Sembilan bulan tempoh hamil pastinya sesuatu perjalanan indah yang ditempuhi oleh ibu-ibu, namun setiap perjalanan itu tentunya perlukan sokongan yang kuat terutamanya dari orang yang tersayang, iaitu suami. Tempoh tersebut amat penting bagi memastikan bayi dalam kandungan dan ibu berada dalam keadaan baik dan sihat sehinggalah tiba waktu melahirkan.
Tapi tak semua orang bernasib baik punya suami di sisi saat mengandungkan anak yang bakal lahir. Dalam satu posting yang dikongsikan di Facebook oleh Aliaa Amirah, kisah tentang seorang wanita hamil yang berkunjung ke premis tempat dia bertugas cukup memilukan.
Sempat Doktor ini bertanyakan kenapa wanita tersebut kenapa lambat datang buat pemeriksaan untuk kandungannya, apa yang diceritakan mengundang simpati Doktor Aliaa kerana rupanya suami wanita tersebut sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya.
Hamil anak ketiga ternyata wanita ini cukup tabah menghadapi dugaan kehilangan suami tercinta saat dirinya dan anak-anak masih memerlukan suami dan ayah di sisi. Tiada setitik air mata pun yang gugur, mungkin sudah puas menangis dan bersedih dengan nasib yang menimpa. Menurut Doktor ini dia pula yang sebak dan menangis dalam hati dengan cerita daripada pesakitnya itu.
Semoga urusan wanita ini dipermudahkan dan semoga terbentang rezeki yang luas untuk dia dan anak-anaknya kelak.
Lambat buat buku pink, arwah suami syak hamil
Few days ago, I got a pregnant lady. Late booking and unsure of date. Pregnant anak ke 3.
“Bakpe awak buka buku pink lambat? Awak dok tau ke awak pregnant?
“Ye Doctor. Period saya dok menentu. Saya pun takdok alahan loya muntah. Masa pregnant anak2 sebelum ni, saya alahan teruk. Tapi pregnant yang kali ni, takdok alahan langsung. Sebab tu saya dok rasa macam saya pregnant. Arwah suami yang syak saya pregnant. Dia kata nampak saya macam lain dari biasa
“Hah? Arwah?” My brain was thinking. How can she pregnant if she said arwah husband
“Ye doctor. Arwah suami. Baru meninggal 13 hari lepas. Accident”
Tunggu suami dapat gaji nak jumpa doktor, petang lepas dapat gaji, suami kemalangan, maut tempat kejadian
Aku terdiam
“Arwah syak saya pregnant. Dia kata tunggu dapat guit gaji, pastu nak bawak saya scan kat klinik swasta”
“Oo, awak dah scan kat klinik swasta la ni?”
“Tak sempat nak scan pun Doctor. Masa hari kejadian tu, arwah dapat gaji kol 3 petang. Arwah tak sabar balik dari kerja sebab dia plan nak bawak saya scan kat klinik swasta malam tu. Otw balik dari kerja, arwah excident kol 6 petang. Meninggal kat tempat kejadian. Jadi saya tak sempat nak gi scan pun lagi”
Aku terkedu.
Patient bercerita tenang, tanpa setitik air mata pun gugur.
Anak bakal masuk 3, yang sulung baru 4 tahun
“Anak2 macam mana? Faham ke ayah dah takde?”
“Yang sulung umur 4 tahun. Setiap hari kol 5.30 petang, mesti dia akan tunggu kat pintu. Tunggu ayah dia balik kerja. Lama dia tunggu, tapi ayah tak balik2. Mula2 saya kata ayah gi kerja jauh. Tapi lepas seminggu, saya dokleh nak tipu anak saya dah. Saya kabo ayah dah takde. Ayah pergi jauh tak balik dah. Menangis2 saya bagitau anak saya. Saya harap anak saya faham la”
Aku menangis dalam hati
Aku scan, nampak baby dah usia 20weeks+. Dah aktif bergerak dalam rahim ibu. Mungkin baby cuba beritahu ibunya supaya jangan bersedih.
Ya Allah, kau permudahkanlah urusan patient aku ni. Semoga dia dapat jadi supermom untuk jaga anak2 dan kandungannya
sumber: Aliaa Amirah
Jom menyertai komuniti ibu Pa&Ma Moms To Be. Anda boleh ikuti forum, ajukan soalan-soalan kepada doktor dan menggunakan pelbagai tools di sini. Sign up di https://momstobe.majalahpama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pasangan Yang Idamkan Baby Girl Boleh Cuba Petua Ini, Mana Tahu Rezeki!
Seronoknya kalau dapat baby girl, boleh pakai baju matching dengan Mama. Tetapi ada ke tips dapat anak perempuan yang boleh dicuba?
Mencari petua dapat anak perempuan
Adakah hati anda teruja setiap kali melihat baju bayi perempuan yang cantik? Jawapannya mestilah, kan?
Sebab itulah anda memilih untuk membaca artikel ini, kerana ingin mengetahui petua dapat anak perempuan.
Seperkara yang perlu anda ketahui, sebarang tips dapat anak perempuan mahupun lelaki secara semula jadi ini tidak menjaminkan 100% kejayaan.
Namun jika anda benar-benar menginginkan untuk hamil bayi perempuan, tiada salahnya untuk mencuba. Bahkan, anda mempunyai peluang sebesar 50%.
Sudah bersedia untuk mencuba petua dan cara bagi memperolehi cahaya mata perempuan? Jom kita lihat satu persatu!
Tips dapat anak perempuan
Sebenarnya, tidak kira bayi lelaki atau perempuan, paling penting adalah anak yang dilahirkan itu sihat.
Pun begitu tidak dinafikan, setiap pasangan mempunyai impian mereka sendiri untuk mempunyai bayi perempuan.
Antaranya mungkin kerana membesar dengan adik-beradik lelaki atau sudah mempunyai anak lelaki.
Terdapat pelbagai cara boleh dicuba untuk mendapatkan bayi perempuan, cuma 1 perkara yang perlu diingatkan adalah pada akhirnya sperma yang akan menentukan jantina bayi.
Berikut antara 6 cara yang boleh dicuba:
Kaedah Shettles
Kaedah ini telah digunakan untuk pemilihan jantina bayi sejak tahun 1960-an. Ia dikatakan berjaya mencapai kadar kejayaan sehingga 75% bagi pasangan berkahwin yang mengidamkan bayi perempuan.
Perkara penting yang perlu diberikan perhatian berkaitan kaedah ini adalah:
- Anda perlu melakukan hubungan seks antara 2 hingga 4 hari sebelum ovulasi jika mahu hamil anak perempuan
- Anda harus elakkan hubungan seksual apabila terdapat lendir faraj warna putih telur. Itu adalah petanda sedang mengalami ovulasi
- Anda digalakkan untuk bersama pasangan pada hari-hari awal kitaran haid dan mengelakkannya beberapa hari sebelum dan selepas ovulasi
- Sebagai tips dapat anak perempuan melalui kaedah Shettles ini, seorang wanita harus sedaya upaya mengelakkan daripada mengalami klimaks sehingga pasangan anda selesai ejakulasi. Ia bagi mengelakkan persekitaran menjadi lebih beralkali
Pilihan berteknologi tinggi
Antara petua dapat anak perempuan adalah dengan menggunakan teknologi tinggi. Ia termasuklah:
Persenyawaan in-vitro (IVF) dengan ujian genetik pra implantasi (preimplantation genetic testing, PGT). embrio yang dihasilkan melalui IVF akan diuji secara genetik. Walaupun ia biasanya dilakukan untuk memeriksa kelainan kromosom tetapi juga dapat memberikan maklumat mengenai jantinanya
Pemilihan sperma. Ia kurang invasif berbanding IVF dengan PGT
Umumnya, kedua-dua kaedah di atas agak invasif, memerlukan perbelanjaan besar dan tidak ditawarkan di semua tempat.
Posisi seks
Posisi ketika melakukan seks juga boleh mempengaruhi kemampuan sperma untuk mencapai telur. Ia meliputi jarak antara seviks dan sel sperma semasa ejakulasi berlaku.
Secara am:
Bagi mendapatkan bayi lelaki, penetrasi yang lebih dalam semasa seks dianggap sebagai kunci utama
Untuk hamil anak perempuan pula, penetrasi yang tidak terlalu dalam adalah optimum. Posisi missionary atau face-to-face adalah pilihan terbaik kerana ia menghadkan kedalaman penetrasi
Sel sperma lelaki yang kecil akan berenang dengan cepat tetapi hanya untuk tempoh pendek sebelum penat.
Dengan menghindari penembusan zakar yang mendalam, ia akan menghalang sel sperma lelaki untuk mencapai dan mensenyawakan telur.
Tiada orgasma dan lebih banyak seks
Menurut pakar dalam pemilihan jantina bayi, mengelakkan orgasma adalah kunci tips dapat anak perempuan.
Ini kerana orgasma wanita akan melepaskan rembesan alkali yang dapat membantu sel sperma lelaki bertahan lebih lama.
Tanpa rembesan ini, sel sperma lelaki sukar untuk bertahan dan kurang peluang untuk mencapai telur.
Jika menginginkan bayi perempuan, anda disarankan untuk lebih melakukan seks, terutamanya menjelang hari ovulasi.
Ini kerana ia akan mengurangkan jumlah sperma pasangan, sekali gus sel sperma lelaki yang menyertai perlumbaan persenyawaan juga rendah.
Pemakanan sebagai tips dapat anak perempuan
Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dapat meningkatkan peluang anda mengandung baby girl.
