Makanan pelengkap ataupun ‘Complementary Feeding’ adalah makanan tambahan yang diberikan kepada bayi selain daripada pemberian susu ibu atau susu formula. Ia adalah penting kerana setelah mencapai satu peringkat, susu ibu sahaja tidak memadai untuk menepati keperluan pemakanan bayi, terutamanya zat besi dan zink.

Lepas Beri Bayi Makan, Bagi Air Masak 4 ke 6 Oz Dalam Sehari. Lebih-Lebih Lagi Makanan Berprotien Yang Ada Beban Osmolar

Bilakah masa yang terbaik untuk memperkenalkan makanan kepada bayi?

Makanan yang terbaik setelah bayi dilahirkan adalah susu ibu. Menurut World Health Organization (WHO) dan juga American Academy of Paediatrics (AAP), setelah bayi mencecah usia  6 bulan, bayi disarankan agar diberi makanan selain daripada susu ibu atau susu formula.

Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa anak saya sudah bersedia untuk diperkenalkan makanan?

Selain daripada umur bayi, kesediaan bayi untuk memulakan makanan pelengkap juga bergantung kepada kematangan sistem percernaan dan aspek perkembangannya untuk menerima makanan selain daripada susu. Setiap anak adalah berbeza dan berikut adalah tanda-tanda yang menunjukkan anak anda sudah bersedia untuk diberi makanannya yang pertama:

  1. Bayi dalam posisi duduk dengan sendiri tanpa disokong
  2. Bayi mempunyai kawalan kepala yang baik dan dapat mengekalkan kepala dalam keadaan menegak
  3. Bayi dapat membuka mulut dan badan condong ke hadapan apabila ditawarkan makanan

Pada umur 6 bulan atau lebih, bayi juga akan mempunyai perkembangan dari aspek koordinasi di bahagian lidah dan bibirnya.  Koordinasi ini adalah penting kerana ia membantu bayi untuk menerima makanan tanpa menolak makanan keluar semula dengan menggunakan lidah dan tiada lagi reflex tujahan lidah atau ‘tongue-thrust reflex’. Jadi, bayi dapat mengumpul makanan di dalam mulut, menggerakkannya di sekeliling mulut dan menghalakan makanan ke bahagian hujung lidah untuk ditelan.

Ads

Anak saya yang berumur 4 bulan sudah mula mencapai makanan dan kelihatan lebih lapar dari biasa. Bolehkah saya mula memberi makanan kepadanya walaupun usianya masih belum mencapai 6 bulan?

Pakar-pakar kesihatan dan juga pakar penyusuan ibu seperti WHO, AAP dan UNICEF menyarankan agar bayi diberi susu ibu secara ekslusif 6 bulan yang pertama dan seterusnya diberi makanan pelengkap setelah umur mencapai 6 bulan. Kebanyakan bayi akan bersedia untuk makan dari aspek perkembangan dan juga fisologi apabila umur mereka di antara 6 hingga 8 bulan.

Di antara sebab-sebab mengapa ibu perlu menunggu sehingga bayi betul-betul bersedia untuk diberi makanan adalah:

  1. Bayi akan mendapat lebih perlindungan terhadap penyakit
  • Kajian menunjukkan bahawa apabila bayi diberi susu badan secara ekslusif selama 6 bulan yang pertama, ia akan mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan, telinga, usus (necrotising enterocolitis), Sindrom kematian bayi secara mengejut ataupun Sudden Infant Death Syndrome (SIDS), alahan dan Kencing Manis Jenis 1.
  1. Usus bayi lebih matang dan mengurangkan risiko alahan dan jangkitan kuman
  • Sekiranya makanan pejal diberi sebelum usus matang, ia akan menyebabkan reaksi yang tidak diingini seperti masalah penghadaman, angin dan juga sembelit. Sel-sel di usus yang belum matang juga mempunyai ronga-rongga di antara sel yang boleh memberi laluan kepada protein yang boleh menyebabkan alahan dan juga jangkitan kuman.
  1. Mengurangkan risiko obesiti
  • Kajian menunjukkan apabila makan pelengkap diberi terlalu awal sebelum usia 6 bulan, ia boleh menyebabkan kenaikan berat yang mendadak di usia remaja dan dewasa.
  1. Mengekalkan bekalan susu ibu
  • Bagi bayi yang masih diberi susu ibu, kajian menunjukkan apabila bayi diberi makan sebelum usia 6 bulan, susu ibu akan berkurangan kerana bayi sudah kenyang dengan makanan yang diberi dan kekerapan minum susu akan berkurangan. Lama kelamaan, ini akan mengurangkan tempoh penyusuan susu ibu.
  1. Mengurangkan risiko untuk mengandung
  • Apabila bayi menyusu secara ekslusif 6 bulan yang pertama, tanpa mengambil sebarang makanan lain, ia akan melambatkan ovulasi secara semulajadi. Kaedah perancang keluarga ini adalah 98% efektif sekiranya haid ibu masih belum kembali.

Anak saya berumur 6 bulan dan sudah bersedia untuk diberi makanan pelengkap. Berapa kerap saya perlu beri anak saya makan?

Ads

Menurut WHO (World Health Organization), bayi diberi makanan pelengkap selepas umur 6 bulan dan  penyusuan susu ibu diteruskan. Pada peringkat awal, ibu boleh memberi makanan kepada bayi  2 ke 3 kali sehari semasa umur 6 ke 8 bulan, kemudian dinaikkan ke 3 ke 4 kali sehari pada umur 9 ke 11 bulan, dan seterusnya menambah lagi 1 ke 2 kali sehari snek yang bernutrisi pada umur 12 ke 24 bulan.

Apakah makanan yang digalakkan untuk bayi saya?

Pemakanan yang sihat perlu dimulakan dari awal lagi untuk menggalakan tabiat yang sama sehingga mereka dewasa kelak. Tawarkan pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran penuh, daging dan tenusu. Buatlah seperti satu pelangi di atas pinggan anak anda yang mempunyai makanan yang bewarna-warni.

Ads

Lepas Beri Bayi Makan, Bagi Air Masak 4 ke 6 Oz Dalam Sehari. Lebih-Lebih Lagi Makanan Berprotien Yang Ada Beban Osmolar

Contoh makanan digalakkan adalah seperti:

  1. Buah: Pisang, Pir, Avakado, Oren
  2. Sayur-sayuran: Lobak merah, Bayam, kacang pis, keledek
  3. Bijiran penuh: Roti gandum penuh (wholegrain), pasta
  4. Daging: Ayam, ikan, daging lembu yang dihancurkan
  5. Tenusu: Yogurt dan keju yang dipasteur

Apakah makanan yang tidak boleh diberi kepada bayi berumur 6 bulan?

  1. Madu: Madu boleh mengandungi bacteria yang menghasilkan toksin di usus bayi yang membawa kepada ‘Infant Botulism’. Ia adalah satu penyakit yang serius. Adalah disarankan agar tidak memberi madu kepada bayi sehingga mereka mencecah umur 1 tahun.
  2. Kekacang yang utuh seperti kacang tanah: Kacang yang utuh tidak boleh diberi kepada kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun  kerana risiko kanak-kanak itu akan tercekik. Anda boleh memberi anak ada kekacang sekiranya ia sudah dihancurkan seperti mentega kacang.
  3. Garam: Garam yang berlebihan sehingga 1g setiap hari boleh merosakkan buah pinggang bayi. Elakkan makanan yang mengandungi garam seperti makanan segera seperti sosej dan nugget, sup atau bubur yang mengandungi kiub dan juga kerepek.
  4. Gula: Gula adalah tidak baik untuk gigi bayi. Elakkan makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti gula-gula, aiskrim dan kek. Elakkan juga minuman seperti jus buah yang ditambah gula.
  5. Makanan yang mengandungi lemak tepu seperti kek dan biskut
  6. Kerang mentah seperti kupang dan tiram yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Apakah minuman yang sesuai untuk diberi setelah bayi mula makan?

Anda perlu meneruskan penyusuan seperti biasa. Sekiranya anda masih menyusu badan, susu anda akan melindungi terhadap penyakit-penyakit selagi anda masih meneruskan penyusuan. Semasa diberi makan, bayi boleh diberi sedikit air masak, lebih-lebih lagi apabila diberi makanan protein kerana ia mempunyai beban osmolar. Bayi boleh diberi air masak sebanyak 4 ke 6 oz dalam sehari. Elakkan daripada memberi air seperti teh dan kopi yang boleh mengurangkan jumlah zat besi yang diserap dari makanan. Minuman berkabonat juga adalah dilarang.

Oleh:Dr Tengku Putri Zainab bt Tengku Ab Malek
Pakar Pediatrik
Sunway Specialist Centre Damansara
FB: Klinik Pakar Kanak-Kanak Dr Putri

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI