah malam dan susah untuk tidur semula.
“Sejak masuk umur setahun, Amna susah nak tidur malam. Lepas tu asyik terjaga ajak main. Risau mama tau!”
Mungkin ada anak kecil yang dulu jenis tidur sepanjang malam dan hanya bangun untuk menyusu sahaja tetapi bila masuk usia setahun mula berubah pola tidurnya. Tambah memeningkan kepala papa mama, bila dia bangun tengah malam dan ajak bermain untuk tempoh paling lama tiga jam.
Waktu siang pula dia hanya tidur sekali dan sekejap. Mulalah papa dan mama risau fikirkan hal ini. Adakah ini boleh memudaratkan kesihatan si kecil?
Tidur yang cukup dan berkualiti memang penting untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar. Kalau tak cukup tidur, ia boleh menjejaskan perkembangan minda dan fizikal si manja.
Pernahkah anda terfikir berapa lama sebenarnya si kecil perlu tidur dalam sehari? Dari lahir sampai dewasa, jumlah jam tidur yang diperlukan berbeza ikut peringkat perkembangan dan ini termasuk tidur petang atau ‘nap time’. Tidur penting untuk anak membesar sihat dan cergas.
Jom rujuk jadual tidur anak mengikut usia mereka.
• Lahir-3 bulan: tidur selama 18 jam sehari – lapan atau 10 jam pada waktu malam dan lapan jam waktu siang.
• 4-6 bulan: tidur selama 16 jam sehari – 12 jam tidur pada waktu malam dan empat jam pada waktu siang.
• 6-8 bulan: tidur selama 14 jam – 11 jam pada waktu malam sementara tiga hingga empat jam pada waktu siang.
• 8-12bulan: tidur selama 13 jam – 11jam hingga 12 jam pada waktu malam, 2 jam lagi pada waktu siang.
• 12-18 bulan: tidur antara 11 hingga 12 jam waktu malam dan hanya dua jam pada waktu siang.
Masa bayi baru lahir, dia tidak dapat membezakan waktu siang ataupun malam. Jadi, bayi akan tidur untuk 2-3 jam dan bangun semula untuk menyusu. Waktu malam pun sama. Selepas kira-kira 6 minggu, barulah mereka mula dapat tidur lebih lama pada waktu malam. Ketika ini, digalakkan ibu bapa untuk mula membiasakan bayi untuk aktif waktu siang dan tidur lebih lama pada waktu malam.
Selepas usia 3-6 bulan, bayi biasanya dapat tidur berterusan selama 5-6 jam pada waktu malam. Anak-anak yang dapat jumlah tidur yang cukup boleh masuk tidur dalam masa yang singkat iaitu 15-30 minit, tidur berterusan dan lena.
Sekiranya si kecil tidak dapat kualiti tidur yang bagus, dia akan selalu mengantuk pada waktu siang, mengamuk dan bersikap hyper dengan masalah sikap yang sukar dikawal.
Kenapa sesetengah anak kecil ada masalah tidur malam? Ini antara sebabnya.
1. Sudah jadikan ‘habit’ memerlukan bantuan untuk tidur. Misalnya dia biasa dibuai ketika hendak tidur jadi anak tidak akan belajar untuk tidur sendirian. Jika dia terjaga atau ibu tiada di sisinya, dia akan menangis dan mengamuk untuk mendapatkan perhatian.
2. Terlalu penat atau tidak dapat ‘nap time’ yang mencukupi. Bayi dan kanak-kanak memerlukan tidur petang sekurang-kurangnya satu hingga dua kali sehari. Sekiranya mereka rasa penat sebab tak cukup tidur petang, mereka akan mengamuk dan tidak mahu tidur malam. Jika mereka nampak sudah terlalu mengantuk waktu petang, bagilah mereka tidur untuk 1 hingga 3 jam. Tetapi jangan bagi mereka ‘nap’ kalau sudah dekat dengan waktu tidur malam.
3. Gelisah berpisah dengan ibu bapa kerana perlu tidur berasingan di katil/bilik berlainan. Disebabkan itu, mereka tidak mahu tidur malam atau tidak tidur lena dan asyik terbangun.
4. Anak tiada rutin tidur yang tetap di mana waktu tidur bertukar-tukar dan berlalinan pada hari cuti akan membuatkan amalan tidur anak menjadi lebih susah. Ibu bapa dan ahli keluarga lain yang selalu tidur lewat dan tiada waktu tidur rutin turut menjejaskan amalan tidur anak.
5. Obstructive Sleep Apnea di mana saluran pernafasan tersumbat disebabkan masalan tonsil dan adenoid (bahagian belakang hidung dan tekak) yang besar. Anak-anak tidur berdengkur kuat, nafas laju, mulut ternganga dan tidak dapat kualiti tidur yang bagus. Mereka tidak dapat tidur lena dan susah bangun pagi. Jika anak ada tanda seperti ini, segera bawa berjumpa doktor.
6. Alahan dan asma. Hidung tersumbat/berlendir ataupun resdung sebab alahan, selesema ataupun penyakit asma boleh menyebabkan anak susah bernafas. Akibatnya, mereka tidak dapat tidur lena. Masalah perut kembung, asid refluk, sakit telinga atau sakit tumbuh gigi di kalangan bayi juga boleh menyebabkan mereka susah tidur malam.
Jadi, walau apa cara sekalipun anak anda hendak tidur, sentiasa pastikan mereka mendapat cukup tidur. Jangan biasakan anak kecil berjaga hingga lewat malam kerana menonton telvisyen atau bermain handphone dan akibatnya mengamuk susah nak tidur.
Teknik tepukan fisioterapi percussion boleh membantu meredakan batuk bayi. Mama dan papa wajib mengetahui caranya.
Jika anak selesema dan batuk berkahak, tidak tidur lena mama dan papa dibuatnya. Setelah memberikan ubat-ubatan, rasa kasihan pula kepada bayi yang kerap batuk berkahak. Tambahan pula jika di rumah rumah memang tidak mempunyai mesin sedut hingus. Anda boleh cuba teknik tepukan untuk meredakan batuk anak anda.
Bayi yang mengalami batuk dan selesema menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan kahak dan hingus. Jika dibiarkan berlarutan tanpa rawatan ia akan menjadi punca penyakit seperti bronkitis iaitu bengkak dan pengecutan paru-paru. Penyakit ini kerap menyerang kanak-kanak di bawah usia lima tahun kerana mereka masih belum berkeupayaan mengeluarkan kahak sendiri. Simptom penyakit ini seperti batuk, demam, sesak nafas dan selesema.
Untuk meredakan batuk bayi, anda boleh mencuba kaedah fisioterapi iaitu teknik tepukan yang dinamakan ‘percussion’ ke atas bayi anda. Selain menggunakan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan menggunakan nebulizer untuk membuka saluran pernafasan dan mencairkan kahak, teknik tepukan ini juga antara kaedah yang digunakan untuk meredakan batuk anak anda.
Kombinasi tiga kaedah ini iaitu ubat, nebulizer dan fisioterapi merupakan kaedah yang biasa digunapakai di hospital untuk menghadapi masalah ini. Apabila ibu bapa mengetahui teknik ini, ia dapat membantu dapat meredakan jangkitan terhadap bayi.
TEKNIK TEPUKAN MELONGGARKAN KAHAK
Untuk melakukan teknik tepukan terdapat beberapa posisi yang perlu dilakukan ( Sila rujuk langkah demi langkah teknik tepukan). Teknik tepukan ini memerlukan anda membentuk tapak tangan seakan cupping (lubang di tengah). Untuk melakukan tepukan, gunakan kekuatan dari pergelangan tangan dan tepukan perlahan di belakang anak anda dan beberapa bahagian badannya (rujuk langkah demi langkah teknik tepukan).
Untuk bayi, gunakan tepukan yang menggunakan dua jari kerana paru-parunya masih kecil. Alaskan dengan kain supaya bayi tidak rasa sakit semasa proses ini dilakukan. Manakala bagi berusia setahun ke atas tepukan boleh dilakukan dengan tapak tangan seakan-akan cawan (cupping).
Tujuan menepuk adalah untuk melonggarkan kahak di dalam paru-paru. Biasanya selesai proses menepuk anggaran satu jam, biasanya bayi akan batuk atau bersin seterusnya akan mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika muntah dan tertelan, tidak perlu risau kerana ia akan dikeluarkan melalui najis.
Bagaimanapun sebelum teknik ini dilakukan pastikan bayi ‘puasa’ minum susu dua jam atau setengah jam sebelum teknik ini dilakukan bagi mengelak muntah.
INFO: Nebulizer untuk membuka saluran pernafasan bayi yang sempit manakala Tepukan akan melonggarkan saluran pernafasan bayi dan membantu untuk bernafas dengan baik.
LANGKAH DEMI LANGKAH TEPUKAN PERCUSSION
Tepukan yang menggunakan dua jari ialah bagi bayi.Manakala tepukan cupping menggunakan tangan untuk yang berusia setahun ke atas.Tepukan perlu perlahan tetapi dalam frekuensi yang laju.
1.Pegang bayi dalam keadaan selesa. Kemudian dudukan bayi kedudukan 45 darjah dan mula melakukan tepukan untuk bahagian kiri dan kanan. Lakukan dengan menggunakan dua jari selama 10 hingga 15 minit. Untuk memberi keselesaan letakkan bantal bahagian belakang badan bayi.
2.Dalam posisi yang sama, tepukan turut dilakukan pada bahagian belakang bayi kiri dan kanan dengan menggunakan dua jari selama tiga hingga lima minit.
3.Teknik seterusnya ialah posisi meniarap. Letakkan bantal di bawah perut, pastikan bantal tidak terlalu tebal. Kemudian condongkan sedikit posisi bantal dengan kedudukan kepala bayi ke bawah dan kaki ke atas. Pastikan kaki lurus. Pastikan mukanya dalam kedudukan yang selesa. Tepuk di bahagian belakang bayi di kiri dan kanan selama 10 hingga 15 minit.
4.Bagi posisi ini, bayi dalam kedudukan mengiring ke kanan. Tepukan dilakukan pada bahagian bawah sedikit dari ketiak dan atas sikit dari pusat selama 10 hingga 15 minit. Lakukan cara yang sama untuk bahagian kiri.
5.Masih posisi yang sama, tepukan dilakukan pada bahagian tepi tulang belakang bayi mengikut masa yang sama bagi bahagian di kiri dan kanan.
6.Baringkan bayi dengan kedudukan kaki di atas sedikit. Tepuk pada bahagian peparu kiri dan kanan dalam tempoh masa yang sama seperti teknik di atas.
*Biasanya selesai proses menepuk anggaran satu jam, biasanya bayi akan batuk atau bersin seterusnya akan mengeluarkan kahak dalam bentuk muntah. Jika muntah dan tertelan, tidak perlu risau kerana ia akan dikeluarkan melalui najis.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahun baru biasanya sinonim dengan azam dan permulaan baru. Tapi kali ni, Puan Faridah Mohd Ali kongsikan sesuatu yang lain dari kebiasaan bukan tentang...