Penggunaan gajet terhadap kanak-kanak menjadi trend masa kini. Bukan hanya kanak-kanak diberi gajet malah bayi 0 hingga 2 tahun turut didedahkan dengan pengunaan gajet. 

Baca Selanjutnya: Bukan Sekadar Seorang Anak, Tapi Jadikan Mereka Sahabat Mak Ayah. Baru Boleh Rapat!

Laman rasmi Public Health Malaysia telah berkongsi tentang ZERO pendedahan gajet kepada kanak-kanak 2 tahun kebawah.

Jika anda ada anak yang berusia 2 tahun ke bawah, usah cemari mereka dengan NODA gadget.

Gangguan Masalah Pertuturan & Hubungan Sosial

Kajian telah membuktikan pendedahan skrin gadget menyebabkan gangguan perkembangan skill pertuturan dan hubungan sosial.

Hanya panggilan video sahaja dibenarkan untuk kanak kanak bawah 2 tahun. Kerana ia ada komunikasi 2 hala.

Sumber: Public Health Malaysia

Ramai ibu bapa teruja ketika kali pertama si kecil mula bercakap. Walaupun masih pelat dan menggunakan separuh perkataan saja, ia cukup menggembirakan hati ibu bapa.

Menurut pakar kanak-kanak Wiess, Gordon dan Lillywhite (1987), apabila kanak-kanak genap usia dua tahun, sepatutnya mereka mempunyai jumlah kosa kata sekurang-kurangnya 200 perkataan. Namun bagi kanak-kanak berusia dua tahun yang masih tidak bercakap, ini adalah petanda awal kepada masalah pertuturan.

Pakar Terapi Pertuturan Ruby Speech Therapy, Sungai Petani, Kedah, Izyan Atika Abu Bakar berkata, sebaik saja ibu bapa merasakan anaknya tidak bercakap seperti rakan sebaya apabila mencecah usia dua tahun, mereka seharusnya berjumpa pakar terapi pertuturan untuk mendapatkan nasihat dan membuat penilaian.

Ini kerana sepanjang mengendalikan kes kanak-kanak berusia dua tahun, ada yang langsung tidak bercakap atau penguasaan mereka amat terhad iaitu kurang daripada 20 perkataan.

Ada pula ibu bapa memberitahu anak mereka boleh bercakap, tetapi tidak difahami butirannya iaitu bercakap dalam bahasa ‘Jerman’. Ada juga yang awalnya boleh menyebut perkataan ‘nak’, ‘mama’ atau ‘kakak’, namun kemahiran itu hilang begitu saja.

Kerap Memberikan Gajet & Pendedahan Kepada Televisyen

“Ini antara masalah yang kerap dirujukkan kepada saya. Dengan perkembangan teknologi dan gajet yang diberikan kepada anak seperti i-Pad, telefon pintar dan televisyen menyebabkan ramai kanak-kanak mampu menyebut A sehingga Z dan 1 sehingga 10 dengan baik, tetapi tidak boleh memanggil mama dan ayah, apatah lagi perkataan lain yang bermakna.

Malah si anak juga bijak bermain permainan dalam tablet serta tahu membuka aplikasi YouTube dan video kartun,” katanya yang sering berkongsi panduan dengan pembaca menerusi rubyatika.wordpress.com.

Menurut Izyan, menonton televisyen secara berlebihan dan didedahkan dengan gajet sejak usia di bawah dua tahun sememangnya mengganggu perkembangan daya tumpuan kanak-kanak. Daya tumpuan antara kemahiran penting bagi si comel menguasai pertuturan bahasa.

Televisyen dan permainan gajet sebenarnya tidak membabitkan komunikasi dua hala. Maka ia tidak melatih kanak-kanak untuk berinteraksi. Telefon pintar tidak boleh menunggu tindak balas kanak-kanak, apatah lagi menjawab berdasarkan perkataan yang keluar daripada mulut mereka.

Tiada Tindak Balas Verbal

“Selain itu, ada juga rancangan yang tidak bersuara, tetapi hanya menunjukkan pergerakan saja. Memang kanak-kanak akan menari dan menunjukkan aksi seperti di dalam televisyen. Apabila melihat anak berjoget dan bertepuk tangan di depan televisyen, ibu bapa rasa seronok kerana merasakan anak mereka seorang yang aktif dan pintar tanpa menyedari sebenarnya anak itu tidak memberikan tindak balas secara verbal,” katanya.

Ada beberapa petanda awal yang boleh dikenal pasti ibu bapa sama ada anak mereka mempunyai masalah pertuturan atau tidak. Antaranya dengan mendengar perkataan awalan seperti memanggil insan yang rapat dengan mereka (mama, ayah, abang, tok), menggunakan perkataan fungsian (tu, nak, habis, sedap), perkataan harian (makan, mandi, ambil, sakit, buat, main) serta boleh menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah, misalnya adik mandi, adik nasi, makan roti, main taman dan mama punya yang biasanya membabitkan situasi menjawab soalan, meminta informasi dan membuat kenyataan.

“Namun begitu daripada segi sebutan, anak dua tahun sememangnya masih pelat dan berada dalam julat perkembangan normal kanak-kanak. Namun tidak dinafikan memang ada dalam kalangan mereka sudah mampu bercakap dengan baik dan tidak mengalami pelat yang lama dalam perkembangan bahasanya.

“Pelat yang biasa bagi anak dua tahun ialah menyebut suku kata hujung perkataan. Contohnya baju sebagai ju, mandi sebagai ndi atau sakit sebagai kit. Selain itu, bunyi huruf ‘s’ menjadi ‘c’ contohnya naci (nasi) dan ‘k’ menjadi ‘t’ contohnya matan (makan),” katanya.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan si kecil lambat bercakap. Antaranya mempunyai latar belakang sejarah dalam keluarga yang lambat bercakap, pernah mengalami sejarah kesihatan seperti sawan, lemas sewaktu kelahiran, kelahiran pramatang, mengalami sindrom tertentu seperti hiperaktif, autisme dan palsi serebral dan masalah pendengaran.

Faktor persekitaran seperti televisyen dan gajet walaupun bukan menjadi punca utama, ia menyumbang kepada perkembangan bahasa kanak-kanak dan sosial mereka.

“Namun begitu ada juga kanak-kanak autisme tahap sedikit tidak mengalami masalah lambat bercakap. Ibu bapa harus sedar masalah lambat bercakap hanyalah salah satu petanda kepada masalah ini. Selain pendengaran dan autisme, kanak-kanak yang mengalamai sawan, lemas sewaktu kelahiran, kemalangan yang membabitkan kepala, palsi serebral dan sumbing bibir lelangit juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah pertuturan.

“Oleh itu segera bawa anak berjumpa pegawai terapi pertuturan jika anak masih tidak bercakap pada usia dua tahun atau ibu bapa boleh membawa anak untuk buat penilaian pertuturan bahasa jika merasakan yang pertuturan anak tidak seperti rakan sebaya.

“Jika pada usia empat tahun anak masih pelat atau tidak boleh bercerita, masalah ini juga perlu dirujuk dengan pakar terapi untuk penilaian,” katanya.

Peranan ibu bapa

Ada banyak cara yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam mengatasi masalah pertuturan anak mereka. Menyedari ramai kanak-kanak tidak suka dipaksa meniru perkataan yang diucapkan ibu bapa dan hanya mengangguk saja, ibu bapa boleh memulakan ‘terapi’ dengan bermain bersama anak.

Dalam keadaan bermain, aktiviti bersuara dan bercakap akan menimbulkan keseronokan. Antara contoh permainan yang boleh dipraktikkan adalah:

1. Permainan haiwan -Ibu boleh mereka cerita sambil bermain. Misalnya, “lembu ni cari anak dia. Dia panggil moo moo..mana baby ni.mooo.” “Itik ni nak mandi.pap pap pap.gosok gigi pap pap pap.basuh kaki..pap pap pap.” “Singa nak makan lembu.aum aum.makan lagi aumm.”

2. Mainan patung -Ambil anak patung kemudian sorokkan tangan di belakang bantal. Main secara berulang-ulang, seperti aum cak. Tetapi dalam aktiviti ini, ibu boleh menyebut nama anak. Kemudian apabila ingin me­nyorok semula ke belakang bantal, sebut ‘bye’. Anda boleh membuat pelbagai aksi seperti terperanjat dengan menggeleteknya.

3. Main belon -Anda boleh diajar dengan menyebut ‘pop pop pop’ setiap kali belon dipecahkan. Apabila semua sudah dipecahkan, sebut perkataan ‘habis’. Sekiranya anak inginkan lagi minta dia menyebut ‘nak’ atau ‘lagi’. Ulang beberapa kali sehingga dia faham apa yang disebut.

4. Menyanyi -Biasakan menyanyikan lagu yang sama setiap hari empat hingga lima kali sehari. Kemudian anda tunggu sehingga dia menghabiskan perkataan terakhir dalam lagu itu. Contoh ‘happy birthday to..’ dan minta dia menyambung perkataan seterusnya.

5. Pengukuhan tahap kefahaman -Latih anak mengenal anggota badan, barang di dalam rumah, menunjuk gambar dalam buku dan mengikut arahan yang diberikan.

Selain itu ibu bapa boleh menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak bagi memberi peluang mereka meluaskan aktiviti sosial.

Bagi yang memberikan gajet sebagai teman setia sejak anak dilahirkan, mereka mestilah bertindak segera dengan mengurangkan atau menghentikan terus pendedahan kepada gajet. Gantikan dengan pelbagai jenis permainan yang mampu membuatkan anak melupakan televisyen atau gajet itu.

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah, mereka mestilah dirujukkan kepada pakar terapi pertuturan untuk dibuat penilaian. Ibu bapa perlu tahu apakah jenis masalah yang dihadapi, tahap keterukan dan cara sesuai bagi mengatasi masalah ini.

Walaupun ada kanak-kanak yang akan pulih sendiri atau disebut sebagai penyembuhan spontan, ramai juga memerlukan bantuan dan dimasukkan ke program pendidikan khas. Oleh itu, pengesanan awal adalah jalan terbaik berbanding membiarkan si kecil menanggung risiko yang tidak pasti.

Izyan menjelaskan pembabitan ibu bapa dalam proses terapi adalah sangat penting. Ini kerana ibu bapa adalah insan yang bersama anak sepanjang hari. Pegawai terapi hanya meluangkan masa selama satu jam dalam masa seminggu.

“Apa yang kami lakukan adalah memberi latihan teknik kepada ibu bapa agar boleh digunakan bersama anak di rumah. Pegawai terapi juga akan memberikan cadangan aktiviti yang boleh dibuat bersama anak mengikut situasi bersesuaian.

“Walaupun kebanyakan ibu bapa bekerja, mereka tetap pulang ke rumah untuk bersama keluarga. Oleh itu amat penting berkomunikasi sewaktu bersama anak sama ada ketika makan, menguruskan anak, bermain dan sebelum tidur,” katanya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu menggunakan teknik yang betul semasa komunikasi dengan anak. Hanya luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari. Kekerapan meluangkan masa bersama anak-anak untuk aktiviti terapi adalah lebih baik berbanding masa yang lama tetapi sekali sekala saja.

Panduan merangsang anak bercakap:

1. Jika didapati anak sukar mematuhi arahan misalnya tidak memahami apa yang dikatakan ibu atau tidak melakukan apa yang disuruh segera bertemu dengan pakar pendengaran. Mungkin si kecil mengalami masalah telinga.

2. Bagi anak-anak hiperaktif, suka berlari ke sana sini dan memanjat, latih daya tumpuan anak. Caranya dengan:

a. Latih anak menerusi permainan imaginasi. Contohnya bermain masak-masak dan lihat sama ada dia boleh mengikuti setiap aktiviti permainan itu (tuang air dalam cawan, ambil sudu dan kacau, potong sayur, basuh pinggan). Dalam permainan robot misalnya perhatikan apakah anak boleh menggunakan robot dan menggayakan seperti hendak terbang, tembak dan melompat. Dengan cara melihat anak bermain, ibu bapa boleh menentukan sama ada anak dapat memberi tumpuan atau tidak.

b. Latih daya tumpuan dengan membacakan buku cerita bergambar. Ceritakan mengenai gambar itu. Perhatikan adakah anak berminat untuk mendengar cerita anda dan menunjuk kepada gambar berkaitan atau dia sekadar ingin menyelak kertas dan mengoyakkannya saja.

c. Menyanyi dan mengikut gerak tangan kaki bersama. Duduk di hadapan anak, nyanyi lagu ‘bangun pagi, gosok gigi’. Latih anak tiru gaya itu. Menari ketika iklan tidak termasuk dalam latihan daya tumpuan. Ini kerana komunikasi membabitkan pandangan komunikasi antara manusia, mendengar, meniru dan mengulang bersama.

3. Dengar apa yang disebut oleh anak dan ulang sebutannya dengan perkataan yang betul. Contoh: apabila anak asyik berkata ‘syik’ yang bermaksud nasi, maka automatik katakan kepadanya ‘nasi’, ‘nasi sedap.’ ‘nak nasi?’ ‘Mak masak nasi.’ Kesilapan yang berlaku ialah jawapan yang selalu dibuat ‘nak makan?’ ‘Sedap’ ‘nak asyik?’ Sekiranya anda tidak mengulang apakah yang anak ingin perkatakan maka anda mengalami kerugian dan sekiranya anda meniru pula pelatnya, ia akan menjadi lebih susah.

4. Latih perkataan harian berbanding melatih abc atau 1,2,3. Ramai ibu bapa mengadu anak mereka boleh mengenal semua huruf dan nombor, tapi tidak boleh menyebut ibu dan ayah. Ini menunjukkan anak anda bijak dan boleh belajar jika perkataan itu sering didengarnya. Mungkin dia berada di hadapan televisyen lebih lama berbanding di hadapan ibu dan ayah. Atau sekiranya sudah duduk di hadapan ibu ayah, ibu ayah juga menyebut abc atau 1,2,3 dan bukannya perkataan harian.

Sumber: HMetro