Ada yang mempercayai diet vegetarian dapat membantu anda hamil anak perempuan, terutamanya jika mengambil bayam, kekacang dan brokoli. Anda juga disarankan untuk memilih makanan tinggi kalsium dan magnesium.
Kurangkan garam
Jika mahukan bayi perempuan, diet rendah garam dikatakan dapat meningkatkan peluang anda. Penyelidikan menunjukkan diet tinggi natrium dan kalium lebih menyukai sel sperma lelaki.
Anda harus menyingkirkan makanan seperti:
- Daging masin
- Zaitun
- Keju biru
- Makanan yang diproses
Tidak salah mencuba tips dapat anak perempuan
Jika anda sudah lama mengidam untuk mendapatkan seorang baby girl, anda boleh mencuba petua dapat anak perempuan di atas.
Walaupun ada banyak bukti anekdot mengenai kejayaan kaedah-kaedah tersebut, tetapi hasil bagi setiap individu adalah berbeza.
Walau apa pun, tiada salahnya untuk mencuba. Mungkin ada rezeki anda untuk mendapat anak perempuan, paling penting jangan putus asa!
Kredit: Hello Doktor
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Pergilah Wahai Wildan Syurga…” Asma Teruk & Terlalu Banyak Ubat, Ibu Hilang Bayi Dalam Kandungan
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Kenangan 21 & 22 Januari 2018
Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ******
Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu!
Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar…
“Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang
21 Januari 2018
“Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat.
“Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas.
Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi.
“Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega.
Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas.
“Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil.
“Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat.
Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah….
Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku.
“Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung.
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi?
Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mu bilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam
22 Januari 2018
Sanah helwah buat aku!
Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah!
Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari
24 Januari 2018
Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi
25 Januari 2018
Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku.
Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi
30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya.
BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi
15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas.
“Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku.
Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,”
Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya.
Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat.
“Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi
16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat.
Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya.
Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku.
“Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang.
Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam.
Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Sumber: Mazlinda Mohd Sahar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lepas Makan Terus Muntah, Ibu Hamil Tak Cukup Zat, Ini Suplemen Patut Ambil!
Melalui trimester pertama kehamilan memang ternyata cukup menguji kekuatan ibu hamil. Ibu yang dulunya aktif berubah menjadi lemah tak bermaya. Muntah setiap pagi atau petang membuatkan ibu tiada selera untuk makan.
Namun ada juga kes di mana ibu hamil merasa loya dan tidak berselera setiap kali melihat makananan, sudahnya ibu hamil hanya minum air dan jus untuk mendapatkan tenaga.
Jadi bagaimanakah ibu hamil dapat memberikan nutrisi pada tubuh dan sekaligus bayi di dalam kandungan. Dan adakah perlu ibu hamil mengambil suplemen?
Menurut Dr. Jamali Wagiman, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, terdapat banyak vitamin dan mineral di dalam pasaran. Pengambilannya kerap menjadi topik utama semasa pemeriksaan di klinik atau sesi soal jawab di seminar pra-natal.
Asas sebenar pengambilan vitamin dan mineral tambahan semasa hamil adalah untuk mengurangkan komplikasi buruk yang mungkin berlaku kepada ibu dan bayi. Oleh itu, hanya zat besi dan folic acid sahaja perlu diambil.
Walaupun keperluan zat besi hanyalah 60 mg sehari dan asid folik 400 mg, tubuh manusia tidak mampu menyerap 100 peratus dari pil yang ditelan. Untuk itu, ibu hamil perlu mengambil zat besi, antara 180mg hingga 500mg bergantung kepada formula yang diambil.
Sentiasa perhatikan juga label pada botol dan rujuk semula kepada doktor kerana terdapat formula yang mengandungi paras zat besi yang terlalu sedikit walaupun perisa dan bungkusannya lebih menarik.
Kalsium, Vitamin A, dan zink hanya perlu diambil dalam kes-kes tertentu sahaja manakala pengambilan mineral micronutrient seperti vitamin B6, E, C dan D tidak perlu ditambah.
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub neural).
Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Zat Besi
Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh membawa kepada anemia.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Untuk sihat ketika hamil tidak memerlukan pengambilan berbilang zat dan mineral. Ambil sahaja suplemen yang disarankan oleh doktor kerana itu sebaiknya. Jangan dilupakan pengambilan makanan yang sihat dan segar untuk nutrisi secukupnya untuk bayi dalam kandungan.
Menarik: Lara Pernah Menangis Tak Mahu Balik Rumah, Scha Al-Yahya Akui Tegas Bab Pelajaran Anak!
Berita baik untuk pasangan yang sedang merancang untuk hamil! Pelajari ilmu kesuburan, bawa pulang goodies istimewa serta peluang menang hadiah lumayan. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/pama-romantika-hi-tea/
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Klik : https://t.me/+ocjF2NSo9pFjNTU1
https://chat.whatsapp.com/JcDPcXwwhrh4v052XOEmAG
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI