Soalan:
Saya ibu berkerjaya dan meninggalkan anak di bawah jagaan pengasuh. Sepanjang bekerja, pemakanan anak dijaga sepenuhnya oleh pengasuh. Pengasuh suka memberinya makanan atau minuman manis, bahan perasa dan pengawet. Adakah itu penyebab anak saya menjadi aktif?
Jawapan:
Kebiasaannya gula menjadi antara makanan yang akan dipersalahkan kerana menjadikan anak anda aktif dan sukar dikawal. Namun tahukah anda, makanan-makanan lain juga boleh memberikan impak kepada kelakuan dan adik. Antaranya ialah:
1. Produk tenusu
Bagi si kecil yang alah kepada protein yang terkandung dalam produk tenusu, dia akan menunjukkan gangguan kepada mood dan kelakuan iaitu agresif dan sensitif apabila terdedah kepada laktosa.
2. Gula
Gula apabila diambil melebihi paras yang normal akan menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif. Gula juga dikenal pasti sebagai penyebab utama masalah kesihatan jangka panjang.
3. Pewarna tiruan
Tidak ramai yang tahu bahawa perwarna tiruan juga mempunyai kaitan rapat dengan ADHD, hiperaktif dan perubahan tabiat. Kebanyakan ibu bapa terlepas pandang dan hanya menyalahkan gula semata-mata. Hati-hati dengan kehadiran pewarna tiruan ini yang selalunya tersembunyi di dalam kebanyakan makanan yang diambuil oleh anak anda.
4. Bahan pengawet
Bahan pengawet terdapat banyak di dalam makanan diproses seperti makanan dalam tin dan produk sejuk beku. Perlu diketahui pengambilan makanan yang kaya dengan bahan pengawet berkait rapat dengan tekanan perasaan, perkembangan terbantut dan masalah tidur.
5. Bahan perasa
Bahan perasa seperti monosodium glutamate (MSG) boleh menyebabkan sakit kepala dan hiperaktif di kalangan kanak-kanak.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Menyusu Boleh Makan Durian? Tak Bahaya Ke Untuk Bayi? Ini Jawapan Kaunselor Laktasi
Ketika ini, lalu sahaja di mana-mana jalan raya pasti akan kelihatan gerai yang menjual buah durian.
Untuk golongan ibu menyusu sering kali timbul persoalan sama ada boleh makan durian atau tidak? Ikuti perkongsian daripada kaunselor laktasi ini.
Sejak kebelakangan ni, banyak betul orang kongsikan gambar durian di facebook, instagram dan media sosial yang lain.
Ada beberapa orang ibu menyusu tanyakan kepada saya, Boleh ke ibu menyusu makan durian?
Tak bahaya ke untuk baby nanti?
Betul ke durian ni milkbooster?
✓ Ibu menyusu boleh makan durian dan sebenarnya tiada pantang makanan untuk ibu menyusu kecuali anak memang ada alahan atau masalah kesihatan yang memang doktor nasihatkan supaya ibu elakkan makan.
✓ Tiada kajian yang menunjukkan makan durian memberi kesan kepada susu ibu atau baby. Jika ada ibu yang cakap bila makan durian, susu ibu jadi panas dan nanti baby meragam sakit perut. Tunggu dulu! Setiap baby tidak sama. Ibu cubalah dulu dan tengok jika ada kesan pada baby sendiri.
✓ Durian adalah milkbooster jika durian adalah buah kegemaran ibu. Bila ibu dapat makan durian, hati ibu gembira dan rasa seronok. Bila emosi ibu happy dan seronok, nah! itulah milkbooster nya! 😍
Kalau ibu tak suka bau apatah lagi makan durian, tapi paksa diri juga makan durian semata-mata anggap durian ini adalah milkbooster, maka milkbooster tersebut tidak berkesan sebab ibu tak enjoy pun makan durian tu.
Enjoy your breastfeeding journey. Penyusuan ibu tidak sepatutnya membebankan ibu sehingga terpaksa patuh kepada banyak pantang larang.
Ambilah pendekatan konsep bersederhana. Nak makan durian, kubis, kari, masakan pedas ke, makanlah. Tapi jangan berlebihan dan ambil dalam kuantiti yang sederhana ya. 😉
Fakta tentang buah durian:
1. Durian boleh meningkatkan berat badan
Buah durian mempunyai kalori yang tinggi. Sebiji durian yang purata beratnya 1kg mengandungi jumlah kalori 1400 kalori. Manakala seulas durian beratnya lebih kurang 40g mengandungi 59kalori.
2. Durian kaya dengan nutrien
Durian kaya dengan potassium, serat, vitamin C dan vitamin B kompleks, asid amno tryptopan (mungkin membantut tidur) tinggi potasium berbanding buah pisang.
3. Durian boleh memberi tenaga segera
Kandungan karbohidrat yang tinggi dalam bentuk gula ringkas boleh menjadi sumber tenaga segera.
4. Pesakit diabetis mesti menghadkan pengambilan durian
Disebabkan durian mempunyai kandungan gula yang tinggi (gula ringkas seperti sukros, frusktosdan dan glukosa), buah ini memang tidak sesuai diambil oleh pesakit diabetes kecuali dalam kuantiti yang sedikir.
Elakkan pengambila berlebihan. Hanya 2 ulas durian untuk setiap hidangan,
Salam Penyusuan dari saya,
Kredit:
FADZIELAH AYUB
Pembimbing Rakan Penyusuan Anda
Malaysian Breastfeeding Peer Counselor
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Bukan Minuman Untuk Anak-Anak” Warna Cantik, Rasa Pun Bukan Main Sedap Tapi Kena Elakkan Dari Anak!
Air penuh warna-warni ini selalu jadi pilihan anak kita walhal minuman berkarbonat atau air bergas ini amatlah tidak sihat untuk anak kita.
Walaupun seringkali diingatkan agar mengelakkan minuman jenis ini untuk anak, ada ibu bapa yang masih bersikap acuh tidak acuh. “Sesekali nak minum katanya”!
Perkongsian Dr Mazliana Mazlan mengenai amalan tidak sihat ini mak ayah perlu ambil tahu. Yang paling penting sekali minuman jenis ini bukan minuman untuk anak-anak kita!
Anak-anak tak boleh minum air gula bergas macam ni tau. Bukan minuman untuk anak-anak.
Tak ada yang baik pun, walau ia berlabel ‘pilihan lebih sihat’.
Yang banyak, hanyalah gula. Walau ditulis zero kalori tanpa gula, dan diganti dengan pemanis tiruan, tetap ianya bukan untuk kita jadikan sebagai minuman anak-anak k.
Gula ni, ketagih dia lebih teruk dari ambil dadah kokain. Anak nanti tak suka dengan rasa tawar dan kurang manis, bila lidah diorang dah terlalu biasa sangat dengan makan minum manis.
Anak mudah nak reject nasi, taknak makan buah, tak pandang langsung sayur. Sebab deria rasa diorang hanya suka yang manis-manis je.
Sebab tu kita kena elakkan ajar anak makan yang manis-manis sangat, terutama di awal usia anak kenal makanan. Biar anak hanya kenal manis dari buah, sayur dan makanan segar.
5 sebab kena elakkan anak-anak dari air bergas tinggi gula, tinggi pemanis, tinggi pewarna dan perasa tiruan.
1. Tambah berat badan anak, tinggi risiko obesiti.
2. Anak tak dapat nak appreciate rasa manis asli dari makanan manis semulajadi contohnya buah-buahan.
3. Asid fosforik dari air bergas hakiskan kalsium dari tulang, yang akan buatkan tulang anak tak kuat dan mudah patah.
4. Aspartame, pemanis tiruan yang banyak digunakan, beri kesan neurotoxin dan boleh rosakkan otak anak-anak.
5. Pewarna tiruan, contohnya pewarna karamel, sebagai salah satu bahan yang bersifat karsinogen, membawa kepada risiko kanser.
Sama-sama kita cuba ya. Moga anak tak pandang langsung air macam ni.
Menarik: Bodygoals Betul, Cantik & Langsing-, Bella Astillah Dipuji Tak Macam Anak Dua
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Nak Anak Memilih Makan Sejak Dari Bayi, Mama Cuba Buat 5 Tip Ini. Pasti Membantu!
Masalah anak memilih makanan hampir dilalui oleh semua ibu. Ada yang tak mahu makan langsung hanya minum susu sahaja, ada juga yang hanya makan benda yang sama sahaja dan ada juga yang kalau nak makan terpaksa berperang ke hulu ke hilir nak suap anak makan.
Itu adalah situasi yang sering mama hadapi bila anak-anak sudah mula makan. Hakikatnya menguruskan anak yang memilih atau cerewet makan tidak mudah. Bila anak nampak kurus, tak cukup makan pastilah ibu yang sering dipersalahkan.
Untuk mengatasi masalah ini, perkongsian daripada Puan Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist mengulas lebih lanjut tentang permasalahan ini.
ANAK “PICKY EATER”
“Anak saya tak nak minum air kosong/ makan nasi atau semua makanan kecuali susu”
“Setiap kali waktu makan, mesti berperang nak suap anak makan”
“Anak tak nak berus gigi, mesti menangis setiap kali nak sentuh dalam mulut. Habis gigi semua rosak”
Menguruskan anak yang memilih makan bukannya mudah, kadang-kadang ada yang sampai bergaduh suami isteri menyalahkan diri masing-masing. Selalunya golongan mak mak yang akan dipersalahkan sebab dah biasa dengan norma masyarakat kita, perempuan duduk didapur menguruskan makan minum satu keluarga. Maka bila pulang ke kampung jumpa keluarga lain, bila anak memilih makan pasti golongan mak juga yang akan dipersalahkan dan dilabel “tak pandai jaga anak”. Adakah salah anak ataupun salah mak ayah?
Jom baca
Apa punca anak memilih makan?
Ada banyak punca menyebabkan anak memilih makan, tetapi kebanyakan kes melibatkan isu terhadap 2 deria penting iaitu:
- Deria bau (Olfactory)
- Deria rasa (Gustatory)
Kedua-dua deria ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan pemilihan makanan anak. Apabila anak memilih makan, mak ayah perlu tahu adakah disebabkan deria bau atau deria rasa ataupun kedua-duanya yang terlebih sensitif (hypersensitif) atau terkurang sensitif (hyposensitif).
Jika terdapat hypersensitif atau hyposensitif terhadap mana-mana deria, ia dipanggil “Sensory Prosessing Disorder” atau bahasa mudah kecelaruan sensori yang mungkin menyebabkan penerimaan bau/rasa yang tidak normal, kesannya anak memilih makan.
Genetik juga memainkan peranan dalam pemilihan makanan. Kalau mak ayah suka makanan yang berbau dan rasa kuat, anak juga cenderung ke arah itu. Cuma perbezaannya, sensitiviti terhadap deria bau dan rasa telah di “normalize”kan mengikut masa. Sebab itu, ada yang masa kecil tak makan sayur dan buah tetapi makan apabila sudah dewasa.
Hanya mak ayah yang mempunyai anak memilih makan sahaja tahu betapa “struggle”nya nak beri anak makan. Saya juga salah seorang “picky eater” yang teruk semasa kecil, sampai mak saya kurung dalam stor 3 jam tunggu saya telan makanan sambil mak menangis dekat luar. Bila dah besar sedikit, pandai makan sendiri selalu saya sorok-sorok buang sayur. Sorry mak ayah!
Maka, bila ada anak sendiri sekarang saya harap dengan menggunakan ilmu yang ada, anak saya tidak ikut jejak langkah saya.
Jadi tips dibawah ini adalah berdasarkan beberapa rujukan dan pengalaman saya sebagai ibu + occupational therapist untuk mengelak anak memilih makan sejak bayi. Untuk yang mempunyai anak bawah 3 tahun yang memilih makan, boleh juga cuba sebab masih belum terlambat lagi untuk memperbaikinya cuma memang ianya mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
TIPS MENGELAK ANAK MEMILIH MAKAN SEAWAL BAYI
Tips ini dipecahkan beberapa bahagian:
- Gigi dan gusi
2. Rasa makanan
3. Tekstur makanan
4. Bau makanan
5. Suhu makanan
- GIGI DAN GUSI
– Amalkan membersihkan dalam mulut bayi menggunakan kain basah yang bersih seawal baru lahir.
– Gunakan berus gigi mengikut peringkat umur. (Kain ➡ Finger brush ➡ Extra soft brush). Boleh rujuk Doktor Gigi untuk info lebih lanjut.
– Kerapkan menyentuh dalam mulut bayi untuk tujuan mengurangkan sensitiviti deria dalam mulut.
– Lewat memberus gigi / membersihkan mulut anak juga adalah salah satu faktor menyebabkan anak memilih makan. Maka, ayuhlah kita rajin-rajin bersihkan mulut anak ya.
– Jangan terlampau menghalang anak masukkan benda dalam mulut tapi tak ganti dengan benda yang selamat (teether, finger food) sebab skil ini penting untuk merangsang sensori dalam mulut.
- RASA MAKANAN (6 BULAN KE ATAS)
– Elakkan memberi makanan yang telah diproses sehingga anak mencapai umur 1 tahun.
– Kesilapan utama yang selalu dilakukan oleh mak ayah dalam memperkenalkan makanan awal pada anak adalah dengan memberi anak makan semua termasuklah makanan diproses dengan tanggapan:
“Bagus,beri anak makan semua benda untuk memberi rangsangan deria rasa”
“Kasihan anak tengok kita makan ais krim, kek, sosej, nugget atau fast food. Bagilah dia juga”
“Makan ais krim laju je, comelnya anak mummy”
Tak beri rasa bukan sebab tak sayang, tapi sebab sayangkan usus dan deria rasa anaklah kita perlu elakkan. Kalau kasihan juga, makanlah sorok-sorok jangan beri anak nampak. Tak lama pun, tunggu sampai anak umur 1 – 2 tahun. Bila kita dah awal-awal beri anak rasa makanan diproses yang mempunyai perisa tiruan dan manis secara tak langsung kita telah membiasakan dan mengajar deria rasa anak cenderung kepada perisa tiruan dan rasa manis seterusnya menyebabkan anak mengelak makan sayur-sayuran yang pahit.
Anak umur 6 bulan, tak reti pun lagi meminta kalau kita tak pernah beri. Banyak sangat buah dan sayur yang perlu dia belajar rasa berbanding makanan diproses sebab deria rasa anak sangatlah sensitif sejak lahir, sebab itu bubur kosong pun dah sedap bagi bayi. Maka, tak perlu pun letak perisa tambahan penyedap rasa untuk bayi 6 bulan.
Untuk ibu yang bekerja yang sibuk dan tiada masa untuk buat makanan bayi. Kini banyak sangat tips mudah di fb, buat stok sebulan sekali, bekukan dalam tempat ais krim seterusnya simpan dalam bag ziplock. Bubur nasi pun buat stok seminggu. Makanan bayi “homemade” pun sudah banyak dijual di pasaran. Mudah kan?
Pengalaman saya, saya memang tegas dalam pemakanan anak saya sebab tak nak anak jadi pemilih makan macam saya, kami makan juga fast food ataupun makanan diproses tapi tak pernah beri anak walaupun “sikit-sikit” dari anak umur 6 bulan hingga umur 1 tahun. Dalam beg memang sentiasa bawa bekal makanan dan “finger food” dan anak juga tak ada minta atau mengamuk nak rasa makanan kita sebab dia tahu makanan dia dalam bekal sahaja sehinggalah umur 1 tahun. Kasihan kan?
Tapi sebab sayangkan usus dan deria rasa anaklah saya buat macam ini.
Anak saya juga memang menunjukkan tanda-tanda memilih makan masa umur 6 bulan, akan menangis dan kadang-kadang boleh sengaja memuntahkan semula makanan setiap kali cuba sayur dan buah yang baru. Saya pasti ramai ibu lain mengalami situasi ini, mungkin ada yang akan stop dan tak beri lagi. Tapi cara saya, saya akan beri juga selagi tidak memudaratkan sebab lebih mudah berperang dengan anak bawah 1 tahun berbanding apabila dah besar. Kesannya, peperangan menyuap anak tak lama pun sehingga anak umur 8 bulan dia sudah boleh menerima semua buah dan sayur.
– Setiap makanan baru perlu di perkenalkan selama 4 hari berterusan, ia juga dipanggil “4 Day Wait Rule” untuk melihat jika ada kesan alahan dan untuk tujuan “normalize”kan deria rasa anak.
– Beri anak rasa satu persatu jenis makanan sebelum mencampurkannya.
– Jangan putus asa dalam mencuba kerana corak pemakanan awal banyak mempengaruhi gaya pemakanan anak. Baik menangis sekarang dari menangis di kemudian hari.
- TEKSTUR MAKANAN
– Pelbagaikan tekstur makanan (lembut, kasar, melekit, kering dan basah) yang boleh didapati dari pelbagai jenis buah dan sayur. 🍉🍊🍋🍌🍎🍓🥑
– Ajar anak untuk menguyah dan mengigit makanan seawal anak reti memasukkan benda/makanan ke dalam mulut dengan memberi “finger food”.
– Menguyah makanan adalah salah satu latihan mulut untuk perkembangan skil bercakap anak juga.
– Jika sayang anak takut anak tercekik tapi jangan terlalu lama memberi makanan kisar sehingga umur 2 tahun ya.
– Kalau takut anak tercekik semasa pemberian “finger food” buah- buahan, mak ayah boleh beri “Food Feeder” untuk anak gigit-gigit.
– Kalau malas nak cari, boleh cuba cara orang dulu-dulu dengan masukkan buah dalam kain lepas itu ikat macam sup bunjut. 😋
- BAU MAKANAN
– Setiap kali pengenalan makanan baru, beri anak main-main dengan sayur/buah tersebut dahulu sambil kenalkan nama sebelum beri anak rasa.
– Jangan marah atau jerit kalau anak gigit sedikit kerana perbuatan ini akan buat anak takut untuk menyentuh buah dan sayur lagi sebaliknya hanya tolak tangan anak.
- SUHU MAKANAN
– Pelbagaikan suhu setiap makanan, contohnya puree epal boleh beri sejuk dan suam tak perlu terikat pada 1 suhu sahaja.
Sebagai mak ayah, kita tak harap pun anak makan semua benda. Apa yang kita harapkan, anak makan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Contohnya buah dan sayur, ada bermacam macam jenis buah dah sayur. Kita tak harap pun anak makan semua, kalau dapat makan 1-2 jenis pun dah bersyukur asalkan anak dapat sumber serat.
Maka, abaikan sahaja pandangan dan kecaman orang lain bila anak kita memilih makan.
Siapa yang tak sayang anak kan?
Siapa yang tak nak anak makan semua makanan?
Siapa yang tak nak pastikan anak tidur dengan perut yang kenyang?
Maka, kita janganlah terlampau “judgemental” kerana kita tak tahu betapa sedihnya perasaan setiap kali anak menolak makanan yang diberi atau masak. Jadi, mak ayah sekalian boleh cuba tips di atas untuk mengelak anak menjadi “picky eater” seawal lepas lahir. Setiap tindak balas dan cara adalah berbeza setiap orang, kita hanya mencuba dan usaha dari awal. Usaha selepas itu barulah tawakal, jangan mengalah dan putus asa.
Jika mak ayah dapati anak mengalami masalah dalam pemakanan, disarankan rujuk Dietitian untuk dapatkan konsultasi untuk elakkan masalah perkembangan anak terbantut.
Untuk pengetahuan Occupational Therapist juga mengendalikan kes anak memilih makan cuma pendekatan kami lebih kepada isu sensori, oral-motor atau isu-isu lain yang berkaitan.
Ini baru cerita part punca dan cara mengelak anak memilih makan belum lagi tips menangani anak memilih makan sebab dah terlalu panjang.
Selamat mencuba, semoga bermanfaat. Terima kasih
Maryam Jamadi
Pediatric Occupational Therapist
BEYOND Home Therapy
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI