
Bantuan daripada ibu bapa amat diperlukan untuk anak-anak bebas lampin apabila dia berupaya bercakap untuk memberitahu mahu ke tandas dan boleh mengawal diri. Dengan 6 tips ini, anak anda boleh bebas lampin dalam masa kurang dari seminggu!
Puan Umairah Jamaah telah berkongsi 6 tip yang digunakannya ke pada anaknya selama tidak sampai seminggu, anaknya berjaya bebas lampin.
Berikut ialah perkongsiannya;

6 LANGKAH BAGAIMANA NAK MULAKAN FASA BEBAS LAMPIN UNTUK ANAK
Sebenarnya kan takde la susah mana pun fasa ni. Cewah, nampak tak konfiden tu.
#1 TETAPKAN MINDSET, POSITIF & TENANGKAN DIRI
Iya, jangan tak percaya inilah langkah PERTAMA yang mak ayah kena buat. Tetapkan #MINDSET diri sendiri. Kena bertenang, cuba fikir yang baik-baik aje, be positif. Fikirkan moment-moment indah yang bakal kita simpan.
Anak yang nak dilatih pun kita perlu bentuk gaya pemikirannya. Slow talk omputeh kata.
“Abang dah besar. Dah pandai pergi toilet untuk buang air sendiri.”
Bagilah kata-kata semangat apa-apa pun. Bukan ugutan ya. Sebaiknya bagi kata-kata semangat dulu sebelum mulakan sesi latihan tu.
Paling penting bab EMOSI kena jaga. Terutama emosi anak. Kita kena faham diorang masih dalam fasa latihan dan belajar.

#2 SIMPAN PERMAIDANI & TIKAR
Langkah kedua, gulung segala karpet-karpet atau tikar yang ada. Kita nak elak ada najis mencemar dulu atas karpet mak. Hewhewheww.
#3 SELUAR KAKI TERJERUT
Sementara dalam fasa-fasa nak bebas lampin. Pakaikan dulu SELUAR yang ada jerut kat bawah. Sebab nanti poo-poo tu takder la berteraburan.

#4 SENTIASA TANYA & ELAK TENGKING
Awal-awal latihan mulut mak ayah mesti tak lekang dengan soalan ” Nak kencing ke?”. Iya, penting ni. Soalan-soalan ni bagi anak alert dengan proses yang berlaku kat badan dia. Biasanya 15 ke 30 minit pertama anak mula nak buang air lepas minum. Hati-hati tau bila cuaca sejuk. Kena ‘extra care’.
Tapi sesekali terbabas tu normal la. Elakkan tengking anak atau merengus.

#5 LAKONAN DEMO
Sebaiknya buat DEMO atau lakonan awal. Macam mana anak kena bertindak kalau rasa nak kencing. Mula dengan bagi tau ibu atau ayah. Bukak seluar. Masuk tandas guna kaki kiri. Mencangkung dan seterusnya.
Masa latih anak saya Umar dulu. Saya bunyikan ‘shhhhhhhiiiiii shiiiii’ bagi dia rasa nak buang air. Ni tips yang saya buat.

#6 BAGI REWARD
Bagi REWARD kalau anak berjaya buang air sendiri. Puji setiap langkah yang dia berjaya buat. Tak perlu mahal-mahal pun Cik Puan. Cukup sekadar pujian atau ‘Give Me Five’. Tunjuk thumb up. Ada sticker bagi sticker. Naikan semangat anak.
Moga perkongsian ni beri idea dan manfaat. Terutama mak ayah yang rancang nak latih anak bebas lampin. Perkongsian ni sekadar panduan. Lain anak lain perjalanannya.
Sumber: Umairah Jamaah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Next Time Bila Anak Cranky, Restless, Overwhelmed Jangan Terus Bagi Gajet! Cuba Dulu Teknik Ini

Apabila melangkah sahaja ke alam keibubapaan, anda pasti tahu setiap dilema yang dihadapi ibu bapa; daripada pemilihan susu, sekolah, makanan dan pelbagai lagi keputusan yang perlu dibuat. Membuat keputusan mengenai si kecil anda bukanlah mudah, apatah lagi jika keputusan tersebut mungkin memberi kesan jangka masa panjang untuk mereka.
Jika anak mengamuk, apakah keputusan yang anda bakal buat untuk tenangkan mereka? Ramai antara ibu bapa cuba menenangkan anak-anak dengan memberi gajet namun tahukah anda bahawa ada cara lain selain memberikan gajet untuk menenagkan anak. Ikuti perkongsian Puan Adlil Rajiah, penulis terkenal tentang ilmu keibubapaan.

Kalau Anak Mengamuk Jangan Bagi Gajet Dulu

Mindfulness Cara Tenang Tanpa Guna Gajet

Sumber: Adlil Rajiah
Ketahui Garis Panduan Penggunaan Gajet yang Dikongsi Daripada Hello Doktor

Dengan kemuculan penggunaan gajet atau alat elektronik yang kini ditargetkan untuk kanak-kanak, mungkin akan timbul pula persoalan sama ada ia akan memudaratkan atau tidak.
Apa kata pakar?
Terlalu banyak masa skrin bermakna kurang masa dihabiskan kanak-kanak menjadi aktif, yang boleh memudaratkan perkembangan kemahiran mereka. Garis panduan American Academy of Pediatrics sebelum ini adalah jelas dan tegas. Dilarang sama sekali untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun, dan hadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 18 tahun.
Tetapi tak usahlah kita menipu diri sendiri, kebiasaan remaja bawah 18 tahun mengahabiskan masa berjam-jam dengan gajet sementara si kecil anda yang berusia 2 tahun mungkin lebih mahir menekan butang ‘play’ pada youtube berbanding diri anda sendiri. Bahkan mungkin ada ibu bapa yang mengatakan “Saya dulu sewaktu kecil pun tengok kartun 5 jam di hujung minggu,” dan merasakan mereka membesar dengan baik tanpa masalah perkembangan.
Jadi, garis panduan apa yang sepatutnya diikuti? Sebagai permulaan, anda bukanlah satu-satunya orang yang mendapati topik ini mengelirukan. Perdebatan tentang kanak-kanak dan teknologi masih menjalani penelitian dan penyelidikan oleh ahli akademik dan pembuat dasar. Sebagai contoh, United Kingdom telah mengumpulkan bukti bertulis dan lisan daripada pakar untuk menyelesaikan pertanyaan parlimen mengenai kesan media sosial dan masa skrin pada kesejahteraan kanak-kanak yang sehingga kini masih berterusan dan belum mencapai kata putus.
Salah satu masalah dengan garis panduan tentang masa skrin, menurut pakar, adalah masalah bahawa masa skrin itu sendiri adalah konsep yang tidak jelas. Walaupun kita mudah untuk melabelkan semua masa skrin sebagai sama, sebenarnya ia tidak. Masa skrin adalah konsep yang mencakupi pendedahan kepada skrin pelbagai alat elektronik, dari televisyen ke telefon pintar dan gajet lain, dengan atau tanpa internet.
Jelasnya, 10 perbualan video tidak akan mempunyai kesan yang sama seperti menonton 10 minit video dalam talian atau 10 minit yang dihabiskan untuk media sosial. Disebabkan itu, garis panduan American Academy of Pediatrics yang dikemaskini pada tahun 2016 mencerminkan aturan yang sangat longgar yang harus diubahsuai oleh ibu bapa sendiri:
- Bagi kanak-kanak di bawah umur 18 bulan, masa skrin harus dihadkan kepada perbualan video sahaja
- Kanak-kanak 18-24 bulan hanya boleh didedahkan kepada media berkualiti tinggi, dengan ibu bapa menonton bersama untuk membantu mereka memahami dan berinteraksi dengan bahan tontonan
- Kanak-kanak 2-5 tahun harus dihadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti tinggi. Ibu bapa juga harus mengawasi bersama mereka untuk membantu mereka berinteraksi
- Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas harus mempunyai had masa skin yang ditetapkan secara konsisten, dengan ibu bapa memastikan bahawa media digital tidak mengambil masa tidur, aktiviti fizikal atau interaksi peribadi sebenar
Garis panduan berikut mungkin lebih longgar dan mencerminkan keperluan ibu bapa menetapkan had mereka sendiri. Mengetahui beberapa parameter boleh membantu anda membuat keputusan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
Berhubung atau terlebih berhubung?
Membenarkan telefon pintar ke dalam kehidupan anak-anak anda bermakna rumah tidak lagi menjadi tempat selamat daripada semua perkara yang berlaku dalam lingkungan sosial mereka. Buli siber adalah ancaman yang kerap berlaku bagi kanak-kanak dan remaja bersekolah. Membenarkan telefon pintar boleh bermakna membenarkan pembuli dibawa ke rumah.
Anda juga harus mempertimbangkan jika masa skrin mempengaruhi perkembangan personaliti anak anda. Adakah media sosial memberi kepuasan peribadi kepada anak-anak anda dengan jumlah ‘like’ dan pengikut yang mereka miliki? Adakah ia menjejaskan keinginan mereka untuk membina persahabatan yang sebenar diluar talian?
Semua ini perlu dipertimbangkan dengan menetapkan masa bebas gajet bersama-sama, seperti waktu makan malam atau dalam kenderaan, serta lokasi khusus bebas gajet di rumah, seperti bilik tidur. Anda juga harus berkomunikasi berterusan tentang etika netizen dan keselamatan dalam talian, termasuklah melayan orang lain dengan hormat dalam dan luar talian. Selain ancaman dibuli, anak anda sendiri berpotensi menjadi pembuli.
Kandungan, pengawasan dan interaksi bersama
30% daripada internet adalah pornografi dan pemangsa seksual mungkin bersembunyi di tempat yang tidak anda sangka seperti permainan video. Selain itu, imej badan yang sempurna, kulit sempurna dan pakaian berjenama yang digambarkan dalam talian juga boleh menjadi toksik kepada anak gadis anda yang semakin membesar.
Disebabkan itu, kandungan yang anda benarkan dalam hidup anak anda lebih penting berbanding menentukan masa skrin itu sendiri. Bahkan masa skrin pasif boleh ditukar menjadi aktif dengan permainan video yang mempromosikan aktiviti seperti menari dan bersenam. Dalam kajian membandingkan penggunaan tenaga sewaktu masa skrin, penggunaan tenaga meningkat lebih daripada dua kali ganda apabila masa skrin pasif ditukar kepada masa skrin aktif.
Tetapi kandungan sahaja tidak mencukupi, perkembangan kanak-kanak memerlukan interaksi, disebabkan itu, penekanan pada interaksi bersama digariskan dalam panduan tersebut. Dalam satu kajian, bayi berusia sembilan bulan yang menerima beberapa jam pengajaran bahasa Mandarin dari manusia hidup boleh mengasingkan unsur fonetik tertentu bahasa tersebut sementara pengajaran video yang sama tidak dapat memberikan hasil yang sama.
Oleh itu, menonton bersama anda membolehkan anda menyediakan interaksi manusia secara langsung yang mereka perlukan. Sementara bagi kanak-kanak yang lebih besar, ia membolehkan anda mengawasi mereka daripada ketagihan imej lucah dan yang ancaman lain.
Fokus pada apa yang kita tahu
Selain melaksanakan pengawasan yang munasabah dari segi masa skrin, anda juga patut memberi tumpuankepada apa yang telah kita ketahui mengenai tip keibubapaan yang baik. The British cohort adalah kajian dalam masa 70 tahun yang membabitkan 70,000 kanak-kanak sejak tahun 1946 yang mengkaji corak keibubapaan dan kesannya. Ia adalah satu-satunya kajian komprehensif di dunia mengenai topik tersebut.
Tip keibubapaan yang baik sebenarnya sangat mudah dan kita sebagai ibu bapa seringkali terlupa akibat disibukkan dengan pelbagai perdebatan keibubapaan. Dalam kajian tersebut, perkara-perkara yang paling memberi kesan keapda perkembangan anak kecil ialah:
- Bercakap dan mendengar pandangan mereka
- Menunjukkan dengan jelas bahawa anda mempunyai cita-cita untuk masa depan mereka
- Menunjukkan kemesraan
- Mengajar mereka huruf dan nombor
- Membawa mereka keluar berjalan
- Membaca buku untuk mereka pada setiap hari (dan menggalakkan mereka membaca sebagai hobi)
- Menetapkan waktu tidur harian
Sekarang setelah anda diberikan garis panduan mengenai cara menjadi ibu bapa yang baik, tanya diri anda jika masa skrin menjejaskan perkara berikut. 90% kajian mengenai masa skrin dan tidur dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekolah mendapati bahawa masa skrin dikaitkan dengan tempoh tidur yang lebih pendek.
Oleh itu, sekiranya masa skrin menjejaskan tip keibubapaan yang disebutkan itu, betulkan dengan sewajarnya. Anak remaja anda mungkin perlu dinasihatkan untuk menghadkan atau mengurangkan pendedahan masa skrin, terutamanya sebelum atau semasa waktu tidur untuk mengurangkan sebarang kesan berbahaya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa ibu bapa zaman moden sebenarnya mempunyai lebih banyak masa dengan anak-anak mereka berbanding zaman dahulu disebabkan pengurangan waktu kerja. Tetapi penglibatan antara ibu bapa dan anak-anak kini menjadi kurang berkesan, disebabkan ibu bapa sendiri kurang memberikan kemesraan kerana terikat dengan telefon pintar kita sendiri. Dan barangkali keinginan kita untuk mengawal masa skrin anak-anak adalah cerminan rasa ketidakupayaan kita dalam mengawal masa skrin kita sendiri. Oleh itu, sebelum mula melaksanakan peraturan pada masa skrin anak-anak, mulakanlah dengan diri anda sendiri.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Cukup Rangsangan Saraf Mulut Antara Penyebab Anak Lambat Cakap & Cerewet Makan

Teknik rangsangan saraf di luar dan dalam mulut masih menjadi perbincangan di kalangan terapis. Adakah ia menyumbang kepada pertuturan anak-anak?
Secara teorinya, saraf yang tidak normal (kurang atau terlebih peka) akan menyebabkan beberapa masalah kepada anak-anak seperti:-
1. Anak cerewet makan
2. Anak susah gosok gigi
3. Anak suka gigit mainan/baju dan sebagainya
4. Anak suka masukkan tangan dalam mulut
5. Air liur meleleh
6. Anak lambat bercakap
Rangsangan saraf secara konsisten dikatakan akan dapat membantu memperbaiki masalah di atas.
Macam mana saya nak buat rangsangan saraf mulut?
– Rangsangan perlu dibuat secara konsisten 3 kali sehari; waktu pagi, petang dan malam
– Buat di bahagian luar mulut iaitu di sekeliling mulut (pipi, atas dan bawah bibir, dan bibir)
– Buat di bahagian dalam mulut iaitu di gusi, dalam pipi, lidah dan lelangit.

Ada peralatan khusus ke?
– Tiada peralatan khusus, boleh gunakan jari yang dibalut gauze, toothettes (seperti dalam gambar) atau gum massager (seperti dalam gambar)
– Toothettes boleh dicuci (dengan air paip sekali lalu), dikeringkan dan boleh diulang-ulang guna sehingga lebih kurang 15x
– Gum Massager lebih tahan dan boleh digunakan dalam jangka masa yang lebih lama
Berapa lama perlu saya buat rangsangan untuk lihat perubahan?
– Perubahan pada anak berbeza antara satu sama lain. Ada yang menunjukkan perubahan selepas sebulan tetapi ada juga sehingga setahun. Berbincang dengan terapis pertuturan untuk meningkatkan peringkat rangsangan.
Sumber: Nor Azizah Nordin (Terapis Pertuturan-Bahasa)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Saffiyah Abah Minta Maaf”. Abah Tetap Sayangkan Kamu!

Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.

Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.

Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
- Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
- Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
- Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
- Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
- Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
- Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
- Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.

Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Sumber: WS Adli
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


