Selepas melahirkan anak, terutamanya kelahiran secara normal akan ada luka pada vagina ibu. Luka bersalin perlu diberi perhatian dan dibersihkan dengan betul. Ada sesetengah ibu merasa takut untuk mencuci luka kerana rasa pedih dan ngilu apabila melihat keadaan luka. Sebenarnya jika dijaga dengan baik, luka bersalin boleh segera sembuh.
Membersihkan luka selepas bersalin sangat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kawasan tersebut. Jangkitan kuman boleh menyebabkan luka menjadi gatal dan kemudian bernanah. Itu lebih sakit dan sukar untuk dijaga. Penjagaan rapi juga boleh membersihkan segala kotoran pada bahagian intim yang berkemungkinan membawa kepada jangkitan penyakit.
Artikel Menarik: [Tak Perlu Tanya Jenis Jahitan Atau Berapa Banyak, Janji ‘Koyakan’ Ibu Sembuh Semula]
Amalkan ‘Bercebok’ Untuk Membersih
Amalan ‘bercebok’ adalah istilah yang digunakan oleh orang tua zaman dahulu untuk membersihkan bahagian intim si ibu. Ia boleh dibuat sendiri, bahannya mudah dicari dan tidak memerlukan modal yang besar. Apa yang anda perlukan hanyalah:
Sedikit garam kasar
2-3 keping asam gelugor
Daun sirih
Rebuskan semua bahan sehingga mendidih. Kemudian masukkan ke dalam bekas basuhan dan tambahkan air paip sedikit. Pastikan air cebok bersuhu suam dan bersihkan luka dengan air terlebih dahulu. Kemudian bolehlah bercebok dengan air rebusan tadi. Amalan ini sebaiknya dibuat dua kali sehari. Tunggu sehingga hari keempat atau kelima sebelum memulakan amalan bercebok.
Bertangas Hilangkan Bau Hanyir Pada Bahagian Intim
Selain amalan bercebok, ibu selepas bersalin digalakkan untuk membuat tangas. Tangas sangat baik dan berkesan untuk menghilangkan bau kurang enak pada bahagian intim.
Selain itu, amalan bertangas dapat membasmi kuman serta melancarkan peredaran darah nifas.
Ini membolehkan saki baki darah dalam rahim dikeluarkan. Bagi memudahkan ibu dalam pantang, anda boleh mendapatkan tangas yang sedia digunakan di pasaran. Tetapi seeloknya dibuat sendiri untuk menjamin kesegran serta kualitinya.
Resipi tangas paling mudah yang boleh anda buat sendiri:
Sedikit manjakani
Sedikit kunyit
Sedikit halia
Garam
Daun pandan
*Bahan-bahan ini digunakan dalam kuantiti yang lebih kurang sama kecuali daun pandan. Tambahkan daun pandan jika anda mahu bancuhan tangas anda lebih harum.
CARA MEMBUAT:
- Rebus semua bahan sehingga mendidih.
- Masukkan ramuan tangas ke dalam baldi.
- Rebusan herba diletakkan di bawah kerusi berlubang di tengah.
- Sarungkan kain batik dan duduk di atas kerusi tersebut.
- Bertangas sambil melakukan senaman kegel selama 20 minit
Tahukah anda, bertangas sambil membuat senaman kegel dapat menguatkan otot vagina dan membantu ia menjadi lebih ‘mencengkam?’. Selain itu, masalah kentut vagina juga dapat diatasi dengan amalan bertangas.
Jangan Takut Untuk Bersihkan Luka
Kebersihan pada bahagian intim bukan sekadar memerlukan anda untuk bercebok dan bertangas sahaja. Ibu harus rajin menukar tuala wanita sekurang-kurangnya dua jam sekali. Setiap kali selepas membuang air, cuci bersih dan keringkan. Luka yang dikeringkan dengan baik dapat mengelakkan jangkitan kuman serta mempercepatkan proses untuk sembuh.
Artikel Menarik: [“Lain Benor Baby Dengan Maknya.” Tak Perlu Ungkap Perkara Ni Depan Ibu Baru]
Selesai bercebok, sapukan ubat luka yang diberikan oleh doktor. Jangan merasa takut untuk membersihkan luka. Amat penting ia dibersihkan dengan baik bagi mengelakan jangkitan kuman. Jika susah atau anda merasa takut, mintalah bantuan suami untuk membersihkan luka anda.
Makanan Sembuhkan Luka
Selain mengamalkan petua lama atau menggunakan ubat untuk membersihkan luka, anda boleh makan makanan berkhasiat. Buah limau yang kaya dengan vitamin C sebagai contoh, dapat memperbaiki sel kulit dan menyembuhkan luka dari dalam. Ia juga dapat mengelakkan masalah sembelit sekaligus boleh mengurangkan rasa khuatir ibu untuk membuang air serta membersihkan luka.
Amalan memakan kunyit muda yang dihiris nipis sebagai ulam juga amat baik. Kunyit bertindak sebagai bahan antiseptik semula jadi yang mempercepatkan pengeringan luka. Kunyit juga dapat mematikan kuman sekaligus melindungi bahagian intim dari terkena jangkitan.
Jika anda tidak mempunyai masalah untuk memakan labu, ia juga elok untuk menyembuhkan luka. Kandungan magnesium dalam labu membantu untuk mempercepatkan pertumbuhan sel-sel kulit yang baharu.
Amat penting agar ibu tidak merasa takut untuk membersihkan luka kerana amat penting bahagian intim dijaga sebaiknya. Banyakkan bertanya dan membaca untuk menambah ilmu supaya anda bersedia untuk melalui fasa berpantang dengan lancar dan tidak bermasalah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI